Sesungguhnya
manusia yang diciptakan oleh Allah di atas dunia ini ialah untuk mentaati
perintah Allah dan ketaatan itu pula
merupakan suatu persembahan dalam acara kehidupan untuk melahirkan perasaan
syukur terhadapNya. Walau dalam apa jua keadaan sekalipun, ketaatan adalah
perlu bagi melaksanakan amalan hidup seharian agar tidak terpedaya dan tidak terpengaruh dengan fahaman-fahaman
yang lain yang boleh mengelirukan kehidupannya.
1.
Nilai Ketaqwaan
Orang-orang
yang bertaqwa kepada Allah ialah orang-orang yang sentiasa mentaati
perintahNya. Dia selalu mengingati Allah setiap waktu, dia selalu berdoa kepada
Allah untuk memohon restu, dia selalu beramal untuk mencari keredhaan Allah,
Tuhan Yang Satu, dia selalu memikirkan kebesaran dan keagunganNya untuk
meletakkan maruah dirinya menjadi seorang hamba yang benar-benar dikasihinya.
Firman
Allah Ta’ala:
يآ أيها الذين آمنوا اتقوا الله حق تقاته ولا تموتن الاّ
وأنتم مسلمون
Maksudnya:
“ Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan
sebenar-benar taqwa dan janganlah kamu mati melainkan kamu dalam keadaan muslim
”(Ali ‘Imran: 102).
Nilai perasaan hati sanubari dan jiwa nurani
orang yang bertaqwa kepada Allah terlalu hebat untuk digambarkan, dia mempunyai
kelebihan hidupnya sendiri terhadap keesaan dan keagungan Allah, dia beramal
mengikut program yang telah diatur dan disusun dalam syari’at. Perasaan hatinya
sentiasa tenang dengan nilai-nilai keimanan dan ketaqwaan diri, dia sentiasa
meletakkan hakikat perjalanan hidupnya untuk kembali ke pangkuan Allah, kerana
pergantungan hidupnya sekarang adalah secara langsung kepada Allah.
Firman
Allah Ta’ala:
الَّذِينَ آمَنُوا
وَتَطْمَئِنُّ قُلُوبُهُمْ بِذِكْرِ اللَّهِ ۗ أَلاَ بِذِكْرِ اللَّهِ تَطْمَئِنُّ
الْقُلُوبُ
Maksudnya:
" Orang-orang yang beriman dan tenang hati mereka mengingati Allah,
ketahuilah! Dengan mengingati Allah boleh memberi ketenangan kepada hati
"(Ar Ra'd: 28).
Gambaran ini merupakan gambaran yang sebenar terhadap perasaan hati orang-orang yang
beriman kepada Allah dan bertaqwa kepadaNya. Walau di dalam apa jua keadaan
sekalipun cara dia menguruskan kehidupannya, sama ada dia berada dalam keadaan
sihat atau sakit, sama ada dia berada dalam keadaan selamat atau ditindas, sama
ada dia sering kali dihimpit kemiskinan atau kefakiran ataupun kesusahan,
tetapi nilai-nilai ketaqwaannya kepada Allah tetap utuh dan unggul. Ketahuilah, bahawa orang-orang yang paling
mulia di sisi Allah ialah orang-orang yang sentiasa bertaqwa kepada, sentiasa mengingati Allah
dan menyebut nama Allah. Seluruh jiwa raga diserahkan kepada Allah dan seluruh
pergantungan hidup itu adalah
semata-mata untuk dipersembahkan kepada Allah, Tuhan Yang Maha Agung.
Firman
Allah Ta'ala:
Maksudnya:
" Sesungguhnya orang yang paling mulia dalam kalangan kamu di sisi Allah ialah
orang yang bertaqwa "(Al Hujurat: 13).
Bahkan, hati orang-orang yang benar-benar bertaqwa tidak sedikitpun melalaikan ingatan
mereka terhadap ketuhanan Allah, ingatan mereka sentiasa berterusan dan
nilainya sentiasa bertambah dari masa ke semasa. Segala urusan hidup mereka
dikembalikan kepada Allah dan perasaan hati mereka tidak puas-puas menyebut
nama Allah, mereka tidak sekali-kali lalai ketika melaksanakan tugas dan
tanggungjawab.
2.
Memberi Kekuatan Kepada Islam
Sesungguhnya
nilai-nilai ketaatan itu memberi kekuatan kepada Islam, kerana kekuatan Islam
terletak di atas bahu orang-orang yang sentiasa taat dan patuh serta menjadi
pelaksana kepada ajaran-ajaran Islam yang telah diwajibkan oleh Allah. Mereka
semua terdiri dalam kalangan manusia yang berperanan dan bertanggungjawab untuk
menerima amanah Allah di dalam melaksanakan program kehidupan yang berlandaskan
prinsip-prinsip ketaqwaan dan keadilan
sejagat sebagaimana yang dikehendaki oleh syari’at. Sebab itu, kekuatan Islam
sebenarnya adalah terletak kepada kekuatan para penganutnya sendiri yang taat
dan patuh kepada ajarannya, yang beramal dengan ajaran Islam dan menjadi
pelaksana kepada arahan-arahan Allah. Maka, peranan yang mulia ini perlu
dimainkan oleh mereka yang berjiwa agama dan mempunyai roh Islam agar mereka
semua dapat melaksana segala apa jua arahan-arahan Allah sehingga ke akhir
hayat. Apabila jiwa ketaatan itu dapat dibentuk dalam diri seseorang dan
menjadi sebati dengan darah daging, maka dia akan menjadi seorang hamba Allah
yang sentiasa mempunyai pertalian denganNya dan menghubung erat tali keimanan
dan ketaqwaan ke dalam dirinya. Dia
adalah hamba Allah yang sentiasa meletakkan hakikat Islam dalam dirinya, dia
tidak sekali-kali mahu melihat Islam itu terpisah dari kehidupannya dan
masyarakat seluruhnya, dia akan menjadi seorang hamba Allah yang sangat
mengambil berat urusan segala urusan saudara seagama dan memastikan kehidupan
mereka semua tidak terpisah dari kehidupan beragama.
Firman
Allah Ta’ala:
فَأَمَّا الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ
فَيُوَفِّيهِمْ أُجُورَهُمْ وَيَزِيدُهُمْ مِنْ فَضْلِهِ ۖ وَأَمَّا الَّذِينَ اسْتَنْكَفُوا وَاسْتَكْبَرُوا
فَيُعَذِّبُهُمْ عَذَابًا أَلِيمًا
Maksudnya: “ Adapun
orang-orang beriman dan beramal soleh, maka Allah akan menyempurnakan pahala
mereka dan menambahkan daripada kelebihanNya, adapun orang-orang yang
menyombong diri maka Allah menyiksa mereka dengan siksaan yang pedih ”(An Nisa: 173).
4.3.
Meningkatkan Nilai Keimanan
Pengakuan
Tiada Tuhan yang sebenar-benar melainkan Allah dan Nabi Muhammad s.a.w. adalah
pesuruhNya yang akhir merupakan pengakuan pengabdian seorang hamba kepada
Tuhannya. Pengakuan itu secara tidak langsung mengiktiraf ketuhanan Allah dan
kenabian Muhammad s.a.w. Dengan pengakuan itu jelaslah, bahawa dia tidak lagi
percaya kepada ketuhanan lain selain dari ketuhanan Allah, dia tidak akan
mengiktiraf kuasa-kuasa lain selain dari kuasa Allah, dia tidak akan meminta
pertolongan selain dari pertolongan Allah, dia tidak akan bergantung harap selain dari Allah, dia tidak akan
melakukan apa-apa bentuk penyekutuan kepada Allah, bahkan segala apa jua
perlakuan hidup diserahkan kepada Allah. Sebenarnya, pengakuan itu adalah
pengakuan keimanan, pengakuan itu akan menterjemahkan imannya di dalam hati
sanubari dan jiwa nurani, iaitu melalui
proses amalan yang dilakukan secara praktikal, juga melalui perlakuan hidup dan
gerak kerja yang dilakukan menurut perspektif syari’at. Pengakuan itu juga akan
membuktikan bahawa dia sememangnya sedang bersiap bersedia untuk memikul beban
tugas dan tanggungjawab yang telah diwajibkan ke atas dirinya. Pengakuan itu telah membuktikan
nilai-nilai imannya terhadap keagungan Allah dan keesaanNya, justeru akan
membentuk tingkat keimanan dalam kehidupannya ke arah melaksanakan program cara
hidup Islam dengan menyeluruh yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan, sama ada
menyentuh persoalan yang berkaitan dengan urusan duniawi ataupun ukhrawi.
Firman
Allah Ta’ala:
الذين قال لهم الناس إن الناس قد جمعوالكم فاخشوهم فزادهم
إيماناً وقالوا حسبنا الله ونعم الوكيل
Maksudnya:
“ Orang-orang apabila dikatakan kepada mereka: Sesungguhnya manusia telah
berkumpul untuk memerangi kamu, takutlah kepada mereka, tetapi yang demikian
itu tidaklah menambahkan apa-apa kepada diri mereka melainkan keimanan, lalu
mereka berkata: Cukuplah Allah sebaik-baik wakil (”Ali ‘Iman:173).
Maka
benarlah di sini, bahawa pengakuan yang dilapazkan itu menyebabkan diri mereka
tidak lagi merasa takut dan gentar dengan apa juga ancaman atau ugutan yang
datang menjelma. Pengakuan itu telah
memberi kekuatan kepada dirinya dan meletakkan nilai-nilai keimanan dan
ketaqwaan mereka serta ketinggian martabat hidup mereka di sisi Allah. Mereka
juga sanggup memperhambakan diri kepada Allah semata-mata untuk membentuk
nilai-nilai ketaatan diri kepadaNya, mereka sanggup menerima apa saja
arahan-arahan dari Allah, Tuhan Yang Maha Agung itu dengan perasaan hati yang
terbuka, mereka sanggup menghadapi apa saja ancaman atau halangan atau ujian
yang datang menimpa demi kepatuhan dan ketundukan merfeka kepada perintah
Allah.
4. Tanggungjawab Terhadap Agama
Sesungguhnya ummat Islam ialah ummat yang
bertanggungjawab dan ummat yang selalu menunaikan kewajiban dan amanah
ketuhanan, ummat yang selalu memikul tugas ketuhanan untuk dilaksanakan ke
dalam diri mereka dan masyarakat. Mereka menjadi ummat pilihan kerana mereka
selalu mematuhi segala seruan ketuhanan dan mempunyai pertalian hidup dengan
keagungan dan kebesaran Allah. Mereka
menjadi ummat yang bertanggungjawab terhadap seruan agama untuk menghayati
nilai-nilai keimanan sejagat. Mereka akan menjadi ummat yang mempraktikkan
ajaran agama dari semua sudut dan persoalan ini merupakan persoalan biasa yang
perlu diberi perhatian oleh setiap ummat Islam. Seorang sahabat yang terkenal
bernama Huzaifah bin Yaman pernah
berkata tentang ajaran Islam:
اَلإِسْلاَمُ
ثَمَانِيَةُ أَسْهُمٍ: اَلصَّلاَةُ سَهْمٌ، وَالزَّكَاةُ سَهْمٌ، وَالصَّوْمُ
سَهْمٌ، وَاْلحَجُّ سَهْمٌ، وَاْلعُمْرَةُ سَهْمٌ، وَاْلجِهَادُ سَهْمٌ،
وَاْلأَمْرُ بِاْلمَعْرُوْفِ سَهْمٌ، وَالنَّهْىُ عَنِ اْلمُنْكَرِ سَهْمٌ، وَقَدْ
خَابَ مَنْ لاَ سَهْمٌ لَّهُ
Maksudnya:
" Islam mempunyai lapan saham; Pertama: solat, kedua: zakat, ketiga:
puasa, keempat: haji, kelima: umrah, keenam: jihad, ketujuh: amar makruh,
kelapan: nahi mungkar, oleh sebab itu, sesiapa yang gagal (menunaikannya) maka
tiada baginya saham ".
Mereka hanya perlu mendirikan ibadat solat lima waktu sehari semalam
sebagai tiang agama, kerana ibadat solat ini merupakan manhaj hidup asas bagi
seseorang mukmin, mereka perlu mengeluarkan zakat iaitu mengeluarkan harta
untuk diagihkan kepada orang-orang fakir atau orang-orang miskin atau mereka
yang tidak mempunyai harta benda untuk menyara kehidupan, mereka disuruh
berpuasa hanya di bulan Ramadhan sebagai ujian untuk menahan diri dari perasaan
hawa nafsu, mereka juga disuruh mengerjakan ibadat umrah dan haji ke Baitullah
bagi mereka yang berkuasa. Di samping
itu, mereka juga diseru supaya berjuang dan berjihad di dalam Allah agar
musuh-musuh tidak berani berlaku biadap terhadap Islam dan ajaran Islam.
Bahkan, kehidupan seseorang muslim itu sebenarnya adalah suatu perjuangan,
iaitu perjuangan menegakkan kalimah Allah dan membasmikan kemungkaran dalam diri
dan masyarakat seluruhnya.
Allah Ta'ala telah berfirman:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا ادْخُلُوا فِي
السِّلْمِ كَافَّةً وَلاَ تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ ۚ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُبِينٌ
Maksudnya:
" Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam agama Islam
secara menyeluruh dan janganlah kamu mengikut jejak langkah syaitan, kerana
syaitan adalah musuh kamu yang paling nyata"(Al Baqarah: 208).
Di
samping itu lagi, mereka perlu bertanggungjawab terhadap diri mereka sendiri
agar menjadi seorang manusia yang mempunyai ilmu pengetahuan tinggi dalam
ajaran agama yang boleh memberi manfaat kepada diri mereka dan juga orang lain.
Mereka perlu memahami agama dari sudut yang luas dan menyeluruh, tidak hanya
terkongkong dalam skop ibadat sahaja tanpa menoleh ke arah perspektif yang
lain. Apabila mereka berjaya membentuk diri mereka untuk memahami hakikat
agama, mereka perlu bertanggungjawab terhadap anggota keluarga mereka, dengan
memberi pendidikan dan bimbingan terhadap
pelajaran anak-anak mereka untuk memahami asas-asas dalam ajaran agama
dengan betul dan tepat. Apa yang penting, dengan pendidikan dan bimbingan itu
mereka akan dapat memelihara anak-anak dan ahli keluarga mereka dari api
neraka.
Firman Allah Ta’ala:
يآ أيها الذين آمنوا قوا أنفسكم وأهليكم نارا
Maksudnya: “ Wahai orang-orang yang
beriman! Peliharakanlah diri kamu dan ahli keluarga kamu dari api neraka ”(At
Tahrim: 6).
Kemudian, mereka perlu bertanggungjawab kepada masyarakat mereka dengan
berdakwah kepada mereka untuk kembali ke pangkuan Allah. Mereka hendaklah
membentuk masyarakat dengan acuan Islam yang syumul dan membina kekuatan mereka
di atas ubun-ubun keimanan sejagat dengan menekankan persoalan ‘aqidah sebagai
batu asas atau akar tunjang dalam pembinaan tersebut. Secara tidak langsung,
peranan penting yang harus dimainkan ialah mengeluarkan masyarakat dari kemelut
kejahilan dan kebodohan agar mereka semua berjalan di bawah cahaya petunjuk
Allah dan menjadi manusia yang benar-benar mempunyai pertalian dengan ketuhanan
Allah. Mereka perlu menterjemahkan hakikat Islam dengan betul dan tepat kepada
setiap anggota masyarakat supaya tidak terkeliru di kemudian hari.
Firman Allah Ta’ala:
واعتصموا بحبل الله جميعًا ولا تفرقوا واذكروا نعمة الله
عليكم
Maksudnya: “ Berpegang teguhlah kamu
dengan tali Allah,janganlah kamu berpecah-belah dan ingatlah kamu akan nikmat
yang dikurniakan kepada kamu ”(Ali ‘Imran: 103).
Oleh sebab itu, setiap individu muslim yang
ingin menguasai kehidupannya tanpa kongkongan hawa nafsu, dia hendaklah
membentuk kehidupannya sendiri dengan lebih universal agar dia dapat
menyaksikan ketuhanan Allah dari aspek kudrat dan keagunganNya, dia hendaklah
meletakkan suatu kepercayaan dan keyakinan yang penuh terhadap ketuhanan Allah,
bahawa tiada kekuasaan lain di sana yang lebih agung melainkan kekuasaan Allah.
Sekian, wassalam
Al Faqir Ila ‘Afwi Rabb
Lutpi Mustafa El-Batnani
No comments:
Post a Comment