Generasi
yang hendak dibentuk nanti ialah generasi yang percaya bahawa Al Quran itu
adalah Kalamullah yang qadim yang diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w.
bertujuan untuk mengeluarkan manusia dari kesesatan hidup kepada cahaya Islam
yang terang benderang, generasi yang sentiasa membaca ayat-ayat suci Al Quran
dan sentiasa mengkaji tentang ilmu-ilmu yang terdapat di dalamnya, generasi
yang mengambil Al Quran itu sebagai kitab pengajaran untuk membina masa depan
dirinya dan untuk dijadikan contoh teladan dalam kehidupannya, generasi yang
sentiasa beramal dengan arahan-arahan Al Quran dan sentiasa menjadikan
ayat-ayatnya itu sebagai zikir atau doa setiap masa dan sepanjang waktu,
generasi yang mengambil Al Quran sebagai kompas pedoman dalam perjalanan
hidupnya dan sebagai panduan dalam amalan hidupnya, generasi yang mengharapkan
bahawa hanya Al Quran itu sahaja yang akan memberi cahaya petunjuk kepadanya ke
arah jalan yang benar dan mengeluarkan manusia yang berada dalam kegelapan agar
dapat menerima cahayanya itu, generasi yang mengambil Al Quran sebagai kitab
perlembagaan yang berkesan dalam kehidupan dan menjadikan Al Quran itu sebagai
jalan penyelesaian dalam apa jua bentuk permasalahan yang berlaku.
Firman Allah Ta'ala:
وَنُنَزِّلُ مِنَ
الْقُرْآنِ مَا هُوَ شِفَاءٌ وَرَحْمَةٌ لِلْمُؤْمِنِينَ وَلا يَزِيدُ
الظَّالِمِينَ إلا خَسَارًا
Maksudnya: “ Dan Kami turunkan Al Quran itu adalah
penawar dan rahmat kepada orang-orang beriman, manakala orang-orang zalim pula
tidaklah menambah apa-apa kecuali kerugian semata-mata “ (Al Isra': 82).
Generasi yang hendak diwujudkan itu nanti ialah generasi
yang serba tahu dan serba boleh, generasi yang mempunyai kemahiran yang tinggi
tentang ilmu-ilmu Al Quran. Generasi yang hendak dibentuk nanti ialah generasi
yang memahami Al Quran sebagai kitab panduan untuk memandukan manusia ke jalan
yang lurus. Mereka adalah generasi yang membawa wadah perjuangan untuk membina
kekuatan Islam dari semua sudut, sama ada dari sudut politik dan siasah, ekonomi
dan perdagangan, pendidikan dan pembelajaran, sosial dan kebudayaan dan
seterusnya termasuk membina kekuatan dari sudut teknologi dan menguasai sebaran
am. Cuba kita perhatikan lipatan sejarah tentang kekuatan umat Islam di zaman silam, bermula
di zaman Rasulullah s.a.w. di mana baginda telah berjaya mewujudkan generasi
manusia yang faham dan mengerti tentang Al Quran, iaitu generasi sahabat yang
terdiri di kalangan ramai para pemuda yang berperibadian tinggi dan berakhlak
mulia serta berhemah tinggi dan mereka menjadi kuat dengan sebab mereka
mempunyai hubungan secara langsung dengan Allah dan RasulNya s.a.w. di samping
keimanan mereka selalu diuji, sama ada dalam peperangan atau dalam urusan
seharian.
Mereka adalah generasi sahabat yang mendapat tarbiyah
secara langsung dari Rasulullah s.a.w. dan baginda meletakkan batu asas yang
amat kukuh ke dalam jiwa mereka yang mempunyai pertalian secara langsung dengan
ketuhanan Allah. Generasi yang diwujudkan oleh baginda ini tidak pernah berlaku
pada sejarah silam sebelum ini dan tidak wujud lagi sesudah generasi itu,
kerana mereka adalah generasi yang unik yang menjadi ‘model’ kepada generasi
yang ada pada hari ini. Sumber pengetahuan utama di zaman mereka ialah Al Quran
yang menjadi petunjuk dan perlembagaan hidup mereka, walaupun ketika itu Al
Quran masih lagi diturunkan secara beransur-ansur mengikut keperluan semasa dan
peristiwa-peristiwa yang berlaku. Namun, apabila berlaku sesuatu kemusykilan,
mereka akan terus merujuk kepada Baginda s.a.w. dan apabila keputusan diambil
mereka tetap akur dan tidak lagi membantah.
Sediainya
umat Islam hari ini berjaya mewujudkan generasi yang memahami dan mendalami isi
kandungan Al Quran, nescaya umat Islam akan menjadi umat yang kuat dan disegani
oleh orang-orang bukan Islam, umat Islam akan menjadi umat yang dihormati dan
disanjungi oleh sesiapa sahaja kerana mempunyai peradaban sendiri dan boleh
jadi di sana mereka akan menjadi ‘Roll Model’ kepada generasi yang akan datang,
sama seperti generasi sahabat yang menjadi contoh kepada generasi hari ini. Umat
Islam nanti akan menjadi umat yang dipuji kerana akhlak dan peradaban hidup
yang melambangkan maruah sebagai seorang muslim yang beretika, umat Islam
tentunya pasti akan menjadi umat yang mempunyai tamadun sendiri dengan membawa
program dan manhaj hidup yang mempunyai hubung-kait dengan ketuhanan Allah,
iaitu sebuah kehidupan yang amat sesuai dengan naluri kemanusiaan itu sendiri. Umat
Islam sendiri yang akan menterjemahkan warna kehidupan yang berasaskan
pengabdian yang luhur kepada Allah dalam masyarakat tanpa dicampur-aduk dengan
mana-mana unsur yang menyimpang dari arah itu.
Umat Islam sendiri yang akan mencorak-warnakan kehidupan
dan masa depan mereka, kerana mereka telah mempunyai panduan hidup sendiri
untuk bergerak dan bertindak, iaitu Al Quran. Penguasaan Al Quran ke dalam diri
mereka bererti mereka telah mempunyai pertalian yang erat dengan Allah dan
mereka kini mempunyai hubungan secara langsung dengan kekuasaan dan keagungan
Allah, ikatan tali-temali mereka dengan Allah terlalu hampir den begitu akrab
sekali. Segala rupa bentuk amalan dan perlakuan hidup dapat mereka laksanakan
dengan penuh keikhlasan untuk dikembalikan ke pangkuan Allah.
Sesungguhnya nilai-nilai kekuatan sebuah generasi itu
akan dinilai menurut kekuatan pegangan hidup mereka, kekuatan iman yang
terpancak di dalam hati sanubari dan jiwa nurani mereka, kekuatan tersebut akan
melenyapkan penguasaan hawa nafsu dalam diri seseorang muslim dan akan
menguburkannya sehingga ke akar umbi dan sehingga hawa nafsu itu tidak berani
muncul lagi.
Firman Allah Ta'ala:
إِنَّ الَّذِي
فَرَضَ عَلَيْكَ الْقُرْآنَ لَرَادُّكَ إِلَىٰ مَعَادٍ
Maksudnya: “ Sesungguhnya Dialah yang menfardhukan
kepada kamu tentang Al Quran, sudah tentu akan memulangkan kamu ke tempat
kembali “ (Al Qashash: 85).
Ini kerana setiap amalan yang
dilakukan semasa di atas dunia ini akan dihitungkan di hari akhirat kelak,
sudah pasti orang-orang yang melakukan amalan kebaikan akan dibalas dengan
kebaikan dan begitu juga dengan orang-orang yang melakukan kejahatan tetap akan
di balas dengan kejahatan. Apabila seseorang muslim menerima cahaya petunjuk
dari Al Quran yang dipancarkan kepadanya, bererti dia telah mendapat cahaya
keimanan dari Allah dan sesungguhnya Allah memilih sesiapa sahaja yang layak
untuk menerima cahaya tersebut. Maka penerimaan cahaya tersebut akan
mencetuskan kekuatan rohani dan jasmani ke dalam dirinya, secara tidak langsung
akan membentuk kekuatan sendiri yang digaul sebati dalam darah dagingnya.
Cahaya tersebut akan menjadi jarum kompas untuk memandu arah dan tujuan
perjalanan hidupnya bagi mencapai impian yang nyata, cahaya tersebut akan
menerangi luang-lingkup kehidupannya apabila dia berada di dalam kegelapan.
Namun, cahaya tersebut tidak akan mengeluarkan sinar sediainya si muslim itu
tadi tidak mempunyai apa-apa hubungan dengan Allah.
Mari kita perhatikan sepotong hadith
yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda:
إن
الله تعالى قال: مَنْ عَادَى لِىْ وَلِيًّا فَقَدْ آذَنْتُهُ بِالْحَرْبِ،
وَمَا يَتَقَرَّبُ اِلَيَّ عَبْدِىْ
بِشَىْءٍ أَحَبَّ اِلَىَّ مِمَّا افْتَرَضْتُهُ عَلَيْهِ، وَلاَ يَزَالُ عَبْدِىْ
يَتَقَرَّبُ اِلَيَّ بِالْنَّوَافِلِ حَتَّى أُحِبُّهُ، فَإِذَا أَحْبَبْتُهُ
كُنْتُ سَمْعَهُ الَّذِى يَسْمَعُ بِهِ،
وَبَصَرَهُ الَّذِى يُبْصِرُبِهِ،
وَيَدَهُ الَّتِى يَبْطِشُ بِهَا، وَرِجْلَهُ الَّتِى يَمْشِىْ بِهَا،
وَلَئِنْ سَأَلَنِى لأُعْطِيَنَّهُ، وَلَئِنِ اسْتَعَاذَنِى لأُعِيْذَنَّهُ
Maksudnya: “ Sesungguhnya Allah Ta'ala
telah berfirman: Sesiapa yang menyakiti wali Ku nescaya Aku isytiharkan perang
ke atasnya dan tidaklah seseorang hamba menghampiri Ku dengan sesuatu yang
lebih Aku sukai apabila ia melakukan apa yang Aku fardhukan ke atasnya, dan ia
juga sentiasa mendekatkan dirinya kepada Ku dengan melakukan amalan sunat hingga
Aku mencintainya, apabila Aku telah mencintainya, Akulah pendengarannya yang ia
dengar, Akulah penglihatannya yang ia lihat, Akulah tangannya yang ia lakukan
dan Akulah kakinya yang ia berjalan, jika ia meminta sesuatu kepada Ku, nescaya
Aku perkenankan permintaannya dan jika ia memohon perlindungan kepada Ku,
nescaya Aku melindunginya “ (Riwayat Bukhari).
Manakala Imam Bukhari
r.a. pula telah meriwayatkan melalui sanadnya sendiri yang diambil dari Umar
bin Abdul Aziz r.a. bahawa beliau telah menulis sepucuk surat kepada 'Udiy bin
'Udiy:
إِنَّ
لِلإِيْمَانِ فَرَائِضَ وَشَرَائِعَ وَحُدُوْدًا وَسُنَنًا فَمَنِ اسْتَكْمَلَهَا
اسْتَكْمَلَ اْللإِيْمَان وَمَنْ
لَمْ يَسْتَكْمَلْهَا لَمْ يَسْتَكْمَلْ اْللإِيْمَانِ
Maksudnya: “ Sesungguhnya iman itu
terdapat beberapa kefardhuan dan syari'at, batas sempadan dan juga sunnah
perjalanan, sesiapa yang dapat menyempurnakannya, maka sempurnalah
imannya dan sesiapa pula yang tidak dapat menyempurnakannya, maka pincanglah
imannya “.
Pembentukan generasi masa depan yang menepati nilai-nilai
kemanusiaan bermula dari dalam diri setiap individu itu sendiri, seseorang hamba
itu akan berusaha membentuk dirinya untuk menjadi seorang hamba yang mampu dan
berkebolehan, dia akan berusaha membina impian hidup untuk menjadi hamba yang
boleh berdiri di atas kakinya sendiri dan di atas prinsip hidupnya sendiri,
kerana dari situlah bermulanya titik tolak operasi kehidupan untuk memimpin
kaum keluarga dan kerabatnya, sahabat hdiai dan teman seiringnya, jiran
tetangga dan masyarakat sekitarnya dan
seterusnya negara yang tercinta. Maka, generasi yang akan muncul nanti
ialah generasi yang mempunyai pertalian dengan Allah, Tuhan Yang Maha Agung,
iaitu generasi yang faham dan mengerti tentang peranan hidup yang harus
dimainkan dalam masyarakat. Maka dengan sebab itu, mereka perlu memperluaskan
empayar tamadun ilmu dengan mengkaji dan meneliti ilmu-ilmu yang terdapat di
dalam Al Quran dan mencetuskan idea-idea baru yang boleh diketengahkan untuk
pembangunan masyarakat moden hari ini.
Mereka mesti menjadi generasi yang berani bergerak,
bertindak, mengolah dan mengubah sesuatu perkara untuk disesuaikan dengan
keadaan semasa dengan syarat apa yang dilakukan itu tidak terkeluar dari
garisan syari’at. Mereka juga perlu bijak mencetuskan idea dengan menggunakan
konsep ‘ijtihad’ dalam persoalan hukum yang masih kabur dan persoalan-persoalan
semasa yang seringkali berlaku dalam masyarakat dan merekalah yang menjadi
penyelesai untuk mengeluarkan ‘kata putus’ dalam sesuatu masalah yang meldia
masyarakat. Akhirnya nanti, mereka tetap akan menjadi generasi yang unggul dan excellent,
generasi yang menjadi pewaris kepada khazanah yang ditinggalkan oleh para
nabi-nabi.
Firman Allah Ta'ala:
كُنْتُمْ خَيْرَ
أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ
الْمُنْكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ
Maksudnya: “ Kamu adalah sebaik-baik umat yang
dilahirkan untuk manusia, (tugas dan tanggungjawab ialah) kamu disuruh mengerjakan
kebaikan dan mencegah kemungkaran serta kamu beriman kepada Allah“ (Ali 'Imran:
110).
Pelaksanaan program seperti ini akan
menambahkan lagi nilai-nilai keunggulan diri dan keberanian serta kehebatan
generasi tersebut, di samping menjadikan diri mereka di kalangan orang-orang
yang beruntung. Untuk membentuk kekuatan diri, setiap individu muslim
memerlukan suatu kekuatan lain yang menjadi batu asas dan akar tunjang yang
kuat untuk ditanam ke dalam hati sanubari dan jiwa nurani supaya prinsip
kehidupan yang dibawa itu tidak mudah tercicir dan supaya maruah diri tidak
akan mudah tercemar. Sebagai muqaddimahnya dia perlu memimpin impian hidupnya
di atas satu prinsip yang dijelmakan di atas satu pengakuan, iaitu pengakuan
ketuhanan: LAA ILAHA ILLAH dan kemudian dijelmakan pula pengakuan kenabian:
MUHAMMADUR RASULULLAH. Kedua-dua pengakuan ini merupakan tembok pertahanan yang
kuat dan kukuh untuk menghalang sebarang rupa bentuk ancaman yang datang
menjelma. Maka, dengan sendirinya dia akan menjadi manusia yang kuat dan
perkasa, kerana pengakuan tersebut akan menolak apa jua bentuk kekuatan dan
kekuasaan selain dari kekuatan dan kekuasaan Allah.
Pengakuan tersebut akan menambahkan lagi semangat ke arah
mewujudkan generasi yang hendak dibentuk itu, kerana di sana umat Islam telah
mempunyai satu agenda yang hendak diserapkan ke dalam program kehidupan
generasi tersebut, mereka telah mempunyai satu ramuan dan cita rasanya
tersendiri untuk membentuk masyarakat supaya kembali ke pangkuan Allah. Kita
juga perlu memahami tabiat dan realiti kehidupan, kerana untuk membentuk
generasi yang unggul itu, di sana terdapat beberapa syarat penting yang perlu
dilaksanakan supaya perjalanan hidup generasi yang hendak dibentuk itu nanti
tidak menjadi pincang dan buta teraba-raba:
PERTAMA:
Generasi yang hendak dibentuk itu mesti mempunyai hubungan dan pertalian yang
erat dengan ketuhanan Allah, dengan sebab itu mereka akan melayakkan diri untuk
mendapat kurniaan dan pertolongan dari Allah.
KEDUA:
Mereka adalah generasi yang praktikal, generasi yang suka berjuang dan
berjihad, generasi yang suka beramal dengan suruhan Allah, generasi yang
‘bangun dari tidur’ yang sentiasa bersiap sedia untuk mengaplikasikan kehidupan
di bawah pengawasan Allah.
KETIGA:
Generasi yang hendak dibentuk itu adalah generasi yang sentiasa beristiqamah dan
komitmen dengan pengabdian hidup terhadap ketuhanan Allah, generasi yang
mempunyai prinsip perjuangan dan perjalanan hidup, bukan generasi yang sentiasa
berubah-ubah pegangan hidup atau amalan hidup ataupun perjuangan hidup.
KEEMPAT:
Generasi tersebut perlu mempunyai ilmu pengetahuan yang
‘cukup masak’ yang mampu memimpin masyarakat kembali ke pangkuan Allah.
Sebabnya, setiap manusia yang berada dalam masyarakat
tidak boleh memisahkan diri dari pegangan hidup dengan Allah, kerana manusia
dicipta oleh Allah dan mesti berterima kasih kepada Allah. Manakala ilmu
pengetahuan itu pula akan memberi laluan kepada generasi tersebut untuk
mengeluarkan masyarakat dari kemelut kejahilan dengan memberi kefahaman yang mendalam
tentang apa jua persoalan hidup, sama ada yang berkaitan dengan amal ibadat,
pergaulan seharian, moral dan akhlak dan lain-lain perkara. Sebab itu, mereka
merupakan generasi yang bertanggungjawab membentuk dan memimpin masyarakat ke
jalan yang benar, mereka merupakan generasi yang akan mengeluarkan anggota
masyarakat dari lubuk kejahilan dan kebodohan, mereka juga merupakan generasi
yang memainkan peranan penting untuk membasmikan kemungkaran dan mereka tidak
sekali-kali membiarkan masyarakat terumbang-ambing dibawa arus kesesatan. Di
sana, mereka perlu merangka program amar makruf nahi mungkar untuk dilaksanakan
ke dalam masyarakat, kerana pelaksanaan program ini mesti dilakukan secara
praktikal bukan secara teori.
Pelaksanaan program ini mesti dihidupkan
secara bersama dan beriringan, tidak harus dipisahkan antara satu sama lain,
kerana hanya menumpukan kepada aspek makruf sahaja dan meninggalkan aspek
mungkar ataupun hanya menumpukan perhatian kepada aspek mungkar sahaja dan
meninggalkan aspek makruf, kerana kedua-dua perkara ini disebut oleh Allah
secara bersama yang merupakan suatu tuntutan dan saranan yang wajib dipatuhi
oleh setiap muslim, lebih-lebih lagi mereka yang mencari keredhaan Allah.
Firman Allah Ta'ala:
وَلْتَكُنْ
مِنْكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ
وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَأُولَٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ
Maksudnya: “ Mesti ada di kalangan kamu umat yang
menyeru kepada kebaikan, mereka menyuruh kepada yang makruf dan mencegah
kemungkaran dan mereka itulah orang-orang yang beruntung“ (Ali 'Imran: 104).
Tugas
dan tanggungjawab ini amat berat untuk dipikul dan tidak boleh diletakkan di
atas bahu seseorang individu semata-mata, namun walau apa sekalipun pelaksanaan
amar makruf nahi mungkar ini merupakan suatu kerangka program yang mesti
dilakukan secara bersama. Cuba kita perhatikan di sana, gambaran sebenar
tentang sikap orang-orang yang beriman terhadap program ini, yang saling
bantu-membantu di antara satu sama lain, di antara lelaki dan perempuan yang
sentiasa bekerja keras untuk mencapai cita-cita dan impian mereka, sebagaimana
gambaran yang diukir itu terdapat di dalam Al Quran.
Firman Allah Ta’ala:
وَالْمُؤْمِنُونَ
وَالْمُؤْمِنَاتُ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ يَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ
الْمُنْكَرِ
Maksudnya: “ Lelaki yang beriman dan perempuan yang
beriman menjadi penolong di antara satu sama lain, mereka menyeru kepada
kebaikan dan mencegah kemungkaran “ (At Taubah: 71).
Gambaran
pelaksanaan konsep hidup generasi yang hendak dibina menurut perspektif Islam
dalam bentuk yang lebih syumul mesti dikaitkan dengan kefahaman tentang hakikat
Islam itu sendiri, di mana amalan-amalan hidup yang dilaksanakan tidak harus
keluar melepasi garis sempadan dan ruang-lingkup dalam manhaj Islam itu,
manakala sebarang unsur yang tidak termasuk dalam manhaj Islam mesti
dilenyapkan terus dalam konsep kehidupan. Generasi yang muncul menurut acuan Al
Quran ialah generasi yang bertindak bijak dalam masyarakat, mereka tetap
berdiri di jalan yang benar dan tetap berkata benar sekalipun dalam kalangan
manusia tidak menyukai mereka. Mencegah kemungkaran adalah suatu kewajiban yang
mestilah dilaksanakan oleh mereka, sama ada dengan tangan atau dengan lidah
atau dengan hati.
Sepotong hadith yang diriwayatkan
oleh Abu Said Al Khudri r.a. bahawa
Rasulullah s.a.w. telah bersabda:
مَنْ رَأَى
مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرُهُ بِيَدِهِ فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ
فَبِلِسَانِهِ فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ وَذَلِكَ أَضْعَفُ
اْلإِيْمَانِ
Maksudnya: “ Sesiapa yang melihat perkara mungkar,
maka hendaklah dia mengubah dengan tangannya, sekiranya dia tidak berkuasa maka
hendaklah mengubah dengan lidahnya dan sekiranya dia tidak berkuasa juga, maka
hendaklah mengubah dengan hati dan yang demikian itu adalah selemah-lemah iman “
(Riwayat Muslim).
Generasi yang hendak dibentuk di
atas prinsip Al Quran itu ialah generasi pejuang yang berani terjun ke medan
menyeru manusia kembali ke jalan Allah, kerana tugas ini merupakan suatu
kewajiban yang perlu dilaksanakan oleh generasi tersebut, kerana itu juga tugas
ini akan dapat menambahkan bilangan manusia memahami Islam secara syumul dan
memeluk Islam untuk mendapat petunjuk dan hidayat dari Allah. Di dalam
mengharungi kerja-kerja dakwah dan kerja-kerja menyeru masyarakat kembali ke
pangkuan Allah, di sana mereka memerlukan beberapa uslub penyampaian yang
berkesan dan cara-cara bertindak dengan baik supaya menarik minat orang ramai
ke arah Islam, kerana seruan menyeru manusia ke jalan Allah merupakan tugas
utama para rasul-rasul yang diutuskan sejak dahulu lagi.
Sepotong hadith yang diriwayatkan oleh
Ibn Mas'ud r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda:
مَا مِنْ نَبِىٍّ بَعَثَهُ اللهُ فِىْ
أُمَّةٍ مِنْ قَبْلِىْ اِلاَّ كَانَ لَهُ حَوَارِيُّوْنَ وَأَصْحَابٌ يَأْخَذُوْنَ
بِسُنَّتِهِ وَيَقْتَدُوْنَ بِأَمْرِهِ، ثُمَّ إِنَّهَا تَخْلُفُ مِنْ بَعْـدِهِمْ
خُلُوْفٌ يَقُوْلُوْنَ مَالاَ يَفْعَلُوْنَ وَيَفْعَلُوْنَ مَالاَ يُؤْمَرُوْنَ،
فَمَنْ جَاهَدَهُمْ بِيَدِهِ فَهُوَ مُؤْمِنٌ، وَمَنْ جَاهَدَهُمْ بِلِسِانِهِ
فَهُوَ مُؤْمِنٌ، وَمَنْ جَاهَدَهُمْ بِقَلْبِهِ فَهُوَ مُؤْمِنٌ، لَيْسَ وَرَاءُ
ذَلِكَ مِنَ اْلإِيْمَانِ حَبًّةُ خَرْدَلٍ
Maksudnya: “ Setiap nabi yang dibangkitkan oleh Allah
kepada sesuatu umat sebelum ku mempunyai pengikut yang setia dan para sahabat
yang sentiasa mengambil sunnah perjalanannya serta selalu mengikut arahannya,
kemudian berlalu beberapa generasi dan muncul pula generasi yang kemudian,
mereka mengatakan tetapi tidak melakukan, sebaliknya melakukan apa yang tidak
disuruh, sesiapa yang berjuang menentang mereka dengan tangannya, maka dia
adalah beriman, sesiapa yang berjuang dengan lidahnya, maka ia adalah beriman
dan sesiapa yang berjuang dengan hatinya maka ia juga adalah beriman dan tiada
lagi iman selepas itu walaupun sebesar biji sawi “ (Riwayat Muslim).
Ketahulah wahai saudara muslim..!
Sesungguhnya jalan Islam itu amat luas terbentang, jalan Islam itu dipenuhi bau
wangi-wangian dan dihiasi pancaran cahaya kegemerlapan, jalan Islam itu
merupakan jalan yang menerangi ruang-lingkup hidup manusia, jalan yang mengajak
manusia berdiri teguh di atas ubun-ubunnya dan di atas panji-panji kebenaran,
jalan yang membentuk syaksiyah diri manusia dengan nilai-nilai yang unggul dan
jalan untuk membina sebuah keyakinan dengan meletakkan ‘aqidah sebagai teras
dalam perjuangan.
Firman Allah Ta'ala:
قُلْ هَٰذِهِ
سَبِيلِي أَدْعُو إِلَى اللهِ عَلَىٰ
بَصِيرَةٍ أَنَا وَمَنِ اتَّبَعَنِي وَسُبْحَانَ اللهِ وَمَا أَنَا مِنَ
الْمُشْرِكِينَ
Maksudnya: “ Katakanlah: Inilah jalan ku yang mengajak
(manusia) ke jalan Allah dengan pdiangan yang jelas, aku dan para pengikut ku,
Maha Suci Allah dan aku tidak termasuk di kalangan orang-orang musyrikin “ (Yusuf:
108).
Setiap generasi yang hendak dibentuk
itu mesti melengkapkan diri dengan pelbagai ilmu pengetahuan agar dapat memberi
petunjuk kepada diri mereka sendiri dan juga masyarakat seluruhnya. Ilmu
pengetahuan itu akan membentuk keunggulan diri mereka sebagai manusia yang
normal dan bertamadun dan mempunyai etika dalam peradaban hidup. Yang penting
ilmu tersebut dapat mengikat erat hubungan mereka dengan Allah agar tidak putus
terburai, hancur berkecai.
Firman Allah Ta'ala:
ادْعُ إِلَىٰ
سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ وَجَادِلْهُمْ
بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ
Maksudnya: “ Serulah manusia ke jalan Tuhan dengan
bijaksana dan pengajaran yang baik, berdebatlah dengan mereka mengikut cara
yang sebaik-baiknya “ (An Nahl: 125).
Sesungguhnya seruan menyeru manusia ke jalan Allah
merupakan tugas dan tanggungjawab yang sebenar yang perlu dilakukan oleh setiap
generasi ini setelah mereka mendapat pengiktirafan dari Allah. Mereka mesti
bersiap sedia dan mampu memimpin masyarakat untuk membawa mereka kembali ke
pangkuan Allah, kerana mereka mempunyai keupayaan dalam semua bentuk dan
memiliki kehebatan serta keistimewaan supaya dapat mempengaruhi masyarakat dan
menarik minat mereka ke arah Islam. Lihatlah contoh teladan yang ada pada diri
Rasulullah s.a.w. yang telah berjaya pemimpin masyarakat sepanjang zaman dan
sehingga kini ajaran Islam yang dibawa oleh baginda s.a.w. dapat mempengaruhi
masyarakat dunia untuk menerima Islam sebagai program hidup yang berkesan. Tugas dan tanggungjawab menyeru
manusia tidak boleh dilakukan oleh manusia biasa, apatah lagi mereka yang tidak
punya ilmu pengetahuan. Maka, realiti ini mesti diberikan kepada orang-orang
yang mempunyai ilmu yang mendalam, kerana ilmu tersebut merupakan bekalan dan
panduan untuk membina kehidupan masyarakat dan menyelesaikan apa-apa
permasalahan yang berlaku. Dengan sebab itu, mereka harus mengerti dan memahami
konsep syari’at yang diturunkan oleh Allah di samping menguasai isi kandungan
yang terdapat dalamnya untuk diprogramkan ke dalam masyarakat.
Sabda
Rasullulah s.a.w.
مَنْ
أَرَادَ الدُّنْيَا فَعَلَيْهِ بِالْعِلْمِ وَمَنْ أَرَادَ اْلآخِرَةَ فَعَلَيْهِ
بِالْعِلْمِ وَمَنْ أَرَادَهُمَا فَعَلَيْهِ بِالْعِلْمِ
Maksudnya:
“ Sesiapa mahukan dunia,
maka
hendaklah mencapainya dengan ilmu, sesiapa yang mahukan akhirat, maka hendaklah
mencapainya dengan ilmu dan sesiapa yang mahukan kedua-duanya sekali, maka juga
dengan ilmu
“.
Sebab itu,
generasi masa depan yang hendak dibentuk ialah generasi yang intelektual dengan
berpandukan kepada prinsip syari’at dan berpegang teguh kepada realiti yang
nyata. Sediainya mereka gagal memprogramkan prinsip syari’at dalam kehidupan
bermasyarakat, bererti mereka telah gagal memainkan peranan sebagai seorang
intelektual atau sebagai seorang pendakwah dan secara tidak langsung kegagalan
ini telah memberi ruang kepada jahiliyah dan suku-sakatnya untuk masuk ke dalam
masyarakat tersebut. Sesungguhnya Islam telah membentangkan syari’atnya sendiri
untuk diprogramkan kepada sekalian umat manusia dan syari’at Islam ini adalah
dicipta oleh Allah sendiri tanpa diceduk dari mana-mana syari’at lain atau
dicampur-aduk dengan mana-mana sumber lain. Sebab itu, pembentukan generasi
masa depan ini mesti mempunyai nilai-nilai kemanusiaannya yang tersendiri,
kerana sekiranya mereka tidak mempunyai nilai dan tidak pula bermaruah, nanti
mereka tidak mempunyai harga diri dalam pasaran, kerana kehidupan yang mereka
miliki sekarang adalah kehidupan yang rendah mutunya dan tidak punya apa-apa
kualiti. Jika demikian, bagaimana generasi itu mahu bangkit untuk membina tamadun
sendiri dan bagaimana pula mereka mahu mewujudkan kepakaran teknologi sendiri,
sedangkan pembinaan tamadun dan teknologi itu memerlukan nilai-nilai
kemanusiaan yang akan mencetuskan pemikiran yang bijak untuk berubah dan
mengubah serta merombak sistem kehidupan yang mundur dan jumud kepada kemajuan
dan kecanggihan…
Maka,
di sinilah letaknya nilai dan kekuatan generasi yang hendak diwujudkan ini,
mereka adalah generasi yang menjadi pewaris untuk mempusakai amanah yang telah
ditinggalkan oleh para ulama silam. Sudah tentu, di sana ada banyak tugas dan
tanggungjawab yang perlu diselesaikan.
Firman Allah Ta'ala:
يَا أَيُّهَا
الَّذِينَ آمَنُوا إِنْ تَنْصُرُوا اللَّهَ يَنْصُرْكُمْ وَيُثَبِّتْ
أَقْدَامَكُمْ
Maksudnya: “ Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu
menolong meninggikan agama Allah, nescaya Dia akan menolong kamu dan meneguhkan
kedudukan kamu “ (Muhammad: 7).
Sekian,
wassalam
Al
Faqir Ila ‘Afwi Rabb
Lutpi
Mustafa El-Batnani