PENGUASAAN ISTIQOMAH DALAM KEHIDUPAN

Saturday 28 January 2012

AL QURAN SEBAGAI PEDOMAN


Sesungguhnya kehidupan itu memerlukan kompas untuk dijadikan pedoman atau penunjuk arah untuk sampai ke destinasi yang hendak dituju, kehidupan itu juga memerlukan cahaya yang terang untuk menyuluh perjalanan hidup, supaya mereka yang berjalan itu tidak sesat dan tidak pula tergelincir dari ldiasan yang dilalui, kehidupan itu juga memerlukan ‘payung’ sebagai tempat berteduh dari panas yang terik dan juga dari hujan yang mencurah turun. 

     Manusia yang tidak punya apa-apa pedoman dalam laluan hidup, tidak punya fakta panduan, tidak punya bekalan cahaya, tidak punya ciri-ciri keselamatan dan lain-lain bantuan dalam perjalanan  mungkin akan mengalami kesukaran untuk melangkah dan untuk sampai ke destinasi yang dituju. Mungkin mereka lambat sampai ke destinasi yang hendak dituju, tetapi apa yang pastinya mereka akan menghadapi pelbagai masalah untuk sampai ke sana. Pedoman dan panduan yang paling baik untuk dibawa dalam perjalanan hidup ialah Al Quran, iaitu sebuah kitab yang boleh dijadikan rujukan untuk menyelesaikan kemusykilan yang dihadapi semasa perjalanan, kitab yang boleh dijadikan penyuluh ketika manusia berada dalam kegelapan semasa meneruskan perjalanan, kitab yang boleh memberi kekuatan dan aspirasi semasa mereka berada dalam keadaan ketakutan,  kitab yang boleh mengeluarkan manusia dari kesesatan lalu-lintas apabila jalan yang dilalui itu terlalu gelap atau terdapat gangguan cuaca yang kurang baik atau keadaan jalan yang bengkang-bengkok dan bersimpang-siur yang menyebabkan mereka tersasar dan melencong sedikit dari jalan asal, kitab yang boleh membetulkan semula arah dan hala tuju yang sebenar agar gerombongan yang berjalan itu benar-benar sampai ke tempat yang dituju dan tepat pada masanya. Al Quran merupakan kitab kesinambungan daripada kitab-kitab yang diturunkan oleh Allah sejak dahulu lagi seperti kitab Zabur yang diturunkan kepada Nabi Daud, kitab Taurat kepada Nabi Musa dan kitab Injil kepada Nabi Isa a.s. Manakala Al Quran yang diturunkan dalam Bahasa Arab kepada Nabi Muhammad s.a.w. adalah untuk melengkapkan kitab-kitab terdahulu yang membatalkan segala syariat, peraturan dan undang-undang serta hukum-hakam yang telah diturunkan kepada umat-umat yang terdahulu. Al Quran tidak diturunkan sekaligus sebagaimana kitab-kitab yang terdahulu, tetapi ianya diturunkan mengikut keperluan dan kehendak semasa mengikut sebab-sebab tertentu. 

     Al Quran juga diturunkan bertujuan untuk menjelaskan peristiwa-peristiwa yang berlaku ketika itu dan menghuraikan kekusutan yang dihadapi oleh masyarakat serta menyelesaikan permasalahan hidup yang berlaku. Ayat-ayat yang diturunkan di Mekah lazimnya memperkatakan tentang aqidah keimanan dan ketauhidan kepada Allah, Tuhan Yang Satu, manakala ayat-ayat yang diturunkan di Madinah pula biasanya memperkatakan tentang hukum-hakam dan peraturan hidup manusia. Pokok persoalan yang dibahaskan di dalam Al Quran mengandungi pelbagai aspek dan lapangan hidup manusia, mencakupi semua sekali perkara-perkara yang berkaitan dengan urusan kemanusiaan, sama ada di dunia dan di akhirat. Al Quran ada juga menceritakan kisah-kisah purbakala dan kisah-kisah umat yang terdahulu yang menjadi pengajaran untuk generasi yang akan datang. Oleh itu, tiada siapa yang dapat menandingi kehebatan Al Quran, baik dari segi fakta-faktanya yang tepat atau dari sudut balaghahnya yang hebat atau uslub serta gaya bahasanya yang sangat menarik, ditambah pula peraturan-peraturan dan undang-undang di dalamnya yang merupakan hukum-hakam yang wajib dipatuhi oleh setiap manusia. Di dalamnya juga terdapat pengajaran dan contoh teladan yang baik untuk dihayati oleh manusia dan mengambilnya sebagai petunjuk ke jalan yang lurus. Tiada sebab mengapa manusia harus mempertikaikan Al Quran, melainkan kerana perasaan keras hati atau atau kerana kejahilan yang menguasai jantung hati.

Allah berfirman:

وَإِنْ كُنْتُمْ فِي رَيْبٍ مِمَّا نَزَّلْنَا عَلَىٰ عَبْدِنَا فَأْتُوا بِسُورَةٍ مِنْ مِثْلِهِ وَادْعُوا شُهَدَاءَكُمْ مِنْ دُونِ اللَّهِ إِنْ كُنْتُمْ صَادِقِينَ

Maksudnya: “ Dan sekiranya kamu ragu-ragu tentang apa yang Kami turunkan kepada hamba Kami, maka hendaklah kamu bawa satu surah yang serupa dengannya dan panggillah saksi-saksi kamu selain dari Allah, sekiranya kamu orang-orang yang benar”(Al Baqarah: 23).

          Allah Taala sendiri mencabar mereka yang meragui kesucian Al Quran supaya mereka menulis hanya satu surah sahaja yang setanding dengan Al Quran atau yang lebih baik dari Al Quran. Tetapi, mereka sebenarnya tidak sekali-kali dapat melakukannya dan tidak akan dapat melakukannya, biarpun pelbagai tuduhan yang dilemparkan kepada Al Quran, namun ianya tetap menjadi  kitab perlembagaan hidup untuk setiap individu muslim.  Sekalipun Al Quran itu dikoyak-rabak oleh musuh-musuh yang bencikan Islam atau naskah Al Quran itu dibakar hangus sehingga menjadi debu atau dicetak dan dibuat salinan semula dengan diubah-ubah huruf dan gaya bahasanya atau pelbagai cara untuk memusnahkan Al Quran yang bertujuan menghalang dan menjauhi manusia dari Al Quran, namun Al Quran itu tetap unggul dan tetap terpelihara sama sahaja seperti yang asal, sebagaimana yang diturunkan sejak zaman Nabi s.a.w.

Firman Allah Taala:

فَإِنْ لَمْ تَفْعَلُوا وَلَنْ تَفْعَلُوا فَاتَّقُوا النَّارَ الَّتِي وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ  أُعِدَّتْ لِلْكَافِرِينَ

Maksudnya: “ Kamu tidak dapat melakukannya dan tidak akan sekali-kali dapat melakukannya, takutlah api neraka yang menjadi unggunnya terdiri dari manusia dan batu-batu, disediakan untuk orang-orang kafir” (Al Baqarah: 24).
 
 Setiap individu muslim yang ingin mencari kebenaran dan ingin mencari ketenangan dalam hidup mesti menjadikan Al Quran itu sebagai petunjuk atau sebagai cahaya kebenaran atau sebagai penawar dalam kesusahan dan kesakitan ataupun menjadikannya sebagai perlembagaan hidup. Di antara ramuan hidup yang perlu dihayati oleh setiap individu muslim ialah meletakkan Al Quran dalam hati sanubari dan  jiwa nuraninya sebagai kompas pedoman di dalam laluan hidupnya.

Sekian, wassalam



Al Faqir Ila ‘Afwi Rabb
Lutpi Mustafa El-Batnani

1 comment:

  1. Boleh minta email penulis blog ni? Email sya adamkenndy@live.com

    ReplyDelete