PENGUASAAN ISTIQOMAH DALAM KEHIDUPAN

Friday 15 July 2011

CAHAYA LAA ILAHA ILLALLAH MUHAMMADUR RASULULLAH (SIRI KETIGA)



1. PENAFIAN LAA ILAHA ILLALLAH ( لاإلــه ):
Konsep penafian yang ada dalam kalimah LAA ILAHA ILLALLAH ini membawa pengertian; menafikan tuhan-tuhan yang lain selain dari Allah secara mutlak. Penafian ini juga menafikan kekuasaan yang lain selain dari Allah dalam apa jua bentuk dan keadaan, sama ada berbentuk patung berhala atau berbentuk jelmaan ataupun pemujaan terhadap roh-roh yang telah mati atau pemujaan hantu syaitan. Konsep penafian ini bertindak menafikan bahawa sifat-sifat yang ada pada Allah Ta’ala itu mempunyai persamaan dengan sifat-sifat makhluk ataupun sifat-sifat makhluk itu mengatasi sifat-sifat Allah. Konsep ini juga menafikan segala rupa bentuk perbuatan Allah atau af’alullah  mempunyai persamaan dengan lain-lain makhluk atau mengatasi perbuatan Allah. Penafian itu adalah penafian buat selama-lamanya tanpa ada perasaan syak dan ragu-ragu dalam perasaan hati sanubari dan jiwa nurani. Di antara penafian tersebut ialah:

1.1.Menafikan Tuhan Selain Dari Allah
Menafikan wujudnya tuhan-tuhan yang lain selain dari Allah, sebagaimana yang telah dinyatakan oleh Allah di dalam firmanNya:

قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ اللَّهُ الصَّمَدُ لَمْ يَلِدْ وَلَمْ يُولَدْ وَلَمْ يَكُنْ لَهُ كُفُوًا أَحَدٌ

Maksudnya: " Katakanlah! Dialah Allah Tuhan yang Maha Esa, Allah adalah tempat pergantungan, Dia tidak beranak dan tidak diperanakkan, tiada sesuatupun yang serupa denganNya " (Al Ikhlas: 1-4).

Penafian tuhan-tuhan yang lain selain dari Allah merupakan suatu hakikat yang relevant dan ianya merupakan siri perjalanan dakwah para rasul-rasul yang diutuskan terdahulu yang menyeru kaumnya supaya beriman kepada Allah, Tuhan yang satu.

Firman Allah Ta'ala:

قَالُوا أَجِئْتَنَا لِنَعْبُدَ اللَّهَ وَحْدَهُ وَنَذَرَ مَا كَانَ يَعْبُدُ آبَاؤُنَا ۖ فَأْتِنَا بِمَا تَعِدُنَا إِنْ كُنْتَ مِنَ الصَّادِقِينَ

Maksudnya: " Mereka berkata:  Apakah kedatangan kamu kepada kami bermaksud supaya kami semua mengabdikan diri kepada Allah, Tuhan yang Maha Esa dan kami tinggalkan apa yang telah disembah oleh datuk nenek moyang kami? Datangkanlah apa yang telah kamu ancamkan kepada kami sekiranya kamu termasuk orang-orang yang benar " (Al A'raf: 70).


1.2. Menafikan Kekuasaan Lain-Lain Tuhan
Menafikan terdapat kekuasaan tuhan-tuhan yang lain selain dari Allah yang berkompromi dan bekerja sama di dalam mengurus dan mentadbir putaran alam ini.

Firman Allah Ta'ala:

أَمِ اتَّخَذُوا آلِهَةً مِنَ الأَرْضِ هُمْ يُنْشِرُونَ لَوْ كَانَ فِيهِمَا آلِهَةٌ إِلاَّ الله لَفَسَدَتَا ۚ فَسُبْحَانَ اللهِ رَبِّ الْعَرْشِ عَمَّا يَصِفُونَ

Maksudnya: " Adakah mereka mengambil tuhan-tuhan dari bumi untuk menghidupkan (orang yang telah mati)? Sekiranya di langit dan di bumi terdapat tuhan-tuhan selain dari Allah, sudah tentu keduanya akan binasa, Maha Suci Tuhan yang mempunyai 'arasy terhadap apa yang mereka sifatkan " (An Anbiya: 21-22).


Setiap mereka yang mengaku beriman kepada Allah mestilah menafikan hakikat ini bahawa tiada sesiapapun di atas dunia ini bersyarikat dengan kekuasaan Allah.


1.3. Menafikan Patung Berhala Sebagai Tuhan
Menafikan patung berhala yang menjadi kepercayaan karut-marut umat-umat yang terdahulu atau sebarang rupa bentuk ukiran ataupun ciptaan yang direka oleh manusia mempunyai kuasa dan layak untuk disembah sebagai tuhan dan wajib pula ditaati. Sebagaimana yang terdapat di dalam Al Quran tentang kisah Nabi Ibrahim a.s. bersama bapanya yang bernama Azar seorang pengukir patung berhala. Bapanya mengukir patung berhala untuk dijadikan sebagai tuhan yang layak disembah.

Nabi Ibrahim a.s. bertanya kepada bapanya:

وَإِذْ قَالَ إِبْرَاهِيمُ لأبِيهِ آزَرَ أَتَتَّخِذُ أَصْنَامًا آلِهَةً ۖ إِنِّي أَرَاكَ وَقَوْمَكَ فِي ضَلاَلٍ مُبِينٍ

Maksudnya: " Dan ketika Ibrahim berkata kepada bapanya Azar: Berhalakah yang kamu ambil sebagai tuhan? Sesungguhnya aku melihat kamu dan kaum mu berada di dalam kesesatan yang nyata " (An An'am:74)

Kepintaran akal fikiran manusia telah teraniaya oleh kepalsuan hidup akibat pergantungan yang kuat kepada perasaan dan hawa nafsu, mereka sanggup mengubah tabiat hidup semulajadi manusia dengan mengambil patung berhala yang tidak bernyawa, yang tidak bersuara, yang tidak boleh bergerak dan berjalan-jalan, yang diukir dan dipahat oleh tangan manusia sendiri, kemudian manusia memuja dan memuji patung itu, lalu disembah sebagai tuhan yang maha agung. Kalaulah patung berhala itu berkuasa, mengapa dia tidak mencipta dirinya sendiri untuk menjadi Tuhan..?

Di manakah letaknya kepintaran akal manusia...?

Oleh sebab itu, kepintaran akal fikiran manusia itu telah diracun dan dirasuk oleh bisikkan syaitan laknat yang muncul dalam pemikiran manusia.

Firman Allah Ta'ala:

فَلَوْلاَ نَصَرَهُمُ الَّذِينَ اتَّخَذُوا مِنْ دُونِ اللَّهِ قُرْبَانًا آلِهَةً ۖ بَلْ ضَلُّوا عَنْهُمْ ۚ وَذَٰلِكَ إِفْكُهُمْ وَمَا كَانُوا يَفْتَرُونَ

Maksudnya: " Mengapa mereka tidak ditolong oleh tuhan-tuhan selain dari Allah yang mereka puja untuk mendekatkan diri? Bahkan tuhan-tuhan tersebut telah lenyap dari mereka, itulah kebohongan yang mereka ada-adakan " (Al Ahqaf: 28)


1.4. Menafikan Hawa Nafsu Sebagai Tuhan
Menafikan bahawa hawa nafsu itu boleh dianggap sebagai tuhan yang layak untuk dipercayai dan dijadikan suatu anutan kepada manusia di dalam menguruskan konsep kepercayaan dalam kehidupan mereka. Walaupun hawa nafsu itu bukan suatu bentuk, tetapi ianya adalah suatu perkara yang wujud dalam diri manusia dan boleh menguasai akal fikiran manusia. Marilah kita mendengar penjelasan dari Allah yang terdapat di dalam sepotong ayat, yang mendedahkan di kalangan manusia ini ada yang bertuhankan hawa nafsu.

Firman Allah Ta'ala:

أَرَأَيْتَ مَنِ اتَّخَذَ إِلَٰهَهُ هَوَاهُ أَفَأَنْتَ تَكُونُ عَلَيْهِ وَكِيلاً

Maksudnya: " Tidakkah kamu perhatikan orang yang mengambil hawa nafsu sebagai tuhannya? Kamukah yang menjadi penjaganya ?" (Al Furqan: 43).

      
Mereka tidak dapat berfikir kerana mereka tidak mendapat petunjuk dari Allah, petunjuk yang menghala ke dalam diri mereka ialah petunjuk yang datang dari syaitan laknat, mereka boleh menerima bisikan syaitan laknat itu dari menerima petunjuk Allah kerana hawa nafsu mereka telah menguasai segala kehendak dan kemahuannya. Lalu Allah menutup mata dan telinga mereka, dan segaligus menutup hati mereka daripada menerima kebenaran. Di dalam sepotong hadith yang diriwayatkan oleh Abu Muhammad bin Abdullah bin 'Amru bin Al 'Iyadh r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

لاَ يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يَكُوْنَ هَوَاهُ تَبْعًا لِمَا جِئْتُ بِهِ

Maksudnya: " Tidak beriman seseorang kamu sehingga hawa nafsu menjadi ikutan terhadap apa yang aku bawa ".


1.5. Menafikan Thaghut Sebagai Tuhan
Menafikan thaghut sebagai tuhan yang mempunyai kuasa dan juga menafikan wujudnya persamaan dengan Allah.

Firman Allah Ta'ala:

فَمَنْ يَكْفُرْ بِالطَّاغُوتِ وَيُؤْمِنْ بِاللَّهِ فَقَدِ اسْتَمْسَكَ بِالْعُرْوَةِ الْوُثْقَىٰ

Maksudnya: " Sesiapa yang kufur dengan thaghut dan beriman kepada Allah, maka sesungguhnya dia telah berpegang teguh dengan simpulan tali yang kukuh " (Al Baqarah: 256).




Sekian, wassalam

Al Faqir Ila ‘Afwi Rabb
Lutpi Mustafa El-Batnani


No comments:

Post a Comment