PENGUASAAN ISTIQOMAH DALAM KEHIDUPAN

Tuesday 19 July 2011

MUHAMMAD SEBAGAI IKUTAN DALAM AKHLAK

 

Memang tidak dapat dinafikan, bahawa Muhammad s.a.w. mempunyai sifat dan akhlak yang baik dan mendapat pujian serta sanjungan dari orang ramai, sama ada dari orang-orang bukan Islam apatah lagi dari orang-orang Islam. Segala perkerti hidup dan peribadi baginda merupakan syiar atau lambang keagungan Islam sejagat, sekaligus ianya menjadi dasar dalam sistem ajaran Islam. Di samping itu, baginda s.a.w. juga menjadi contoh yang amat berguna kepada generasi muda yang akan datang supaya mereka terus menjalani kehidupan mengikut garis panduan yang ada pada akhlak dan pekerti baginda. Akhlak dan pekerti hidup baginda itu telah mendapat perhatian dan sanjungan di dalam Al Quran. Banyak di sana ayat-ayat Al Quran memuji-muji peribadi baginda sebagai seorang yang mempunyai peradaban yang tinggi.

 

Firman Allah Ta’ala:


وَإنَّكَ لَعَلى خُلُقٍ عظيْم

Maksudnya: " Dan sesungguhnya kamu mempunyai keperibadian akhlak yang agung "(Al Qalam: 4).

Baginda s.a.w. telah ditakdirkan oleh Allah bangkit di kalangan bangsa arab dan mereka terkenal mempunyai budaya hidup yang kasar dan akhlak yang rendah. Sebelum ini, tiada seorang pemimpinpun yang berjaya membina akhlak dan pekerti bangsa arab, melainkan setelah bangkitnya baginda s.a.w. Dengan sebab itu, tujuan asas baginda diutuskan ialah mengabdikan diri manusia kepada Allah, tetapi di samping itu baginda bertindak membetul dan membentuk akhlak hidup mereka  supaya bersesuaian dengan konsep keimanan yang dibawa oleh baginda.
Abu Hurairah r.a. telah meriwayatkan, bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

ِإنَّمَا بُعِثْتُ ِلأُتَمِّمَ مَكَارِمَ اْلأَخْلاَقِ

Maksudnya: " Sesungguhnya Aku dibangkitkan oleh Allah untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak " (Riwayat Ahmad, Hakim dan Baihaqi).

Sudah tentu, seseorang  yang ingin memperbaiki akhlak orang lain mestilah dia terlebih dahulu mempunyai akhlak yang baik. Jika tidak, sudah pasti dia tidak akan berjaya memperbaiki akhlak orang lain.
Di dalam sepotong hadith yang lain, Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

وَالَّذِى نَفْسِى بِيَدِهِ لاَ يَدْخُلُ اْلجَنَّةَ إِلاَّ حُسْنُ اْلأَخْلاَقِ

 

Maksudnya: " Demi Tuhan diri ku berada dalam kekuasaanNya! Seseorang itu tidak akan masuk syurga melainkan mempunyai akhlak yang baik " (Riwayat Tirmizi ).


Pembinaan akhlak dan penyucian diri amat perlu ketika mengendalikan urusan hidup seharian dan amat penting ketika mengadakan hubungan muamalat sesama manusia.


Sekian, wassalam.


Al Faqir Ila ‘Afwi Rabb
Lutpi Mustafa El-Batnani





No comments:

Post a Comment