PENGUASAAN ISTIQOMAH DALAM KEHIDUPAN

Monday 18 July 2011

CAHAYA LAA ILAHA ILLALLAH MUHAMMADUR RASULULLAH (SIRI KEENAM)


MUHAMMADUR RASULULLAH
Ianya merupakan program ‘aqidah yang kedua di bawah naungan konsep syahadah selepas pengakuan pertama, iaitu: LAA ILAHA ILLALLAH. Pengakuan yang kedua ini pula iaitu: MUHAMMADUR RASULULLAH adalah sebuah pengakuan yang tulus ikhlas terhadap kerasulan Nabi Muhammad s.a.w. Baginda merupakan Rasul yang akhir  yang diutuskan oleh Allah kepada seluruh umat manusia tanpa mengira warna kulit, pelbagai rupa bentuk bangsa dan nasab keturunan. Baginda diutuskan oleh Allah untuk menyeru manusia supaya beriman kepadaNya dengan mengemukakan Islam sebagai agama dan anutan sekalian umat manusia. Sebagai seorang Rasul, baginda telah dikurniakan oleh Allah sebuah kitab suci Al Quranul Karim sebagai pedoman hidup dan petunjuk ke arah jalan yang benar. Al Quran yang diturunkan itu mengandungi pelbagai bentuk peristiwa, cerita-cerita dahulu kala, di samping itu Al Quran juga mengandungi hukum-hakam, peraturan dan hukum hakam dan ianya juga merupakan perlembagaan yang tertinggi di dalam sesebuah negara yang mengamalkan ciri-ciri pemerintahan Islam. Baginda s.a.w. diutuskan adalah untuk memberi kebahagiaan kepada manusia, sama ada di dunia dan di akhirat dengan membawa 'aqidah sebagai teras kehidupan dan disusuli dengan amalan-amalan hidup sebagai pengabdian diri kepada Allah. Baginda s.a.w. juga telah membawa sinar petunjuk kepada sekelian umat manusia. Segala rupa bentuk akhlak dan sifat-sifat baginda, termasuk tingkah laku dan peribadi menjadi qudwah hasanah, iaitu ikutan yang baik untuk dijadikan contoh tauladan dalam segenap penjuru dan lapangan hidup buat sekelian umat Islam. Manusia yang ingin mendekatkan diri kepada Allah Ta'ala mestilah meletakkan baginda s.a.w. ini sebagai ikutan mereka melebih segala-galanya, baik dari amalan hidupnya, pekerti hidupnya, akhlaknya, bicara lidahnya atau sebagainya.

MAKNA MUHAMMADUR RASULULLAH
Ianya membawa maksud: Nabi Muhammad s.a.w. itu sebagai Pesuruh Allah atau RasulNya yang akhir. Walaupun maknanya terlalu ringkas dan kelihatan mudah sahaja disebut atau dibaca, tetapi kalimah itu mencetuskan maksud yang luas dan padat dan ianya juga menjadi pelengkap kepada sahnya iman dan Islam seseorang setelah membuat pengakuan LAA ILAHA ILLALLAH, Tiada tuhan yang sebenar-benar melainkan Allah. Pengakuan itu memerlukan penghayatan yang suci di dalam hati, tidak cukup hanya melapazkan melalui lidah yang tidak bertulang begitu sahaja tanpa ada tindakan susulan selepas itu. Pengakuan itu juga mestilah dibentuk melalui amalan-amalan yang telah dibawa oleh Muhammad s.a.w. Seseorang muslim mestilah bertindak pantas mengikut apa sahaja yang dibawa oleh Muhammad s.a.w. itu, kerana baginda tidak mungkin bercakap sesuka hati atau melakukan sesuatu itu mengikut selera perasaan dan hawa nafsu. Apa yang baginda lakukan merupakan wahyu yang diturunkan oleh Allah kepada baginda.

Benarlah firman Allah Ta’ala:

وَمَا يَنْطِقُ عَنِ الْهَوَىٰ إِنْ هُوَ إِلاَّ وَحْيٌ يُوحَىٰ

Maksudnya: “ Dia (Muhammad) tidak  berkata mengikut hawa nafsu, tetapi (apa yang dikatakan itu) merupakan wahyu yang diwahyukan kepadanya ” (An Najm: 3-4).

Hakikat sebenar di dalam pengakuan MUHAMMADUR RASULULLAH itu meliputi segenap aspek dan lapangan hidup. Setiap muslim hendaklah menyakini, bahawa Muhammad s.a.w. diutuskan oleh Allah itu sebagai pemberi rahmat sekelian alam, baginda membawa cahaya petunjuk untuk memandukan manusia ke jalan yang benar.

SYARAT MUHAMMADUR RASULULLAH
Setiap muslim yang beriman dan ingin menyampaikan dirinya untuk mencari keredhaan Allah serta berjuang dengan penuh keyakinan di jalanNya mestilah memenuhi beberapa syarat di dalam membuat pengakuan dan ikrar kepada RasulNya s.a.w. Syarat-syarat ini sebenarnya bertujuan untuk menyempurnakan lagi simpulan tali 'aqidah dan keyakinan hidup yang terpacak di dalam hati sanubari dan jiwa nurani terhadap Allah. Syarat-syarat ini mestilah dipenuhi oleh setiap mereka yang berjuang menegakkan kebenaran, kerana ianya melibatkan kekuatan iman dan di antara syarat tersebut ialah:

1. Mentaati Perintah Muhammad s.a.w.
Setiap muslim yang mengungkapkan kalimah MUHAMMADUR RASULULLAH mestilah mentaati perintah Rasulnya s.a.w. dan mengikut apa yang dibawa oleh baginda dengan penuh keyakinan dan keimanan, dia mestilah menerima apa sahaja yang ditinggalkan oleh baginda, sama ada perkataannya atau perbuatannya atau pengakuannya tanpa ada perasaan berbelah bagi dan syak wasangka, tanpa wujudnya perasaan gundah dan ragu-ragu terhadap apa yang ditinggalkan oleh baginda itu. Mentaati perintah Allah mestilah dihadiri sama dengan mentaati perintah RasulNya s.a.w.

Firman Allah Ta'ala:

قُلْ أَطِيعُوا الله وَالرَّسُولَ ۖ فَإِنْ تَوَلَّوْا فَإِنَّ اللَّهَ لاَ يُحِبُّ الْكَافِرِينَ

Maksudnya: " Katakanlah! Taatlah kamu kepada Allah dan Rasul, sekiranya kamu berpaling sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang kafir " (Ali 'Imran: 32).

Ketaatan kepada Allah dan RasulNya s.a.w. tidak boleh dipisahkan sama sekali dan tidak boleh diasingkan di antara satu sama lain. Mungkin di kalangan manusia ada yang ingin mentaati perintah Allah sahaja, tetapi tidak mahu mentaati perintah Rasul. Jika ada manusia bersikap sedemikian, dia masih lagi bukan seorang Islam yang beriman kepada Allah. Perkara ini berlaku tidak lain dan tidak bukan kerana kejahilan hidupnya untuk mengintelektualkan dirinya atau kerana dia mempelajari ilmu yang salah dari gurunya. Kebangkitan Rasul s.a.w. adalah untuk menyampaikan risalah Allah dan menyebarkannya ke seluruh masyarakat dan umat manusia. Segala rupa bentuk percakapannya, perbuatannya dan juga pengakuan takrirnya merupakan ulasan ataupun huraian terhadap seruan Allah. Sebab itu, Allah menurunkan Al Quran sebagai kitab perlembagaan hidup manusia,  di mana baginda s.a.w. adalah sebagai penterjemah terhadap maksud yang hendak disampaikan dalam Al Quran itu. Baginda menghuraikan dan menjelaskan maksud-maksud yang tersurat dan tersirat di dalam setiap ayat-ayat Al Quran yang diturunkan kepadanya. Adakalanya Al Quran itu diturunkan dengan sebab sesuatu kejadian atau peristiwa yang berlaku di kalangan masyarakat ketika itu sebagai penjelasan untuk memberi kata pemutus. Di sana terdapat sepotong hadith, sebagaimana yang dinyatakan  oleh Rasulullah s.a.w. di dalam sabdanya:

مَنْ أَطَاعَنِى فَقَدْ أَطَاعَ اللَّهَ وَمَنْ عَصَانِى فَقَدْ عَصَى اللَّهَ

Maksudnya: " Sesiapa yang taat kepada ku nescaya ia taat kepada Allah dan sesiapa yang durhaka kepada ku nescaya ia durhaka kepada Allah " (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Setiap muslim yang benar-benar beriman kepada Allah mestilah merangkulkan ketaatannya itu kepada Allah dan RasulNya secara sekaligus, tanpa dipisahkan atau dibahagikan di antara satu sama lain. Kemusnahan iman seseorang itu menjadi hancur-berkecai dan pecah-berderai akibat pemisahan yang berterusan di antara ketaatannya terhadap Allah dengan ketaatannya terhadap RasulNya s.a.w. Iman itu tidak ada kena mengena lagi dengan dirinya, iman itu telah terpisah, tercabut dan terputus dari ikatan ‘aqidah akibat pegangan hidup yang mengasingkan nilai-nilai ketaatan di antara Allah dan RasulNya s.a.w.

2. Percaya Apa Yang Dibawa Muhammad s.a.w.
Setiap muslim mestilah mempercayai dengan penuh keimanan terhadap apa yang dibawa oleh Muhammad s.a.w. itu semuanya benar belaka dan tiada yang dusta. Baginda telah menyempurnakan segala amanah yang diturunkan oleh Allah dan menyampaikan segala apa yang telah diwahyukan itu kepada seluruh umat manusia  tanpa menyembunyikan walaupun sedikit. Di dalam roda kisaran sejarah dan perjalanan hidupnya, baginda tidak pernah bercakap berdusta atau melakukan pembohongan dalam sesuatu perkara kepada sesiapapun dan baginda tidak pernah melakukan perkara-perkara yang boleh mengaibkan diri baginda sebagai seorang Rasul utusan Tuhan ketika menyampaikan risalah dakwah.

Firman Allah Ta'ala:

وَمَا آتَاكُمُ الرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَاكُمْ عَنْهُ فَانْتَهُوا

Maksudnya: " Dan apa yang dibawa oleh Rasul hendaklah kamu ambil dan apa yang dilarang olehnya hendaklah kamu tinggalkan " (Al Hasyr: 7).

Baginda tidak pernah melakukan rasuah di dalam menguruskan pentadbiran negara dan tidak pernah mengambil wang negara untuk dimasukkan ke dalam akuan peribadi baginda atau keluarga baginda, baginda tidak pernah menggunakan kedudukan baginda sebagai seorang Rasul yang menjadi kekasih Allah untuk kepentingan peribadi, baginda tidak pernah menggunakan kuasa kerajaan untuk mendapatkan simpati dari rakyat jelata di atas sifat baginda sebagai seorang pemimpin, baginda tidak pernah mengambil harta zakat yang menjadi khazanah dan sumber ekonomi negara yang terpenting ketika itu, sebaliknya baginda telah menetapkan suatu hukum yang keras dengan mengharamkan dirinya dan kaum keluarganya menerima harta zakat, baik berupa wang atau bahan-bahan makanan.

3. Mempercayai Muhammad s.a.w. Sebagai Pemimpin
Setiap muslim hendaklah mempercayai, bahawa Muhammad s.a.w. itu merupakan pemimpin agung yang memimpin manusia kembali ke  pangkuan ILAHI. Baginda memimpin manusia dengan membawa cahaya petunjuk untuk menyuluh kegelapan hidup mereka yang berada di dalam arus jahiliyah yang hitam pekat kembali ke jalan yang benar. Baginda memimpin manusia dengan mengemukakan satu konsep kepercayaan yang kukuh dan satu sistem hidup yang berkesan dengan membawa Al Quran sebagai kitab perlembagaan untuk menyelesaikan urusan kehidupan manusia di dunia dan di akhirat.  Baginda memimpin seluruh umat manusia dengan hanya mengemukakan satu jalan sahaja dan satu arah, supaya umat manusia itu tidak akan terpisah dengan Tuhan mereka.

Firman Allah Ta’ala:

وَأَنَّ هَٰذَا صِرَاطِي مُسْتَقِيمًا فَاتَّبِعُوهُ ۖ وَلاَ تَتَّبِعُوا السُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمْ عَنْ سَبِيلِهِ ۚ ذَٰلِكُمْ وَصَّاكُمْ بِهِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Maksudnya: “ Dan inilah jalan ku yang lurus, maka hendaklah kamu mengikutnya dan jangan sekali-kali kamu mengikut jalan-jalan yang lain, nescaya nanti kamu akan terpisah dari jalan Tuhan, itulah yang diwasiatkan kepada kamu, mudah-mudahan kamu bertaqwa “ (Al An’am: 153).

Sebagaimana yang telah dijelaskan, tugas Muhammad s.a.w. bukan hanya terhad menyampaikan dakwah yang berkaitan dengan persoalan ibadat sahaja atau persoalan yang berkaitan dengan ketuhanan, tetapi tugas baginda meliputi segala aspek dan urusan hidup manusia, tidak hanya tertakluk kepada aspek ibadat dan persoalan ketuhanan. Kalaulah tugas Muhammad s.a.w. hanya berdakwah dalam konteks ibadat yang menekankan persoalan ketuhanan, mengapa baginda berhijrah ke Madinah dan mendirikan sebuah kerajaan Islam yang lengkap dengan perlembagaan atau Piagam Madinah..? Untuk apa baginda mendirikan sebuah kerajaan, sedangkan baginda adalalah seorang Rasul dan Pesuruh Tuhan..?  Ini menunjukkan bahawa tugas dan tanggungjawab baginda bukan hanya berdakwah dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan ibadat sahaja, baginda juga seorang pemimpin politik yang berjaya meluaskan empayar Islam ke seluruh pelusuk dunia, baginda berjaya mendidik dan memimpin para umatnya ketika itu untuk mewujudkan satu kekuasaan yang kuat dan padu sehingga digerumi oleh pihak musuh. Tujuan diwujudkan satu kekuasaan dalam pimpinan politik baginda adalah untuk menyebarkan Islam dan ajarannya, di samping itu untuk melenyapkan pengaruh jahiliyah yang tidak dapat memberi apa-apa kesegaran kepada kehidupan manusia. Baginda juga berhak berbuat demikian untuk menjaga nama baik Islam dan kemurnian ajarannya, justeru memelihara umatnya dari serangan musuh yang datang menjelma. Baginda memimpin suatu kekuasaan untuk kepentingan agama, kerana tanpa kekuasaan ajaran Islam tidak akan tersebar dan tidak akan  ke mana. Di dalam sepotong hadith, Rasulullah s.a.w. telah menyatakan perbezaan dirinya sendiri yang diutuskan oleh Allah dengan lain-lain nabi yang diutuskan sebelum ini:

وَكَانَ النبى يُبْعَثُ إِلَى قَوْمِهِ خَاصَّةً وَبُعِثْتُ  إِلَى النَّاسِ عَامَّةً

Maksudnya: " Dan adalah nabi yang diutuskan kepada kaumnya secara khusus, tetapi aku diutuskan untuk semua umat manusia ".

4. Percaya Muhammad s.a.w. Sebagai Contoh Tauladan
Setiap muslim wajib mempercayai bahawa Muhammad s.a.w. adalah seorang Rasul yang menjadi contoh tauladan dan ikutan yang baik kepada seluruh ummah, sama ada dari sudut amalan dan perbuatannya atau ucapan dan perkataannya ataupun pengakuan dan takrirnya. Semuanya itu adalah pengajaran dan pelajaran buat semua umat Islam. Baginda telah mengemukakan suatu corak persembahan hidup yang baik dengan mengenepikan segala kemewahan dan kepentingan duniawi, kerana perkara itu tidak memberi apa-apa habuan kepada kepentingan akhirat.  Baginda menukarkan cara hidup yang serba mewah sebagaimana yang diamalkan oleh pemimpin-pemimpin dunia yang lain dengan memperkenalkan kehidupan zuhud kepada kepada Allah, walaupun baginda boleh berbuat demikian untuk menjadi seorang yang kaya raya, kerana Malaikat Jibril a.s. pernah memberi tawaran kepada baginda untuk menjadikan bukit Sofa dan Marwah itu menjadi emas, tetapi baginda menolaknya.

Firman Allah Ta'ala:

لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِمَنْ كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا

Maksudnya: " Sesungguhnya adalah bagi kamu pada diri Rasulullah menjadi ikutan yang baik (iaitu) kepada orang-orang yang mengharapkan rahmat Allah dan kedatangan hari akhirat, lalu mereka menyebut nama Allah dengan sebanyak-banyaknya "(Al Ahzab: 21).

Di samping itu juga, baginda diutuskan kepada manusia adalah untuk menyempurnakan akhlak mereka dengan memelihara adab-adab kesopanan sesama manusia.

Sabda Rasulullah s.a.w.

إِنَّمَا بُعِثْتُ ِلأُتَمِّمَ مَكَارِمَ اْلأَخْلاَقِ

Maksudnya: " Sesungguhnya aku dibangkitkan adalah untuk menyempurnakan akhlak manusia ".

5. Percaya Sunnah s.a.w. sebagai Sumber Hukum
Setiap muslim yang beriman dan membuat pengakuan MUHAMMADUR RASULULLAH mestilah mempercayai bahawa setiap sunnah dan perjalanan hidup Muhammad s.a.w. termasuk perbuatannya, percakapannya dan pengakuannya (takrir) adalah sumber hukum kedua selepas Al Quran. Ianya bertindak sebagai jalan kedua di dalam proses penyelesaian terhadap sesuatu permasalahan umat Islam. Apabila sesuatu perkara atau problam tidak terdapat di dalam Al Quran, di mana Al Quran tidak menjelaskan untuk memberi kata pemutus bagi menetapkan sesuatu hukum, maka As Sunnahlah yang menjadi sumber rujukan yang kedua selepas Al Quran.

Firman Allah Ta'ala:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الأمْرِ مِنْكُمْ ۖ فَإِنْ تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ

Maksudnya: " Wahai orang-orang beriman! Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasul serta pemerintah di kalangan kamu, sekiranya kamu bertelingkah di dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu kembali kepada Allah (Al Quran) dan Rasul (As Sunnah) " (An Nisa': 59).
               
       Perjalanan hidup Muhammad s.a.w. telah banyak dibukukan oleh para ulama di dalam kitab-kitab mereka, sama ada di dalam kitab-kitab sirah atau kitab-kitab hadith seperti Sahih Bukhari, Muslim, Ibn Majah, Abu Dawud, At Tirmizi dan An Nasaei.  Hadith-hadith yang mereka kumpulkan itu banyak memperkatakan persoalan hukum-hakam yang berkaitan dengan urusan manusia.  Baginda s.a.w. telah meletakkan batu asas yang kukuh kepada umatnya di dalam menyelesaikan sesuatu perkara, baginda tidak membenarkan sama sekali umatnya mengambilkan hukuman yang lain di luar batas-batas agama dengan mengenepikan Al Quran dan Sunnahnya s.a.w. kerana perbuatan tersebut boleh menjuruskan seseorang itu ke lembah kekufuran. Apabila seseorang itu telah membuat sebuah pengakuan terhadap Allah dan RasulNya, bererti dia telah menyerah diri dalam segala bentuk dan dalam segala aspek lapangan hidup, maka dia tidak harus sama sekali menukarkan hukuman Allah dan Rasulnya dengan lain-lain hukuman. Kalaulah dia berbuat demikian, dia telah melonggarkan ikatan pengakuannya terhadap Allah dan RasulNya, dia telah menidakkan kemampuan hukum Allah dan hukum RasulNya, seolah-olah ada lagi hukuman yang lebih baik dari hukuman Allah dan RasulNya. Jika demikian, apakah ertinya pengakuan yang dibuat terhadap Allah dan RasulNya itu..! Pengakuan itu hanyalah palsu semata-mata, diucap melalui lidah yang tidak bertulang, tetapi tidak masuk ke dalam hati….!



Sekian, wassalam.




Al Faqir ila ‘Afwi Rabb
Lutpi Mustafa El-Batnani


No comments:

Post a Comment