PENGUASAAN ISTIQOMAH DALAM KEHIDUPAN

Tuesday 19 July 2011

MUHAMMAD SEBAGAI IKUTAN DALAM IBADAT

Ibadat yang dilakukan oleh manusia merupakan suatu proses ketaatan terhadap suruhan Allah, ianya juga dapat membentuk perasaan manusia untuk tunduk kepada arahan-arahan yang telah ditetapkan oleh Allah, kerana melalui ibadatlah manusia dapat menghadirkan dirinya dibawa ke pangkuan  Allah.
Firman Allah Ta'ala:
َيا أَيُّهَا الْمُزَّمِّلُ قُمِ اللَّيْلَ إِلاَّ قَلِيلاً نِصْفَهُ أَوِ انْقُصْ مِنْهُ قَلِيلاً أَوْ زِدْ عَلَيْهِ وَرَتِّلِ الْقُرْآنَ تَرْتِيلاً إِنَّا سَنُلْقِي عَلَيْكَ قَوْلاً ثَقِيلاً إِنَّ نَاشِئَةَ اللَّيْلِ هِيَ أَشَدُّ وَطْئًا وَأَقْوَمُ قِيلاً
Maksudnya: " Wahai orang-orang yang berselimut! Bangunlah pada malam (untuk mengerjakan ibadat) selain sedikit waktu, seperduanya atau kurang sedikit daripadanya ataupun tambahlah sedikit lagi (dari waktu itu) dan bacalah Al Quran dengan sebutan yang baik, sesungguhnya Kami akan menurunkan ke atas mu bicara yang berat dan sesungguhnya bangun di waktu malam itu adalah lebih mengukuhkan jiwa dan lebih betul perkataannya " (Al Muzzammil:1-6).

Ibadat juga merupakan proses pengakuan jiwa raga manusia untuk melaksanakan ketetapan Allah supaya menjadi suatu bentuk amalan yang direstuiNya. Tujuannya ialah supaya manusia tidak sekali-kali lupa terhadap tanggungjawab yang telah ditetapkan oleh Tuhannya dan tidak lalai ketika menguruskan program kehidupan. Ibadat sebenarnya dapat membentuk persamaan hidup manusia di antara seseorang dengan seorang tanpa mengira darjat atau keturunan.  Ianya terletak dari sudut penyelarasan terhadap arahan-arahan dan peraturan-peraturan yang telah ditetapkan atau cara-cara sesuatu amalan itu dikendalikan. Umpamanya di dalam ibadat solat, mereka yang mahu mendirikan solat hendaklah mengikut aturan yang telah ditetapkan dalam peraturan solat; sama ada rukun atau syarat-syarat solat, di antaranya ialah berdiri bagi yang berkuasa, rukuk, sujud, duduk di antara dua sujud dan lain-lain lagi. Oleh sebab itu, semua manusia dari pelbagai darjat keturunan dan lapisan masyarakat mestilah mengikut arahan dan ketetapan ini apabila mahu mendirikan solat. Jika seseorang itu merasakan dirinya dari keturunan yang mulia dan tidak mahu mengikut salah satu dari rukun atau syarat-syarat solat, maka solatnya tidak sah dan terbatal, dia tidak mendapat apa-apa pahala dalam ibadatnya itu. Oleh sebab itu, ibadat ini betujuan untuk membentuk persamaan hidup di kalangan umat manusia yang mengaku beriman kepada Allah dan RasulNya tanpa mengira darjat dan batas keturunan.

Firman Allah Ta'ala:
وَاذْكُرِ اسْمَ رَبِّكَ بُكْرَةً وَأَصِيلاً وَمِنَ اللَّيْلِ فَاسْجُدْ لَهُ وَسَبِّحْهُ لَيْلاً طَوِيلاً

Maksudnya: " Dan ingatlah nama Tuhanmu di waktu pagi dan di waktu petang, sujudlah kepadaNya di sebahagian malam dan bertasbihlah memujiNya di sebahagian malam yang panjang " (Al Insan: 25-26).

Pengakuan hidup seseorang muslim tidak akan diterima sama sekali jika dia tidak melakukan peribadatan terhadap Tuhannya, kerana ini adalah suatu tanggungjawab. Setiap muslim yang merasa dirinya seorang yang bertanggungjawab mestilah beribadat kepada Tuhan, dia hendaklah sentiasa mengingati kebesaran dan keagungan Tuhannya, kerana dia adalah sebahagian dari umat yang dibentuk di bawah pengakuan dua kalimah syahadat untuk membina suatu keyakinan diri melalui program ibadat yang dikemukakan oleh syari’at.

Firman Allah Ta'ala:

وَمِنَ اللَّيْلِ فَتَهَجَّدْ بِهِ نَافِلَةً لَكَ عَسَىٰ أَنْ يَبْعَثَكَ رَبُّكَ مَقَامًا مَحْمُودًا

Maksudnya: " Dan pada sebelah malam hendaklah kamu bangun bertahajjud untuk mengerjakan sembahyang nafilah (sunat), semoga Tuhan mu akan mengangkat mu ke darjat yang terpuji " (Al Isra: 79)

Marilah kita lihat bagaimana ibadat Rasulullah s.a.w. yang dilakukan ketika menjelmanya waktu dinihari. Sepotong hadith yang diriwayatkan oleh Al Mughirah bin Syu'bah r.a. telah menjelaskan:

كَانَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى الله عليه وسلَّم يَقُوْمُ مِنَ اللَّيْلِ حَتَّى تَتَوَرَّمَ قُدَمَاهُ، وَلَمَّا قِيْلَ لَهُ: أَلَيْسَ قَدْ غَفَرَ اللهُ لَكَ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِكَ وَمَا تَأَخَّرَ؟ قَالَ: أَفَلاَ أَكُوْنُ عَبْدًا شَكْوْرًا
Maksudnya: " Adalah Rasulullah s.a.w. bangun di waktu malam ( untuk menunaikan solat ) sehingga bengkak kakinya, apabila dikatakan kepada baginda: Tidakkah Allah telah mengampunkan dosa mu yang lalu dan yang akan datang? Baginda menjawab: Tidakkah patut aku menjadi seorang hamba yang bersyukur....? "(Riwayat Bukhari dan Muslim).

Di dalam sepotong hadith yang lain, 'Ulqimah r.a. pernah bertanya kepada Aisyah r.a. tentang ibadat Rasulullah s.a.w.:

أَكَانَ رَسُوْلُ اللهِ صلَّى الله علَيه وسلَّم يَخُصُّ شَيْئًا مِنَ اْلأَيَّامِ  قَالَتْ: لاَ، كَانَ عَمَلُهُ دِيْمَةً وَأَيُّكُمْ يُطِيْقُ مَا كَانَ رَسُوْلُ اللهِ صلَّى اللهُ علَـيْه وَسَلَّمَ يَطِيْقُ؟
Maksudnya: " Adakah Rasululah s.a.w. mengkhususkan masa tertentu setiap hari (untuk mengerjakan ibadat)? Lalu Aisyah r.a. menjawab: Tidak! Amalannya setiap hari sama belaka dan siapakah di antara kamu yang mampu beribadat sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. dalam ibadatnya ?" (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Ibadat yang dilakukan itu bukan bertujuan untuk menunjuk-nunjuk, tetapi untuk menyatakan perasaan taqwa kepada Allah….!

Sekian, wassalam.


Al Faqir Ila ‘Afwi Rabb
Lutpi Mustafa El-Batnani




No comments:

Post a Comment