PENGUASAAN ISTIQOMAH DALAM KEHIDUPAN

Friday 15 July 2011

CAHAYA LAA ILAHA ILLALLAH MUHAMMADUR RASULULLAH (SIRI KEDUA)



MUQADDIMAH
Pengakuan hidup seorang muslim terhadap Tuhannya mestilah diikrar dengan lidah apa yang terkandung di dalam kalimah LAA ILAHA ILLALLAH. Pengakuan ikrar ini mengesahkan dirinya adalah seorang Islam yang beriman kepada Allah, kerana dia telah mengembalikan hakikat kehidupannya itu ke pangkuan Allah, dia merasa yakin dan percaya terhadap keesaan Allah dan kekuasaanNya menjadikan segala mahkluk yang ada di alam ini. Pengakuan itu tidak akan terhenti begitu sahaja, keimanan dan keislaman seseorang itu tidak cukup hanya diucapkan dengan lidah yang bertulang tanpa disusuli dengan tindakan selanjutnya atau amalan-amalan yang telah ditetapkan oleh Allah. Iman itu mestilah diucap dengan lidah, diikrar dalam hati dan seterusnya diamal dengan anggota. Oleh sebab itu, pengakuan hidup seseorang muslim terhadap Allah mestilah diterjemahkan dalam bentuk amalan, iaitu menunaikan segala tugas dan tanggungjawab yang telah difardhukan, melaksanakan segala suruhan dan kewajiban yang telah diturunkan dan menjauhi segala apa jua larangan-larangan yang telah tetapkan. Pengakuan ikrar itu pasti akan terlaksana apabila LAA ILAHA ILLALLAH itu dapat diserapkan secara menyeluruh menjadi amalan hidup. Setelah pengakuan ketuhanan itu dibuat, seseorang muslim mestilah membuat pengakuan kedua pula iaitu, MUHAMMADUR RASULULLAH sebagai syarat untuk menyempurnakan lagi keimanan yang ada pada diri seseorang muslim. Kekuatan  Islam dan ajarannya serta umatnya itu terletak di bahu para penganutnya sendiri, kalaulah mereka beramal dengan amalan yang telah ditetapkan dan beristiqomah pula untuk terus berada di jalan Allah, nescaya Islam dan ajarannya akan terus hidup subur sehingga ke akhir zaman. Secara tidak langsung umatnya pula akan menjadi umat yang dihormati di sepanjang zaman. Tetapi, jika perkara sebaliknya berlaku, maka Islam dan ajarannya itu akan lenyap ditelam zaman dan akan menjadi memori ingatan untuk dijadikan bahan sejarah silam. Maka dengan sebab itu, umat Islam mestilah menerima ketetapan Allah untuk dengan hati yang terbuka.

Konsep Penyembahan
Ajaran Islam tidak mengiktiraf sama sekali konsep yang dicipta dan direka bentuk oleh tangan manusia untuk disesuaikan menjadi suatu pegangan atau keyakinan yang mutlak. Islam tidak sekali-kali mengemukakan konsep penyembahan sepertimana yang dilakukan oleh orang-orang Budhha yang mengukir patung Budhha dan menganggap Budhha sebagai Nirvana yang layak untuk disembah. Ajaran Buddha diasaskan oleh  Siddartha Gautama yang dilahirkan pada tahun 563 Sebelum Masehi di Kapilavastu, India Utara. Ajaran Buddha merupakan serpihan dari agama Hindu kerana terdapat beberapa kelemahan dalam ajaran Hindu setelah Buddha mengkaji kitab suci Hindu yang bernama Veda dan Upanishad. Konsep penyembahan ini membawa pengertian, bahawa apa yang disembah itu berada di hadapan orang yang menyembah dan ianya boleh dilihat dengan mata secara jelas. Islam menafikan konsep sebegini rupa kerana ianya membawa kesamaran kepada hakikat ketuhanan yang sebenar.

Konsep Pendewaan
Islam juga tidak mengiktiraf konsep pendewaan yang diada-adakan dan direka cipta untuk dijadikan suatu konsep kepercayaan dalam kehidupan manusia, sebagaimana yang dibawa di dalam ajaran Hindu yang percaya dengan wujudnya dewa-dewa untuk memberi kebahagiaan dan sakti kepada kehidupan mereka. Mereka menganggap dewa itu sebagai tuhan atau jelmaan dari tuhan, sedangkan konsep pendewaan itu adalah hasil dari ciptaan akal fikiran mereka terhadap fenomena alam yang menganggap wujudnya kuasa ghaib yang boleh memberi sakti kepada seseorang. Sebenarnya ajaran Hindu bermula di India lebih kurang 2000 tahun sebelum masihi, yang dibawa oleh suatu kaum bergelar Aryan. Mereka telah berpindah masuk ke India dari Asia Tengah yang membawa suatu konsep kepercayaan mengenai dewa dan dewi. Pada mulanya mereka menyembah Agni iaitu dewa api, Surya dewa matahari dan Indra dewa peperangan. Lama-kelamaan mereka percaya kepada tiga dewa utama iaitu Brahma, Vishnu dan Siva. Ketiga-tiga dewa tersebut digelar Trimurthi. Isteri Brahma ialah Saraswathi, dewi pendidikan, isteri Vishnu ialah Lakshmi, dewi kekayaan dan isteri Siva pula ialah Sakti, dewi cahaya. Di dalam ajaran Hindu juga terdapat sistem kasta  yang dibahagikan kepada empat golongan, iaitu: Golongan Brahman (sami-sami), Kshatriya (hulubalang), Vaisya (peladang) dan Sudra (orang biasa). Ajaran Hindu mengamalkan konsep pendewaan sebagai suatu pendekatan jiwa kepada tuhannya. Islam terang-terang menolak konsep ajaran seperti ini, kerana unsur pendewaan tidak pernah wujud dan tidak pernah dijelmakan sama sekali dalam ajaran Islam

Konsep Pemujaan
Islam juga tidak pernah mewujudkan konsep pemujaan yang biasa dilakukan dan diamalkan oleh para nujum atau bomoh atau dukun-dukun terhadap hantu syaitan di dalam jampi-serapah mereka untuk mendapat rahsia, kuasa, kekuatan dan ramalan yang tepat.

Allah berfirman:

وَلَقَدْ جَعَلْنَا فِي السَّمَاءِ بُرُوجًا وَزَيَّنَّاهَا لِلنَّاظِرِينَ وَحَفِظْنَاهَا مِنْ كُلِّ شَيْطَانٍ رَجِيمٍ إِلاَّ مَنِ اسْتَرَقَ السَّمْعَ فَأَتْبَعَهُ شِهَابٌ مُبِينٌ

Maksudnya: " Sesunguhnya kami jadikan di langit bintang-bintang dan Kami jadikannya indah bagi orang yang melihat. Dan Kami memeliharanya dari setiap syaitan yang terkutuk. Tetapi sesiapa yang mencuri pendengaran, lalu dikejar oleh nyalaan api yang terang ". (Al Hijr: 16-18)

Konsep pemujaan ini muncul bersama-sama dengan persihiran untuk membentuk suatu kuasa yang luar biasa bagi mengatasi kuasa Tuhan yang diada-adakan melalui suatu ramalan atau firasat seseorang tukang nujum. Adakalanya ramalan yang dilakukan itu mengenai sasaran dan adakalanya hampir-hampir mengenai sasaran dan adakalanya pula tidak menepati sasaran langsung. Sejarah persihiran dalam tamaddun kehidupan manusia telah dinyatakan oleh Allah di dalam Al Quran yang bermula sejak zaman Abi Sulaiman a.s.

Firman Allah Ta'ala:

وَاتَّبَعُوا مَا تَتْلُو الشَّيَاطِينُ عَلَىٰ مُلْكِ سُلَيْمَانَ ۖ وَمَا كَفَرَ سُلَيْمَانُ وَلَٰكِنَّ الشَّيَاطِينَ كَفَرُوا يُعَلِّمُونَ النَّاسَ السِّحْرَ وَمَا أُنْزِلَ عَلَى الْمَلَكَيْنِ بِبَابِلَ هَارُوتَ وَمَارُوتَ ۚ

Maksudnya: " Dan mereka mengikut apa yang dibaca oleh syaitan-syaitan di waktu kerajaan Sulaiman dan Sulaiman bukanlah orang yang tidak beriman, melainkan syaitanlah yang tidak beriman, mereka mengajar sihir kepada manusia dan apa yang diturunkan kepada dua malaikat Harut dan Marut di negeri Babil ". (Al Baqarah: 102)

Sejarah persihiran itu muncul di kalangan kaum Yahudi di mana merekalah yang bertanggungjawab melemparkan kitab Allah, iaitu kitab Taurat ke belakang kerana ingin mempelajari sihir dan mereka berusaha merosakkan ‘aqidah dan akal fikiran manusia melalui persihiran. Ayat di atas tadi menyebut perkataan ‘syaitan’ dan ‘sihir’ yang menunjukkan bahawa sihir itu berlaku hasil dari pemujaan terhadap hantu syaitan dan meminta pertolongan kepadanya melalui roh-roh jahat, di mana setengah manusia menyangka syaitan mengetahui perkara-perkara ghaib, lalu dibisikkan ke telinga manusia sehingga mereka yakin yang mempercayainya. Mereka yang beramal dengan persihiran ini boleh menjadi kufur dan punah ‘aqidahnya kerana pergantungan hidup mereka bukan lagi kepada Allah, tetapi kepada syaitan laknat.

Ibn Jarir At Thabari dan Al Hakim telah meriwayatkan dari Ibn Abbas r.a. :

إن الشياطين كانوا يَسْتَرِقُوْنَ السَّمْعَ من السَّمآءِ فإذَا سَمِعَ أَحَدُهُمْ بِكَلِمَةٍ كَذَّبَ عليها أَلْفَ كِذْبَةٍ فَأَشْرَبَتْهَا قُلُوْبَ النَّاسِ وَاتَّخَذُوْهَا دَوَاوِيْنَ، فَأَطْلَعَ اللَّهُ عَلَى ذَلِكَ سُلَيْمَانَ ابْن دَاوُدَ فَأَخَذَهَا وَقَذَفَهَا تَحْتَ الْكُرْسِىِّ، فَلَمَّا مَاتَ سُلَيْمَانَ قَامَ شَيْطَانٌ بِالطَّرِيْقِ فَقَالَ: أَلاَ أَدُلُّكُمْ عَلَىْ كَنْزِ سُلَيْمَانَ الَّذِى لاَ كَنْزَ ِلأَحَدٍ مِثْلَ كَنْزِهِ الْمُمَنِّعِ؟ قَالُوْا: نَعَمْ فَأَخْرَجُوْهُ فَإِذًا هُوَ سِحْرٌ فَتَنَا سَخَتْهَا اْلأُمَمُ فَأَنْزَلَ اللَّهُ تَعَالَى عُذْرَ سُلَيْمَانَ فِيْمَا قَالُوْا مِنَ السِّحْرِ

Maksudnya: " Sesungguhnya syaitan mencuri berita dari langit, apabila di antara mereka mendengar satu kalimah, mereka mengolahnya menjadi seribu kedustaan, kemudian disampaikan kepada hati manusia lalu diambilnya sebagai sarana perdukunan, kemudian Allah memperlihatkannya kepada Nabi Sulaiman bin Dawud, lalu ia ambilnya dan ditanamnya di bawah kursinya, setelah Nabi Sulaiman meninggal dunia, maka syaitan menjadikan sebagai jalan sambil berkata: Mahukan kamu sekiranya aku tunjukkan simpanan Sulaiman yang tidak ada simpanan siapapun yang menyamai simpanannya yang terpelihara itu? Mereka menjawab: Baiklah, kemudian mereka mengeluarkannya, tiba-tiba benda itu adalah sihir, lalu diambil oleh manusia secara turun-temurun, kemudian Allah menurunkan ayat tentang bebasnya Sulaiman dari sihir yang mereka tuduh ".

Mengikut pendapat Jumhur Ulama, sihir memang berlaku dan ada kenyataannya dan sesiapa terkena sentuhan sihir   pasti   akan   mempengaruhi  jiwanya.  Tetapi,  menurut pendapat golongan Mu’tazilah dan setengah golongan Ahli Sunnah menyatakan persihiran ini tidak berlaku dan ianya adalah khayalan semata-mata untuk menipu manusia.

Semoga Allah memberi kemulian kepada penyair ini:

عَرَفْتُ الشَّرَّ لاَ لِلْشَّرِّ     لَكِـــنْ لِتَوَقِّيْهِ
وَمَنْ لاَ  يَعْرِفُ الشَّرَّ     مِنَ النَّاسِ يَقَعْ فِيْهِ

Maksudnya: " Aku mengenal keburukan bukan untuk melakukan keburukan, tetapi untuk memelihara diri dari bahayanya, sesiapa yang tidak mengenal keburukan yang dilakukan oleh manusia, maka ia akan menerima padahnya ".

Konsep Penyekutuan
Islam juga menafikan konsep penyekutuan sebagaimana yang terdapat di dalam ajaran Kristian yang mengemukakan konsep triniti, tritunggal atau trimurti (tiga tuhan) iaitu tuhan bapa, tuhan anak dan roh kudus. Konsep ketuhanan ciptaan ajaran Kristian ini tidak menghuraikan secara lanjut oleh ulama-ulama dan paderi-paderi mereka tentang hakikat ketuhanan dan tidak pula menyatakan konsep wujud terhadap ketuhanan mereka itu, sama ada dari aspek zatnya, sifatnya atau perbuatannya. Allah Ta'ala pernah bertanya kepada Nabi Isa a.s. tentang konsep ketuhanan yang dikemukakan oleh para penganutnya itu:

وَإِذْ قَالَ اللهُ يَا عِيسَى ابْنَ مَرْيَمَ أَأَنْتَ قُلْتَ لِلنَّاسِ اتَّخِذُونِي وَأُمِّيَ إِلَٰهَيْنِ مِنْ دُونِ اللهِ ۖ قَالَ سُبْحَانَكَ مَا يَكُونُ لِي أَنْ أَقُولَ مَا لَيْسَ لِي بِحَقٍّ ۚ

Maksudnya: " Wahai Isa anak Maryam: Adakah kamu yang berkata kepada manusia: Ambillah aku dan ibuku sebagai tuhan selain dari Allah? Lalu Isa menjawab: Maha Suci Engkau! Tidak sepatutnya aku mengatakan apa yang tidak sebenar " (Al Maidah: 116).

Kalaulah di langit dan di bumi terdapat tuhan-tuhan yang mentadbir dan menguruskan perjalanan alam ini secara bersama, nescaya rosak binasalah alam ini.

Oleh itu, benarlah firman Allah Ta'ala:

َلوْ كَانَ فِيهِمَا آلِهَةٌ إِلاَّ الله لَفَسَدَتَا ۚ فَسُبْحَانَ اللهِ رَبِّ الْعَرْشِ عَمَّا يَصِفُونَ

Maksudnya: " Sekiranya di langit dan di bumi terdapat tuhan-tuhan selain dari Allah, sudah tentu keduanya akan binasa, Maha Suci Tuhan yang mempunyai 'arasy terhadap apa yang mereka sifatkan " (Al Anbiya: 22).

Konsep Perkauman
Islam juga tidak menerima konsep perkauman sebagaimana yang dilakukan oleh orang-orang Yahudi, di mana agama Yahudi hanya layak dianuti oleh mereka yang datang dari keturunan Yahudi sahaja atau dari golongan mereka, adapun orang-orang yang bukan dari keturunan Yahudi atau bukan dari golongan mereka tidak boleh menganut ajaran Yahudi. Perkara ini terjadi setelah wafatnya Nabi Musa a.s. dan di sana berlakulah beberapa penyelewengan dalam isi kandungan kitab Taurat dan pengubah-suaiannya yang berhubung-kait dengan peraturan, undang-undang dan hukum-hakam di dalam kitab tersebut, mereka telah meminda segala apa yang diturunkan oleh Allah di dalam kitab tersebut untuk disesuaikan mengikut perasaan dan hawa nafsu mereka. Justeru itu pula, kebanyakan ulama-ulama Yahudi tidak menghafaz isi kandungan kitab Taurat yang diturunkan oleh Allah dengan sebaik-baiknya dan ada juga di kalangan ulama mereka sengaja melupakan isi kandungan kitab tersebut. Maka, di sini timbullah pelbagai budaya hidup dan amalan hidup yang bertentangan dengan syari'at ILAHI yang diturunkan sejak zaman Nabi Musa a.s. lagi. Di dalam persoalan konsep ketuhanan, mereka menjadikan hakikat ketuhanan sama sahaja seperti hakikat kemanusiaan dan sifat-sifatnya, sebagaimana yang tercatat di dalam Kitab Taurat yang telah diubah-suai dan sebagaimana juga yang telah dinukilkan oleh Dr. ‘Audhullah Jad Hijazi di dalam kitabnya:

 " Sesungguhnya Allah Ta'ala datang menjelma ke bumi dan berjalan-jalan di atas bumi sambil makan dan minum. Dia menangis sehingga bercucuran air matanya apabila melihat peristiwa taufan yang melanda umat Nabi Nuh a.s. ".

Krisis ketuhanan yang berlaku terhadap umat Nabi Musa a.s. telah mencetuskan aliran fahaman yang menyeleweng dan setengah di kalangan mereka membahagikan zat ketuhanan kepada dua, iaitu zat Allah dan satu lagi zat Fana'. Zat fana' inilah yang mempengaruhi amalan para ahli mistik, sedangkan perkara tersebut tidak langsung ada hubungan dengan ajaran Islam dan tidak  sekali-kali mempunyai kaitan dengannya, sama ada sedikit apatah lagi banyak. Apa yang lebih dahsyat dari itu, oleh kerana nilai-nilai perkauman dan semangat cintakan bangsa sendiri sangat tebal di hati orang-orang Yahudi ini, mereka telah menamakan tuhan untuk kaum mereka sendiri iaitu Yahoo. Tuhan ini hanya dikhususkan kepada orang-orang Yahudi sahaja dan adapun orang lain tidak ada kena mengena dengan tuhan mereka.

Konsep Pemikiran Falsafah
Islam tidak sekali-kali menerima suatu konsep yang dibawa  oleh  satu  fahaman dan aliran pemikiran ahli falsafah Yunani. Di antara fahaman tersebut ialah fahaman Ghanusi dan juga aliran pemikiran ahli falsafah Aflatun dan Plato. Pemikiran falsafah Yunani ini telah memberi kesan yang mendalam di dalam masalah agama, terutamanya di dalam konsep ketuhanan yang mencakupi zat Tuhan, sifat-sifatNya dan juga segala bentuk perbuatanNya. Mereka membahaskan perkara-perkara yang berhubung-kait dengan persoalan ketuhanan itu dengan logik akal dan menggunakan dalil-dalil berpandukan kepada pancaindera yang lima, sedangkan persoalan tersebut tidak boleh dibincangkan dengan logik akal fikiran atau pancaindera, kerana persoalan ketuhanan adalah persoalan yang lebih bersifat abstract. Mereka telah mengemukakan suatu pandangan dan merumuskan, bahawa hakikat wujud sesuatu itu diasaskan oleh pancarindera yang lima, iaitu lihat, dengar, bau, sentuh dan rasa. Pandangan ini telah menafikan wujudnya Allah, dan sekaligus menafikan zat dan af’alNya, juga rububiyyah dan uluhiyyahNya, kerana Allah tidak dapat dilihat dengan pandangan mata, Dia tidak dapat didengar dengan telinga manusia, bauNya juga tidak dapat dicium atau dihidu oleh manusia dan Dia juga tidak boleh disentuh dengan tangan dan tidak boleh dirasa dengan lidah. Hakikat kewujudan yang dikemukakan oleh setengah padangan ahli falsafah telah menafikan hakikat ketuhanan pada Allah, dan pandangan itu telah menyesatkan pegangan hidup manusia dan memusnahkan nilai-nilai kemanusiaan yang ada pada diri manusia. Hakikat sesuatu perkara adakalanya boleh difikirkan dengan akal fikiran dan adakalanya tidak boleh difikirkan dengan akal fikiran. Umpamanya, apa yang berlaku esok hari manusia tidak mengetahuinya, manusia hanya merancang, tetapi yang menentukan perancangan itu Allah-lah yang menentukan.

    Untuk menolak pandangan ahli falsafah itu tadi, kita bertanya kepada mereka; Adakah kamu mempunyai akal fikiran? Jika mereka berkata mengiyakan, kita bertanya lagi: Mana dan di manakah akal fikiran kamu kami hendak melihatnya dan kami hendak mendengarnya? Kami juga hendak merasa dengan lidah kami dan mencium keharuman baunya dan kalau boleh kami hendak menyentuhnya…?

   Nescaya mereka akan tercungap-cungap dan terpinga-pinga untuk memberi jawaban tersebut

Konsep Warisan
Islam tidak sekali-kali menerima konsep warisan di dalam persoalan ketuhanan yang menetapkan agama itu diwarisi secara turun-temurun dari datuk nenek moyang mereka terdahulu yang mengikut upacara tradisi atau adat resam. Perkara ini telah berlaku sejak zaman berzaman dan telah dipaparkan oleh Allah di dalam Al Quran yang bertujuan untuk menyatakan bahawa perkara ini memang betul-betul berlaku di dalam masyarakat umat manusia.

Firman Allah Ta'ala:

وَكَذَٰلِكَ مَا أَرْسَلْنَا مِنْ قَبْلِكَ فِي قَرْيَةٍ مِنْ نَذِيرٍ إِلاَّ قَالَ مُتْرَفُوهَا إِنَّا وَجَدْنَا آبَاءَنَا عَلَىٰ أُمَّةٍ وَإِنَّا عَلَىٰ آثَارِهِمْ مُقْتَدُونَ قَالَ أَوَلَوْ جِئْتُكُمْ بِأَهْدَىٰ مِمَّا وَجَدْتُمْ عَلَيْهِ آبَاءَكُمْ ۖ قَالُوا إِنَّا بِمَا أُرْسِلْتُمْ بِهِ كَافِرُونَ فَانْتَقَمْنَا مِنْهُمْ ۖ فَانْظُرْ كَيْفَ كَانَ عَاقِبَةُ الْمُكَذِّبِينَ

Maksudnya: " Demikianlah Kami utuskan sebelum kamu seorang yang memberi peringatan di dalam suatu negeri, orang-orang yang hidup mewah di antara mereka berkata: Sesungguhnya kami dapati bapa-bapa kami memeluk suatu agama dan sudah tentu kami ikut sahaja jejak mereka. Rasul berkata: Bagaimana kalau aku mengemukakan kepada kamu petunjuk yang baik dari apa yang kamu dapati dari bapa kamu? Mereka menjawab: Apa yang kamu sampaikan itu kami tidak percaya. Oleh sebab itu, Kami menyeksa mereka, maka perhatikanlah akibat orang-orang yang dusta " (Az Zukhruf: 23-25).

Mereka tidak mahu menerima seruan rasul yang disampaikan kepada mereka supaya beriman kepada Allah, sekaligus menolak kebenaran di dalam meniti realiti kehidupan sepanjang kehidupan. Mereka telah terperdaya dengan ajaran yang telah ditinggalkan oleh datuk nenek moyang mereka terdahulu, sekalipun datangnya rasul yang ingin membetulkan keadaan hidup dan keyakinan hidup mereka, mereka tidak dapat menerima hakikat bahawa apa yang ditinggalkan oleh datuk nenek moyang mereka adalah salah.

Konsep Pengabdian Diri
Oleh sebab itu, Islam telah mengemukakan konsep yang sesuai untuk anutan semua umat manusia, konsep yang membentuk persamaan hidup dan merealitikan hakikat kemanusiaan yang ada pada diri dan pemikiran manusia, iaitu konsep pengabdian yang meletakkan nilai-nilai perhambaan yang mutlak hanya semata-mata kepada Allah Ta'ala sahaja. Konsep pengabdian ini mengemukakan persamaan taraf hidup dan darjat keturunan manusia, sama ada mereka itu dari peringkat kanak-kanak sampailah kepada orang dewasa dan sehinggalah kepada orang tua, sama ada mereka itu keturunan bangsawan atau keturunan bawahan, sama ada mereka itu dari golongan kaya-raya atau keturunan miskin papa-kedana, sama ada mereka itu berkulit putih ataupun berkulit hitam, sama ada mereka itu dari bangsa arab atau bukan arab, mereka semua dapat menerima konsep pengabdian ini kerana konsep tersebut mudah dan simple. Konsep pengabdian ini mestilah diikrar dengan sebuah pengakuan yang tulus ikhlas dan diikat pula dengan simpulan tali 'aqidah yang terkandung di dalam perkataan LAA ILAHA ILLALLAH, maka mereka semuanya dianggap sama sahaja. Maka, hakikat kewujudan juga membawa pengertian kepada kehidupan itu sendiri, bahawa manusia yang dicipta oleh Allah adalah untuk mengabdikan diri kepadaNya dan beramal dengan segala tuntutanNya.

Firman Allah Ta’ala:
وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالاِنْس إلاّ لِيعْبدون

Maksudnya: " Tidaklah Aku jadikan jin dan manusia melainkan supaya mengabdikan diri kepada Allah Aku " (Az Zariyaat: 56).



Sekian, wassalam

Al Faqir Ila ‘Afwi Rabb
Lutpi Mustafa El-Batnani

No comments:

Post a Comment