PENGUASAAN ISTIQOMAH DALAM KEHIDUPAN

Friday 15 July 2011

PANDANGAN NEGATIF BARAT TERHADAP ISLAM (SIRI KETIGA)

1. MEMUSNAHKAN MASYARAKAT ISLAM
Apabila musnahnya keluarga muslim dengan sendiri akan musnahlah masyarakat muslim yang berdiri di atas elemen ketundukkan diri kepada Tuhan. Di sana akan lahirlah masyarakat pondan dari kalangan masyarakat muslim yang tidak lagi bermaya untuk bangkit menghadapi cabaran masa hadapan. Oleh sebab itu, mudahlah gerakan Kristian memasukkan jarum dakyahnya ke dalam masyarakat Islam yang pondan itu.

2. MEMUSNAHKAN MINDA UMAT ISLAM
Para mubaligh Kristian berusaha memusnahkan dan mematikan pemikiran umat Islam, justeru memutuskan pertalian mereka dengan Allah. Dengan itu, mereka akan menjauhkan diri dari peraturan Islam dan berjalan di dalam  kehidupan yang serba boleh tanpa dibatasi persoalan halal haram. Oleh itu, mereka akan jatuh dan terjunan jauh dari perspektif Islam. Salah seorang ketua Persatuan Mubaligh Kristian yang bernama Samuel Zwemer berkata kepada para mubaligh pada sidang muktamar Jeruselam tahun 1935: " Sesungguhnya tugas menyebaran dakyah Kristian yang diamanatkan oleh negara-negara Kristian kepada kamu adalah untuk menyebarkannya ke negara-negara yang mempercayai Muhamad, bukanlah semata-mata untuk menarik kaum muslimin kepada agama Kristian sahaja, kerana di dalam perkara ini memang ada petunjuk dan penghormatan, bahkan tugas kamu yang lebih penting ialah mengeluarkan individu muslim dari agama Islam, supaya ia menjadi seorang makhluk yang tidak ada pertalian sama sekali dengan Allah, ketika itu tidak ada lagi pertalian dengan akhlak yang sangat diperlukan oleh ummah dalam kehidupan. Dengan tugas ini, kamu telah melaksanakan semangat penjajahan di dalam negara-negara Islam, kamu telah menyiapkan semua akal fikiran di dalam negara-negara Islam untuk menerima jalan yang kamu usahakan, iaitu tiada lain daripada mengeluarkan individu muslim dari agama Islam. Kamu akan membentuk generasi baru di rumah-rumah kaum muslimin yang tiada perhubungan langsung dengan Allah dan diapun tidak lagi ingin tahu tentang hubungannya itu dan kamu akan mengeluarkan muslim tersebut dari ajaran Islam, tetapi kamu tidak memasukkannya ke dalam Kristian. Dengan ini, akan lahirlah generasi Islam yang baru tepat sebagaimana yang dikehendaki oleh penjajah, tidak perdulikan upacara-upacara agamanya, sentiasa suka berehat-rehat dan malas berkerja. Mereka tidak lagi mementingkan urusan dunianya kecuali hanya menimbulkan nafsu syahwat semata-mata. Sekiranya mereka belajar, maka pelajaran itu adalah menurut syahwat, jika mereka mengumpulkan wang, maka wang tersebut adalah untuk syahwat, jika mereka menjawatjawatan di jabatan tinggipun, tujuannya adalah untuk syahwat semata-mata, pendek kata mereka bekerja keras di dalam segala urusan adalah untuk sampai ke puncak syahwat ".

Seorang mubaligh Takeley telah berkata: " Kita mesti menggalakkan penubuhan sekolah-sekolah yang sepadan dengan negara barat yang tidak berunsurkan agama, kerana kebanyakkan kaum muslimin kini telah bergoncang kepercayaan mereka mengenal Islam dan Al Quran, ketika mereka mula mempelajari buku-buku sekolah barat dan mereka mula mempelajari bahasa-bahasa asing ".

3. MENGHAPUSKAN AL QURAN
Orang-orang Kristian mengira bahawa Al Quran merupakan sumber kekuatan bagi orang-orang Islam dan ianya juga sumber inspirasi menyelesaikan apa jua bentuk permasalahan  yang dihadapi oleh umatnya di dunia dan di akhirat.Gladstone pernah berkata di dalam satu persidangan Dewan Parlimen Inggeris dan ketika itu tangannya mengangkat Mashaf di hadapan sidang hadirin: " Selagi Al Quran ini berada di tangan kaum muslimin, selagi itulah Eropah tidak dapat menguasai Timur dan selagi itulah Eropah tidak akan dapat hidup dalam keadaan aman damai ".

William Geyford Balcroff salah seorang mubaligh Kristian pernah berkata: " Apabila Al Quran itu lenyap dan Kota Mekah hilang dari ingatan negara Arab, ketika itu barulah kita dapat melihat orang-orang Arab akan menjejaki jalan tamaddun Barat, jauh menyimpang dari Muhammad dan kitabnya ".

Seorang paderi Kristian yang sangat bencikan Islam bernama Cately telah mengatakan: " Menjadi kewajiban kepada kita mempergunakan Al Quran yang merupakan sekuat-kuat senjata di dalam Islam untuk memukul Islam itu sendiri, sehingga akhirnya kita berjaya membasminya sama sekali, kita pasti menerangkan kepada kaum muslimin bahawa yang benar di dalam Al Quran itu bukanlah baru dan yang baru itu tidak benar sama sekali ".

Seorang Gabenor Perancis di Algeria pernah berkata ketika menyambut berlalunya 100 tahun penjajahan Perancis: " Kita mesti menghilangkan Al Quran yang berbahasa Arab dari kehidupan mereka dan menjadi kewajiban juga kepada kita menghapuskan lidah yang berbahasa Arab dari pertuturan mereka ".

Untuk mencapai tujuan tersebut, pemerintah Perancis telah membuat suatu percubaan amali dengan memilih 10 orang gadis Islam dari Algeria untuk dimasukkan ke sekolah-sekolah di Perancis, diberikan mereka pakaian Perancis, diajarkan kepada mereka istiadat Perancis, dibiasakan mereka bertutur bahasa Perancis, maka jadilah mereka semua itu seperti gadis-gadis Perancis. Selama 11 tahun lamanya untuk menukarkan gadis-gadis arab itu, diadakan satu majlis untuk menyambut hari penamatan pelajaran anak-anak itu, diundang para menteri, ahli-ahli fikir serta pemberita dari pelbagai pihak. Apabila upacara itu majlis itu bermula, para hadirin terperanjat apabila melihat gadis-gadis Algeria itu datang dengan pakaian nasional mereka yang melambangkan Islam. Pemberita-pemberita surakhabar Perancis memprotes sambil bertanya: " Apakah yang telah dilakukan oleh penjajahan Perancis di Algeria setelah berlalunya 128 tahun? Lacust, Menteri Kolonial Perancis menjawab: " Apa yang dapat saya lakukan, jika Al Quran itu lebih kuat pengaruhnya dari pengaruh negara Perancis sendiri ?".

4. MEMUSNAHKAN AJARAN ISLAM
Gambaran yang ditonjolkan oleh musuh-musuh Islam tentang ajaran Islam amat jauh sekali bertepatan dengan naluri kemanusiaan dan kehendak-kehendak ajaran Islam itu sendiri. Pandangan mereka amat jauh terpesong dan menyimpang dari jalan yang asal. Mereka mewujudkan pelbagai aspek yang mengelirukan untuk menarik minat umat manusia supaya mengatakan inilah dia seruan Islam dan cara hidup Islam.Di antara gambaran dan aspek-aspek yang biasa ditonjol untuk mengelirukan manusia terhadap Islam ialah:

4.1. Ajaran Mengajak Kepada Keganasan
Ungkapan 'Di Bawah Kilauan Pedang' telah memberi pengertian bahawa Islam agama yang sukakan pergaduhan, pertelingkahan, perkelahian, pertengkaran, permusuhan dan seterusnya menimbulkan aksi dan babak peperangan. Dalam erti kata yang lain, ajaran Islam lebih cenderung kepada keganasan dan pembunuhan. Dengan memperalatkan pertubuhan antarabangsa dan menyebarkan gambaran jahat mereka terhadap Islam di ruangan akhbar dan media massa telah mencetuskan reaksi spontan kepada masyarakat dunia betapa punahnya ajaran Islam. Walaupun pada hakikatnya perkara itu tidak benar, tetapi dengan gambaran itu mereka telah berjaya menipu umat manusia seluruhnya terhadap kemurnian Islam. Mereka menggambarkan tokoh-tokoh gerakan Islam sebagai pencetus aksi keganasan di seluruh dunia. Kebencian kepada Islam itu jelas kelihatan apabila perasaan kefanatikan digambarkan dalam nyanyian tentera Itali ketika memerangi Tripoli: " Aku akan memerangi dengan kekuatan ku untuk menghapuskan Al Quran yang selalu dipuja-puja oleh umat Islam, umat yang terkutuk itu”.

Sedangkan kemasukan tentera Itali ke Tripoli adalah untuk menjajah dan mereka telah mendapat tentangan yang sengit dari penduduk tempatan yang tidak suka kehadiran tentera Itali.

4.2. Ajaran kuno
Di antara spekulasi yang ditonjolkan oleh musuh-musuh Islam terhadap Islam dan para penganutnya ialah bahawa Islam itu adalah ajaran yang tidak bertamaddun dan kuno, ajaran padang pasir yang hanya sesuai dengan unta, jubah dan serban sahaja. Ajaran ini tidak sesuai lagi untuk dibawa ke abad ini. Gambaran yang begitu jahat dan menusuk kalbu itu telah menikam hebat umat Islam di seluruh dunia. Tetapi hakikatnya, Islam tetap utuh dan kukuh di setiap peredaran zaman walau apa juga fitnahan yang dilemparkan. Ajaran-ajaran lain seperti Kristian, Yahudi, Budhha, Hindu dan lain-lain tidak dapat diterima dan dihayati oleh manusia moden hari ini yang menyebabkan ianya terpinggir jauh tersorok ke belakang, apatah lagi konsep-konsep ajaran tersebut tidak menampakan benih yang memberangsangkan.

4.3. Ilmu Falsafah Dan Mistik
Orientalis Barat telah berjaya menganjak pemikiran umat Islam dengan pelbagai ilmu falsafah yang mengkaji tentang konsep ketuhanan dan kejiwaan. Mereka telah mewujudkan gambaran kerohanian atau spritual terhadap kewujudan bahawa wujudnya sesuatu itu mestilah diasaskan dengan pancarindera yang lima iaitu: deria rasa, bau, dengar, lihat dan sentuh1.Konsep yang diwujudkan ini boleh memesongkan 'aqidah umat Islam, kerana konsep ketuhanan yang mereka dakwa mestilah diasaskan dengan pancarindera yang lima itu. Bererti, Tuhan itu tidak wujud kerana ia tidak boleh rasa atau dicium baunya atau didengar dengan telinga atau dilihat dengan mata atau disentuh dengan tangan. Untuk menolak pendapat dan pandangan ahli falsafah ini, kita mengemukakan soalan kepada mereka: Adakah kamu golongan yang tidak berakal? Mungkin mereka menjawab: Tidak! bahkan kami golongan yang berakal. Jika demikian kita bertanya lagi: Di mana akal kamu, sila tonjolkan untuk kami tengok...! Nescaya terpinga-pingalah golongan tersebut yang hanya terpedaya dengan teori-teori ciptaan mereka. Mereka juga bertanggungjawab mewujudkan ilmu mistik dan alam kehidupan mistik yang mengesa manusia mengasingkan diri dari masyarakat semata-mata bermunajat kepada Tuhan, kerana masyarakatlah yang menyebabkan manusia menjadi kotor dan berdosa.

4.4. Poligami
Musuh-musuh Islam telah mengeksploitasikan poligami sebagai penghinaan kepada kaum wanita yang diperalatkan oleh lelaki yang buas nafsunya. Gambaran yang tempang dan mengelirukan ini sedikit sebanyak telah berjaya disogok ke dalam masyarakat Islam sehingga terdapat di kalangan wanita Islam hari ini sanggup diceraikan oleh suaminya daripada dimadu. Perlu difahami, poligami diharuskan dalam sistem perundangan kekeluargaaan Islam adalah bertujuan untuk mengatasi masalah pertambahan bilangan kaum wanita yang semakin ramai jika dibandingkan dengan bilangan kaum lelaki di seluruh dunia.. Hakikatnya, kalaulah Islam tidak mengharuskan poligami nescaya sebahagian besar wanita hari ini hidup membujang sehingga akhir hayat. Justeru itu, akan bertambah pula gejala sosial seperti perzinaan, pelacuran, lesbian dan lain-lain untuk memenuhi tuntutan hawa nafsu. Maka, di sinilah Islam mengajar umat manusia berfikir supaya menerima hakikat untuk mengatasi problem bilangan wanita yang tidak seimbang dengan kaum lelaki. Kalaulah poligami itu tidak dibenarkan, adakah pelacuran itu boleh mengatasi permasalahan ini? Adakah perzinaan itu perlu dihalalkan sesuai dengan dunia moden hari ini? Adakah lelaki dibenarkan menyimpan perempuan selain dari isterinya yang sah? Adakah lesbian perlu diiktiraf sebagai menyahut tuntutan nafsu wanita? Sedangkan perbuatan itu semua bukan sahaja boleh mendatangkan gejala penyakit yang kronik dan kelesuan minda wanita, bahkan di sana jelas menunjukkan murahnya moral dan martabat wanita yang boleh diperalatkan semata-mata kerana nafsu syahwat....!

Kalaulah tidak dengan poligami, apakah cara yang paling baik untuk mengatasi masalah pertambahan bilangan kaum wanita hari ini jika dibandingkan dengan bilangan kaum lelaki?

5. MELENYAPKAN PEMERINTAHAN ISLAM
Kristian sejak dahulu lagi telah berkompromi dengan musuh-musuh Islam berusaha untuk meruntuhkan Islam dan juga melenyapkan sistem pemerintahan Islam atau Khilafah Islam.Puak-puak Kristian telah bersatu di bawah satu panji-panji yang disertai oleh Inggeris, Greek, Itali dan Perancis telah mengambil peluang dengan kelemahan kerajaan Uthmaniyyah dan kegoncangannya serta pertelingkahannya sesama sendiri. Mereka telah menerkam kerajaan itu seperti serigala buas menerkam mangsanya dengan tentera yang besar sehingga mereka dapat menguasai semua tanah-tanah jajahan Islam. Antara yang berjaya dikuasainya ialah Kota Istanbul. Maka berlakulah di sana suatu persidangan muktamar Luzan untuk mengadakan perdamaian di antara kedua-dua belah pihak yang berperang. Inggeris telah mensyaratkan kepada pemimpin negara Turki yang khianat bernama Mustafa Kamal Ataturk, bahawa sanya dia tidak akan mengundurkan diri dari bumi Turki kecuali setelah melaksanakan syarat-syarat berikut:

1.Menghapuskan sistem Khilafah Islamiyyah dan menghalau Khalifah dari negara Turki serta merampas semua harta kekayaannya.

2.Turki mesti berjanji untuk menekan dan mematikan terus segala gerakan yang akan dihidupkan oleh penyokong-penyokong idea khilafah.

3.Turki mestilah memutuskan semua bentuk perhubungan dengan Islam.

4.Turki mestilah memilih suatu perlembagaan sivil untuk menggantikan perlembagaan yang disusun dari undang-undang Islam.

Syarat-syarat tersebut juga telah menghapuskan mahkamah-mahkamah tertinggi Islam, sekolah-sekolah agama, hukum-hukum Islam, menjadikan azan dalam bahasa Turki, menukarkan huruf-huruf arab kepada huruf-huruf latin, menukarkan cuti hari Jumaat kepada hari Ahad dan semua itu dilaksanakan pada tahun 1928 Masehi. Apabila Menteri Luar Inggeris yang bernama Carzoun bercakap di Parlimen mendedahkana apa yang berlaku di Turki, orang ramai bangun memprotes dengan keras tindakan yang dilakukan oleh Carzoun. Mereka merasa hairan bagaimana Inggeris boleh mengiktiraf kemerdekaan Turki, lalu Carzoun menjawab: " Kita telah melenyapkan Turki yang tidak akan bangun lagi sesudah ini, kita telah menghapuskan sumber kekuatannya yang terdiri di atas dua perkara; Islam dan pemerintahan berkhilafah ".

Maka bertepuk gemuruhlah parti pemerintah dan sunyi sepilah parti pembangkang.

6. MEMUSNAHKAN KESATUAN UMAT ISLAM
 Gerakan Kristian dahulu dan sekarang bukan sahaja bergerak semata-mata untuk menyeru manusia menganut ajaran Kristian, bahkan di sana ada suatu tujuan dan matlamat di sebalik tirai tersebut, iaitu menghancurkan kesatuan umat Islam sejagat.Seorang paderi Kristian yang bernama Simon telah menyatakan:

"Sesungguhnya persatuan Arab Islam menyatukan cita-cita besar semua bangsa-bangsa Islam dan membantu mereka keluar dari cengkaman Eropah, sedangkan penyebaran Kristian adalah satu-satunya gejala yang penting untuk mematahkan ikatan tali gerakan itu, oleh sebab itu kita mesti menggunakan penyebaran Kristian ini untuk memalingkan tujuan kaum muslimin daripada persatuan Islam itu ".

Manakala seorang mubaligh Kristian bernama Lawrance Brown telah berkata: " Jika kaum muslimin dibiarkan bersatu dalam sebuah empayar Arab, mereka akan merupakan suatu laknat dan bahaya besar terhadap alam seluruhnya, dan kemungkinan juga perkara ini merupakan suatu ni'mat baginya. Tetapi, jika mereka semua berpecah-belah, nescaya mereka akan terus-menerus hidup tanpa harga dan tanpa kesan ".

Pada tahun 1907, suatu muktamar besar telah diadakan di Eropah dan disertai oleh ramai ahli fikir dan ahli politik barat dan muktamar itu diketui oleh Menteri Luar Kerajaan British. Muktamar itu berjalan selama hampir sebulan dan para peserta telah mendedahkan bahaya-bahaya luar yang mungkin menghapuskan tamaddun barat yang hampir-hampir malap ini. Mereka berpendapat kaum musliminlah yang merupakan sebesar-besar bahaya yang mengancam Eropah. Maka para peserta muktamar itu telah memutuskan supaya menghalang penubuhan suatu persatuan atau persepakatan antara negara-negara Asia Barat, kerana Asia Barat berbangsa Islam, jika mereka bersama nescaya akan merupakan satu-satunya bahaya yang mengancam masa depan Eropah. Akhir sekali, mereka merancang dan menetapkan untuk membangunkan bangsa Yahudi yang memusuhi kaum Arab dan muslimin di Timur Suez (Suez Canal) untuk memecah-belahkan kaum muslimin. Kerajaan British telah membuka tangan untuk memberi kerjasama dan bantuan terhadap Zionisme antarabangsa yang telah melaungkan penubuhan suatu negara Yahudi di Palestin. 

7. MEROSAKKAN IMEJ UMAT ISLAM
Kaum Barat telah membuat spekulasi tentang umat Islam bahawa mereka sukakan keganasan dan anti kepada keamanan. Mereka memperlihatkan dan mewujudkan aksi-aksi ragus umat Islam di kaca mata masyarakat dunia, tanpa menyedari hakikat disebalik itu bahawa mereka menutup tirai keganasan yang mereka lakukan. Mereka menggelar umat Islam yang cuba membebaskan tanah air mereka seperti di Palestin dan Lubnan serta lain-lain negara sebagai 'pengganas'. Gambaran yang jahat ini semata-mata untuk memusnahkan imej umat Islam supaya manusia semua sekali tidak terpengaruh dengan ajaran Islam yang suci itu. Kita bertanya, negara Islam manakah yang menekan dan membunuh rakyat mereka yang bukan Islam semata-mata anutannya yang bukan Islam ataupun membunuh sesiapa sahaja yang bukan Islam? Tetapi, apa yang sebenarnya berlaku ialah penganiayaan, pengkhianatan dan pembunuhan ke atas umat Islam. Peperangan yang berlaku di negara Balkan dan Bosnia telah mengorbankan beribu-ribu nyawa umat Islam dan di antara mereka ada yang diseksa, disembelih hidup-hidup, dianiaya dan juga dirogol sebelum dibunuh. Di negara-negara yang bukan Islam seperti Amerika, Britain, India, di negara jajahan Soviet umat Islam menjadi mangsa kekejaman pemerintah. Dan juga di negara-negara Islam seperti negara-negara Arab di Mesir, Algeria dan lain-lain lagi umat Islam di sana telah dihina dan dibunuh walaupun di negara tanah airnya sendiri.

8. MEROSAKKAN IMEJ WANITA ISLAM
Di antara matlamat gerakan Kristian untuk cuba meluaskan pengaruh ajarannya ialah dengan cara merosakkan imej kaum wanita Islam. Mereka berjaya mewujudkan gerakan pembebasan wanita, menimbulkan perdebatan sekitar isu hak-hak mereka dan persamaan mereka dengan lelaki dan gambaran ini sekaligus mencacatkan undang-undang Islam tentang poligami, masalah membolehkan talak yang semua itu boleh menimbulkan kekeliruan kepada umat Islam.Samuel Zwemer seorang paderi Kristian yang jahat itu pernah memberi nasihat kepada para penyebar ajaran Kristian supaya jangan berputus asa, kerana bibit 'kemerdekaan wanita' sekarang sedang tumbuh di dalam masyarakat Islam, katanya:

" Hendaklah para penyebar ajaran Kristian sekalian supaya tidak putus harapan, andaikata  hasil dari penyebaran mereka kepada kaum muslimin sangat lemah, kerana kini sudah ternyata bahawa kaum muslimin telah tumbuh di dalam hati mereka kecenderungan yang kuat kepada ilmu-ilmu kaum Barat dan cara-cara untuk membebaskan kaum wanita ". 

Seorang penulis Perancis yang terkenal bernama Missio Atean Lamea telah menulis makalahnya di dalam majalah El Alameen yang berbahasa Perancis keluaran 15 September, 1901 digariskan contoh perbandingan untuk menghancurkan Islam: " Sesungguhnya cara mendidik anak-anak kaum muslimin, meskipun telah memberi kesan yang kuat dari apa yang telah kita rancangkan, akan tetapi mendidik gadis-gadisnya di sekolah konven lebih mencapaikan lagi tujuan kita yang asal dan akan membawanya kepada matlamat yang kita usahakan. Bahkan saya berani mengatakan bahawa mendidik anak-anak perempuan mereka dengan cara begini ialah satu-satunya jalan untuk membasmi Islam melalui tangan penghuninya sendiri ".

Negeri-negeri di Scandinavia telah menggubal satu undang-undang keluarga sejak tahun 1972 lagi yang mana pada dasarnya undang-undang tersebut memang menggalakkan lagi perzinaan. Pertubuhan Pembebasan Wanita di negeri itu telah meletakkan satu garis kasar undang-undang tersebut supaya membolehkan lelaki yang inginkan anak boleh mendapatkan anak itu dengan cara tidak perlu kahwin. Ia boleh dilakukan dengan cara 'Permanian Berhadas' atau (Test Tube Baby) bayi tabung uji. Di antara perkara-perkara lain yang dituntut dalam Pertubuhan Pembebasan Wanita yang kononnya ingin menjaga imej kewanitaan ialah:

1. Menghalalkan pengguguran anak.
2. Kahwin cubaan di antara teruna dara atau 'Trial Marriage'.  
3. Pertukaran-tukar pasangan suami atau isteri.
4. Permanian berhadas.
5. Mengharuskan pelacuran

Tahulah kita hari ini, bahawa penyebar ajaran Kristian bukan sahaja untuk menyebarkan agamanya yang karut-marut itu, bahkan berniat jahat untuk memusnahkan Islam dan umatnya sekali.

Sekian, wassalam.

Al Faqir Ila ‘Afwi Rabb
Lutpi Mustafa El-Batnani

No comments:

Post a Comment