PENGUASAAN ISTIQOMAH DALAM KEHIDUPAN

Tuesday 19 July 2011

MUHAMMAD SEBAGAI IKUTAN

Allah Ta’ala telah mengemukakan firmanNya untuk menyatakan tentang sifat-sifat dan peribadi Muhammad s.a.w. yang menjadi contoh tauladan dan ikutan yang baik, yang wajib diikuti dan dihayati oleh setiap muslim sepanjang kehidupannya.



Firman Allah Ta'ala:


لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِمَنْ كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا

 

Maksudnya: “ Sesungguhnya adalah bagi kamu pada diri Rasulullah terdapat suri tauladan yang baik kepada orang-orang yang mengharapkan Allah dan hari akhirat, mereka banyak berzikir kepada Allah “ (Al Ahzab: 21).



Muhammad s.a.w. merupakan seorang makhluk yang excellent dan unggul di atas dunia yang dicipta oleh Allah. Segala apa jua tindakan dan gerak-lakunya atau amal perbuatannya menjadi ikutan dan contoh tauladan yang baik kepada semua umat manusia. Tiada kelemahan yang hendak dipertikaikan ke atas batang tubuhnya dan tiada sesuatupun bentuk kesalahan atau kelakuan yang tidak senonoh untuk dieksploitasikan atau dijatuhkan hukuman ke atas dirinya, melainkan baginda tetap menjadi pilihan umat manusia sebagai qudwah hasanah, iaitu contoh ikutan dan tauladan yang baik. Baginda s.a.w. adalah seorang manusia yang berusaha dengan gigih di dalam menyampaikan tujuan dan matlamat hidupnya, iaitu mengislamkan umat manusia dengan mengemukakan konsep tauhid, konsep mengesakan Allah dari acuan syirik yang merupakan akar tunjang pegangan hidup umat manusia, kemudian baginda s.a.w. mengajak mereka semua supaya beristiqomah di jalan yang benar. Segala impian hidupnya telah terlaksana apabila isi pengajarannya itu telah mengalir di sepanjang peredaran zaman. Baginda s.a.w. adalah seorang pemimpin yang berjaya meluaskan kekuasaan Islam dan pengaruhnya, dan berjaya membina empayar keagungan Islam dan tamadunnya ke seluruh pelusuk dunia melalui risalah-risalah da’wah yang disebarkan. Ajaran Islam yang dibawa oleh baginda itu semakin hari semakin berkembang dan memdapat perhatian dari kaca mata masyarakat dunia, walaupun baginda telah lama pergi menemui Tuhannya, ajaran Islam tidak akan mati, sekalipun baginda telah mati meninggalkan umatnya, ajaran Islam itu tetap hidup subur di dada para penganutnya. Baginda s.a.w. juga berjaya mengubah pemikiran manusia dan menakluk pemikiran mereka daripada berfikiran jumud kepada berfikiran terbuka dan berjaya mengeluarkan gaya hidup manusia dari alam jahiliyah yang hitam pekat kepada alam Islam yang terang-benderang, kemudian menjahannam jahiliyah itu dari semua sudut kehidupan. Baginda s.a.w. adalah seorang Rasul utusan Tuhan dan berjaya menyampaikan bingkisan wahyu dari Tuhannya secara menyeluruh, tanpa disembunyikan sesuatu juapun apa yang diturunkan oleh Allah itu walaupun sedikit, baik pada kalimahnya atau patah perkataannya atau amalan-amalan hidupnya. Segala amanah ILAHI itu telah disampaikan dan disempurnakannya sebelum baginda wafat lagi. Baginda s.a.w. juga bertindak sebagai seorang penda’wah yang menyeru manusia ke jalan yang benar, iaitu jalan Islam yang mengajak manusia beriman kepada Tuhan yang Maha Esa, satu-satunya jalan yang diredhai Allah Ta’ala.



Firman Allah Ta'ala:


فَبِمَا رَحْمَةٍ مِنَ اللَّهِ لِنْتَ لَهُمْ ۖ وَلَوْ كُنْتَ فَظًّا غَلِيظَ الْقَلْبِ لانْفَضُّوا مِنْ حَوْلِكَ ۖ فَاعْفُ عَنْهُمْ وَاسْتَغْفِرْ لَهُمْ وَشَاوِرْهُمْ فِي الأمْرِ ۖ

 

Maksudnya: " Oleh kerana rahmat Allah, kamu bersikap lemah lembut kepada mereka dan sekiranya kamu bersikap kasar dan berkeras hati tentulah mereka akan lari dari kamu, oleh itu maafkan mereka dan pohonlah keampuan kepada mereka " (Ali 'Imran: 159).



 Walaupun Rasulullah s.a.w. diarahkan oleh Allah supaya bersifat lemah lembut ketika menyampaikan misi da’wah, adakalanya baginda diarahkan bersifat agak keras ketika menghadapi golongan kafir dan munafiq.


Firman Allah Ta’ala:

 

يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ جَاهِدِ الْكُفَّارَ وَالْمُنَافِقِينَ وَاغْلُظْ عَلَيْهِمْ ۚ

 

Maksudnya: " Wahai nabi! Berjihadlah kamu menentang orang-orang kafir dan orang-orang munafiq, bersikap keraslah terhadap mereka " (At Taubah: 73).



Perjuangan menentang orang-orang kafir adalah dengan menggunakan senjata dan kekuatan bala tentera, sesuai dengan sikap penentangan mereka terhadap Islam, tetapi menentang orang-orang munafiq dengan menggunakan kata-kata dan sifat yang keras, menangkis serangan lidah mereka yang tidak bertulang itu dengan membina hujjah-hujjah keras.



Firman Allah Ta'ala:


يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ إِنَّا أَرْسَلْنَاكَ شَاهِدًا وَمُبَشِّرًا وَنَذِيرًا وَدَاعِيًا إِلَى اللَّهِ بِإِذْنِهِ وَسِرَاجًا مُنِيرًا

 

Maksudnya: " Wahai Nabi! Sesungguhnya Kami mengutus kamu sebagai saksi, pembawa berita gembira dan pemberi peringatan serta penyeru kepada agama Allah dengan izinNya dan menjadi pelita yang bercahaya " (Al Ahzab: 45-46).



Baginda s.a.w. juga bertindak sebagai pembawa berita gembira untuk memori umat manusia dengan mengemukakan penjelasan yang terang tentang amalan-amalan kebaikan yang dilakukan oleh manusia pastinya akan mendapat ganjaran syurga yang kekal abadi. Oleh sebab itu, di sini dinyatakan beberapa ikutan baginda s.a.w. yang boleh dihayati bersama.

 


Sekian, wassalam.



Al Faqir Ila ‘Afwi Rabb
Lutpi Mustafa El-Batnani

No comments:

Post a Comment