PENGUASAAN ISTIQOMAH DALAM KEHIDUPAN

Monday 18 July 2011

CAHAYA LAA ILAHA ILLALLAH MUHAMMADUR RASULULLAH (SIRI KEEMPAT)

1. ISBAT LAA ILAHA ILLALLAH ( إلا اللـــه ):
Konsep isbat di dalam pengakuan syahadah merupakan pengecualian terhadap Allah yang membawa pengertian: Bahawa Allah Ta'ala sahaja Tuhan yang wajibul wujud yang layak untuk diabdikan oleh setiap manusia, yang tiada Tuhan melainkan Dia dan Dialah yang berkuasa segala-galanya. Konsep tersebut menyatakan:

1.1. Mengisbatkan Allah Tuhan Maha Esa
Mengisbatkan bahawa Allah Ta'ala adalah Tuhan yang Maha Esa yang tiada Tuhan melainkan Dia, sebagaimana yang dinyatakan dalam firmanNya:
وَإِلَٰهُكُمْ إِلَٰهٌ وَاحِدٌ ۖ لاَ إِلَٰهَ إِلاَّ هُوَ الرَّحْمَٰنُ الرَّحِيمُ


Maksudnya: " Dan Tuhan mu Maha Esa, tiada Tuhan selain dariNya, yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang " (Al Baqarah: 163).

Firman Allah Ta'ala:
اللَّهُ لاَ إِلَٰهَ إِلاَّ هُوَ الْحَيُّ الْقَيُّومُ ۚ لاَ تَأْخُذُهُ سِنَةٌ وَ لاَ نَوْمٌ


Maksudnya: " Allah tiada Tuhan melainkan Dia, yang hidup kekal dan terus-menerus berkuasa, tidak mengantuk dan tidak pula tidur " (Al Baqarah: 255).

1.2. Mengisbatkan Hanya Allah Memberi Petunjuk
Mengisbatkan bahawa hanya Allah Ta'ala sahaja yang layak memimpin dan memberi petunjuk kepada manusia ke jalan yang benar. Adapun jalan-jalan yang lain selain dari jalan Allah itu adalah sesat dan menyesatkan.

Firman Allah Ta'ala:
اتَّبِعُوا مَا أُنْزِلَ إِلَيْكُمْ مِنْ رَبِّكُمْ وَلاَ تَتَّبِعُوا مِنْ دُونِهِ أَوْلِيَاءَ ۗ قَلِيلاً مَا تَذَكَّرُونَ
Maksudnya: " Ikutlah apa yang diturunkan oleh Tuhan mu kepada kamu dan janganlah kamu sekali-kali mengikut selain daripadaNya sebagai pemimpin, hanya sedikit sahaja yang kamu mengerti " (Al A'raf: 3).

1.3. Mengisbatkan Hanya Islam Ajaran Allah
Mengisbatkan bahawa hanya ajaran Islam sahaja yang diturunkan oleh Allah Ta'ala sebagai suatu ajaran dan cara hidup yang berkesan buat seluruh manusia. Adapun ajaran lain yang dicipta dan direka oleh manusia tidak sekali-kali diterima oleh Allah, walaupun ianya bersesuaian dengan akal fikiran manusia.

Firman Allah Ta’ala:
إنَّ الدِّيْنَ عِنْدَ اللهِ الإسلاَم


Maksudnya: " Sesungguhnya ad deen (cara hidup) di sisi Allah ialah Islam " (Ali 'Imran: 19).

Firman Allah Ta'ala:
وَمَنْ يَبْتَغِ غَيْرَ الإِسْلاَمِ دِينًا فَلَنْ يُقْبَلَ مِنْهُ وَهُوَ فِي الآخِرَةِ مِنَ الْخَاسِرِينَ
Maksudnya: " Sesiapa yang mencari agama yang lain dari Islam, sesungguhnya tidak sekali-kali diterima dan di hari akhirat nanti mereka bersama-sama dengan orang-orang yang rugi " (Ali 'Imran: 85).

     Ajaran Islam telah muncul di tengah-tengah gelanggang jahiliyah yang hitam pekat dengan candu kepercayaan kunonya dan ikatan pegangan yang rapuh. Ajaran Islam datang bukan untuk mengubati penyakit kurap jahiliyah atau membersihkan kotoran daki yang ada pada tubuh badan jahiliyah ataupun membaiki-pulih ideologi jahiliyah yang sudah usang itu, tetapi ajaran itu muncul untuk membuang terus jahiliyah dan melenyapkan dari akar umbinya sekali dengan menggantikan Islam sebagai suatu penghayatan yang suci, di saat ajaran Kristian terpaku kelu melihat temasya jahiliyah tanpa mengambil sebarang initiative mencegah virus tersebut dari merebak.  Islam meletakkan persoalan 'aqidah sebagai teras dan pokok utama dalam sistem hidup manusia untuk membentuk nilai-nilai murni.  Ianya juga merupakan suatu kepercayaan yang membezakan alam hidup kemanusiaan daripada bertuhankan kebendaan atau hawa nafsu kepada keesaan Tuhan yang menyeluruh terhadap aspek kekuasaanNya. Ini adalah konsep asas dalam membina individu muslim yang sejati, yang teguh dan luhur kepercayaannya di hati sanubari dan jiwa nurani.  Kemudian ajaran Islam pula mengatur-galur sistem hidup manusia melalui sistem ibadat, sistem muamalat yang menyentuh soal-soal korporat dan ekonomi dan juga perkara-perkara yang berkaitan dengannya, sistem munakahat atau nikah kahwin yang menyentuh aspek kekeluargaan dalam Islam, sistem jinayah yang menyentuh aspek perundangan dan hukum hakam, sistem politik atau siasah yang menyentuh hal ehwal pemerintahan dan hubungan antara negara. Ajaran Islam juga mengatur sistem akhlak dan budi pekerti serta adab kesonpanan sesama manusia, sama ada sesama Islam ataupun bukan Islam. Sistem yang sebegitu rupa diatur oleh Islam ini adalah untuk memelihara keharmonian masyarakat supaya mereka dapat hidup dalam keadaan aman sejahtera.

1.4. Mengisbatkan Hukum Allah Peraturan Tertinggi
Mengisbatkan hanya peraturan yang diturunkan oleh Allah Ta'ala sahaja yang layak diguna-pakai oleh sekelian manusia, adapun peraturan lain yang bertentangan dan bercanggah dengan apa yang diturunkan oleh Allah itu adalah peraturan jahiliyah dan tidak sekali-kali diterima, kerana peraturan tersebut tidak memberi apa-apa manfaat kepada manusia.

Firman Allah Ta'ala:
أَفَحُكْمَ الْجَاهِلِيَّةِ يَبْغُونَ ۚ وَمَنْ أَحْسَنُ مِنَ اللَّهِ حُكْمًا لِقَوْمٍ يُوقِنُونَ
Maksudnya: " Adakah hukum jahiliyah itu yang kamu mahu, siapakah yang terlebih baik selain dari Allah hukuman, bagi kaum yang yakin " (Al Maidah: 50).

Ibn Kasthir r.a. telah mentafsirkan ayat tersebut di dalam kitabnya sebagai berkata: " Allah Ta'ala telah mengingkari dengan sekeras-kerasnya terhadap sesiapa yang terkeluar dari hukumanNya yang lengkap, yang menyeru kepada kebaikan dan mencegah kepada kejahatan,  yang diambil dari pendapat dan pandangan hawa nafsu serta istilah-istilah yang dicipta, lalu diambil oleh para pemimpin dengan tidak berpandukan kepada syari'at Allah. Keadaan ini samalah sepertimana yang dilakukan oleh ahli jahiliyah yang berhukum dengan kesesatan dan kejahilan, yang berpandukan kepada pendapat dan hawa nafsu mereka, sebagaimana yang telah dilakukan oleh Kerajaan Tartar yang mengambil hukuman di dalam politik kerajaan dari peminpin mereka bernama Genjis Khan dan kemudian diletakkan di dalam buku perlembangaan bernama Yasaq. Ianya merupakan buku perlembagaan yang mengandungi pelbagai hukuman, yang diambil dari syari'at Yahudi, Nasrani dan  juga diambil dari syari'at Islam serta lain-lain lagi. Tetapi, terdapat banyak hukum-hakam di dalamnya diambil dari teori ciptaan dan pandangan hawa nafsu mereka untuk dilaksanakan kepada rakyat sebagai suatu syari'at yang wajib didahului dari Kitab Allah dan Sunnah Rasulullah s.a.w. Ibn Kasthir menegaskan:
وَمَنْ فَعَلَ ذَلِكَ فَهُوَ كَافِرٌ يَجِبُ قِتَالُهُ حَتَّى يَرْجِعَ اِلَى حُكْمِ اللهِ وَرَسُوْلِهِ فَلاَ يَحْكُمْ سِوَاهُ فِىْ قَلِيْلٍ وَلاَ كَثِيْرٍ
Maksudnya: “Sesiapa yang melakukan perkara tersebut, maka hukum adalah kafir dan wajib memeranginya sehingga ia  kembali kepada hukuman Allah dan RasulNya s.a.w. Tidak harus berhukum selain dari hukuman Allah sama ada sedikit apatah lagi banyak ".


Sekian, wassalam

Al Faqir Ila ‘Afwi Rabb
Lutpi Mustafa El-Batnani

No comments:

Post a Comment