PENGUASAAN ISTIQOMAH DALAM KEHIDUPAN

Monday 18 July 2011

CAHAYA LAA ILAHA ILLALLAH MUHAMMADUR RASULULLAH (SIRI KELIMA)

1. SYARAT LAA ILAHA ILLALLAH
Panduan hidup manusia muslim terletak kepada kekuatan pegangan hidupnya sendiri yang terpancak di dalam hati sanubari dan jiwa nuraninya. Kekuatan itu terkandung di dalam kalimah syahadah LAA ILAHA ILLALLAH yang menjadi akar tunjang kepada asas kehidupan manusia muslim untuk mencetuskan aksi hidup yang lebih dynamic terhadap keesaan Allah. Mereka juga mestilah faham terhadap ungkapan yang terkandung di dalam kalimah tersebut sebagai suatu syarat untuk melayakkan dirinya benar-benar menghayati apa yang diturunkan oleh Allah. Di antara syarat-syarat tersebut ialah:

1.1 Mempunyai Ilmu Pengetahuan
Untuk membuat pengakuan LAA ILAHA ILLALLAH, seseorang muslim itu hendaklah mempunyai ilmu pengetahuan yang cukup tentang hakikat ketuhanan, dia hendak mengetahui kekuasaan Tuhan meliputi segala sesuatu, sifat-sifatNya dan perbuatanNya terhadap sekalian makhluk, sebagaimana yang tersirat di dalam kalimah tersebut yang mengandungi penafian dan isbat, dan sebagaimana juga yang telah dinyatakan di dalam Al Kitab.

Firman Allah Ta'ala:

شَهِدَ اللَّهُ أَنَّهُ لاَ إِلَٰهَ إِلاَّ هُوَ وَالْمَلاَئِكَةُ وَأُولُو الْعِلْمِ قَائِمًا بِالْقِسْطِ ۚ لاَ إِلَٰهَ إِلاَّ هُوَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ

Maksudnya: " Allah menjadi saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Dia dan malaikat serta ahli ilmu yang berdiri dengan benar, tiada Tuhan melainkan Dia Yang Maha Perkasa dan Maha Bijaksana " (Ali Imran: 18).

Di dalam sepotong hadith yang diriwayatkan Uthman bin Affan r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

مَنْ مَاتَ وَهُوَ يَعْلَمُ أَنَّهُ لاَإِلَهَ إِلاَّ الله دَخَلَ اْلجَنَّةَ

Maksudnya: " Sesiapa yang mati dan mengetahui bahawa: Tiada Tuhan melainkan Allah, maka dia akan dimasukkan ke dalam  syurga "  (Riwayat Muslim).

       Maka dengan sebab itu, mengetahui LAA ILAHA ILLALLAH dan juga maknanya serta maksudnya menjadi syarat kesempurnaan iman seseorang itu dan layak menjadi warganegara syurga.

1.2. Mempunyai Keyakinan
Setiap muslim yang membuat pengakuan LAA ILAHA ILLALLAH mestilah mempunyai keyakinan sepenuh hati yang tidak berbelah terhadap kalimah tersebut dengan merungkaikan segala perasaan ragu-ragu dan syak wasangka. Keyakinan itu akan mengukuhkan lagi pengakuan ketuhanan yang dilapazkan oleh lidahnya itu untuk terus masuk mengalir ke dalam hati sanubari dan jiwa nurani dan mempraktikkannya menjadi suatu amalan yang diredhai oleh Tuhan. Dia juga hendaklah mengemukakan dalil-dalil atau hujah-hujah sebagai prinsip asas untuk memberi kekuatan kepada kalimah tersebut, kerana asas keyakinan itu dinilai dari aspek kebenaran.

Firman Allah Ta'ala:

إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ الَّذِينَ آمَنُوا بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ ثُمَّ لَمْ يَرْتَابُوا وَجَاهَدُوا بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنْفُسِهِمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ ۚ أُولَٰئِكَ هُمُ الصَّادِقُونَ

Maksudnya: " Sesungguhnya orang-orang yang benar-benar beriman hanyalah mereka yang percaya kepada Allah dan RasulNya, kemudian mereka tidak ragu-ragu dan berjihad dengan harta benda dan jiwa raga mereka di jalan Allah, mereka itulah orang-orang yang benar " (Al Hujurat: 15).

Di dalam sepotong hadith yang sahih yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

أَشْـهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ الله وَأَنِّى رَسُوْلُ اللهِ لاَ يَلْقَى اللهُ بِهِمَا عَبْدُ غَيْرُ شَاكٍ فِيْهِمَا إِلاَّ دَخَلَ اْلجَنَّةَ

Maksudnya: " Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan aku adalah PesuruhNya, Allah tidak meletakkan kedua-dua kalimah tersebut kepada seseorang hamba yang tidak ragu-ragu, melainkan dimasukkan ke dalam syurga " (Riwayat Muslim)

Perasaan ragu-ragu dan syak wasangka itu tidak akan membawa apa-apa erti kepada kehidupan, ianya akan menyumbangkan perasaan gerimis di dalam jiwa atau perasaan yang serba salah untuk memilih di antara dua jalan dan dua persimpangan, dia akan terperangkap dalam kejahilan hidupnya akibat perbuatannya sendiri yang tidak mahu menerima hakikat kebenaran. Sepatutnya dia bersikap tegas terhadap perasaan dirinya sendiri tanpa dipengaruhi oleh hawa nafsu untuk menetapkan suatu keyakinan mengenai masalah ketuhanan.

1.3. Menerima Ketetapan Dengan Penuh Keikhlasan
Seseorang muslim itu hendaklah menerima ketetapan LAA ILAHA ILLALLAH dengan perasaan hati terbuka dan dengan ungkapan lidah yang ikhlas, kerana ungkapan itu akan menggambarkan perasaan isi hatinya yang sebenar dan akan mencetuskan aksi hidup menurut ketetapan LAA ILAHA ILLALLAH itu. Di sana, Allah telah mengemukakan lembaran kisah terhadap perjuangan rasul-rasul yang terdahulu sebagai suatu peringatan dan pengajaran buat seluruh umat manusia, tentang bagaimana suatu kelompok umat manusia yang terdahulu tidak dapat menerima ketetapan konsep ketuhanan kerana tidak mahu meninggalkan ajaran yang telah ditinggalkan oleh datuk nenek moyang mereka terdahulu.

Firman Allah Ta'ala:

وَكَذَٰلِكَ مَا أَرْسَلْنَا مِنْ قَبْلِكَ فِي قَرْيَةٍ مِنْ نَذِيرٍ إِلاَّ قَالَ مُتْرَفُوهَا إِنَّا وَجَدْنَا آبَاءَنَا عَلَىٰ أُمَّةٍ وَإِنَّا عَلَىٰ آثَارِهِمْ مُقْتَدُونَ قَالَ أَوَلَوْ جِئْتُكُمْ بِأَهْدَىٰ مِمَّا وَجَدْتُمْ عَلَيْهِ آبَاءَكُمْ ۖ قَالُوا إِنَّا بِمَا أُرْسِلْتُمْ بِهِ كَافِرُونَ فَانْتَقَمْنَا مِنْهُمْ ۖ فَانْظُرْ كَيْفَ كَانَ عَاقِبَةُ الْمُكَذِّبِينَ
Maksudnya: " Demikianlah Kami utuskan sebelum kamu seorang yang memberi peringatan di dalam suatu negeri, orang-orang yang hidup mewah di antara mereka berkata: Sesungguhnya kami dapati bapa-bapa kami memeluk suatu agama dan sudah tentu kami ikut sahaja jejak mereka. Rasul berkata: Bagaimana kalau aku mengemukakan kepada kamu petunjuk yang baik dari apa yang kamu dapati dari bapa kamu? Mereka menjawab: Apa yang kamu sampaikan itu kami tidak percaya. Oleh sebab itu, Kami menyeksa mereka, maka perhatikanlah akibat orang-orang yang dusta " (Az Zukhruf: 23-25).

Mereka tidak mahu menerima ketetapan dari apa yang disampaikan oleh rasul yang diutuskan kepada mereka untuk mengajak beriman kepada Allah, sekalipun ajaran yang dibawa itu lebih baik dari ajaran yang ditinggalkan oleh datuk nenek moyang mereka terdahulu. Sifat-sifat kedegilan dan kejahilan hidup telah menguasai di setiap degup jantung mereka menyebabkan mereka tidak mahu menerima hakikat kebenaran untuk dihiasi di dalam orkestra kehidupan mereka.

1.4. Tunduk Dan Patuh Kepada Kalimah Tersebut
Setiap muslim yang melapazkan kalimah LAA ILAHA ILLALLAH ini hendaklah mematuhi dan tunduk kepada kalimah tersebut serta menyerah diri semata-mata hanya kepada Allah Ta'ala sahaja, tidak kepada yang lain. Dia hendaklah memahami erti kepatuhan dan ketaatan yang dikehendaki dalam kalimah tersebut yang meliputi semua bentuk, semua aspek dan semua perkara sama ada berkaitan dengan urusan ibadat atau muamalat atau lain-lain. Dia hendaklah mengembalikan seluruh hakikat kehidupan yang dikandung oleh dirinya ke pangkuan Tuhan, supaya dia nanti akan mendapat rahmat dari Tuhannya.

Firman Allah Ta'ala:

وَمَنْ يُسْلِمْ وَجْهَهُ إِلَى الله وَهُوَ مُحْسِنٌ فَقَدِ اسْتَمْسَكَ بِالْعُرْوَةِ الْوُثْقَىٰ ۗ وَإِلَى الله عَاقِبَةُ الأمُورِ

Maksudnya: " Dan sesiapa yang menyerah diri kepada Allah serta berbuat kebaikan, sesungguhnya dia telah berpegang teguh dengan simpulan tali yang kukuh, hanya kepada Allah kesudahan segala urusan " (Luqman: 22).

Pengakuan LAA ILAHA ILLALLAH tidak akan tertegak di dalam diri manusia selagi dia tidak menyerah diri kepada Allah dalam setiap urusan dan lapangan hidup, pengakuan itu tidak memberi apa-apa kesan dalam dirinya dan tidak pula membuahkan apa-apa hasil yang baik untuk dipetik bagi makanan rohaninya, pengakuan itu hanya terucap di celah-celah bibirnya sahaja dan tidak terus mengalir ke dalam hati, bagaikan seorang tua yang batuk lalu meludahkan kahaknya ke bumi. Pengakuan sebegini tidak mengandungi apa-apa pengertian dalam persoalan ‘aqidah, pengakuan ini juga tidak akan menjamin dirinya untuk mendapatkan kebahagiaan di dunia dan di akhirat, kerana dia bukan seorang yang patuh dan tunduk kepada kalimah tersebut dan dia bukan seorang yang beriman kepada  Allah, pengakuan itu hanyalah mainan sahaja atau skrip lakonan ataupun kerana dia terlatah lalu terucap kalimah tersebut.

Firman Allah Ta'ala:

وَمَنْ أَحْسَنُ دِينًا مِمَّنْ أَسْلَمَ وَجْهَهُ لِلَّهِ وَهُوَ مُحْسِنٌ

Maksudnya: " Siapakah yang lebih baik agamanya selain dari orang-orang yang menyerah diri kepada Allah dalam keadaan dia berbuat kebaikan " (An Nisa: 125).

1.5. Membenarkan Kalimah Tersebut
Setiap muslim yang mengucap kalimah LAA ILAHA ILLALLAH ini hendaklah membenarkan kalimah tersebut di dalam hati sanubari dan jiwa nuraninya dan sekaligus dia hendaklah menolak segala rupa bentuk aksi pendustaan atau penipuan atau sifat-sifat yang cenderung ke arah itu di dalam perasaan dirinya, kerana perbuatan tersebut akan memusnahkan simpulan tali ‘aqidah dan pegangan hidupnya terhadap Allah.

Firman Allah Ta'ala:

الم أَحَسِبَ النَّاسُ أَنْ يُتْرَكُوا أَنْ يَقُولُوا آمَنَّا وَهُمْ لاَ يُفْتَنُونَ وَلَقَدْ فَتَنَّا الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ ۖ فَلَيَعْلَمَنَّ اللَّهُ الَّذِينَ صَدَقُوا وَلَيَعْلَمَنَّ الْكَاذِبِينَ

Maksudnya: " Alif, lam, mim. Adakah manusia itu menyangka dibiarkan begitu sahaja berkata: Kami beriman! Sedangkan mereka tidak diuji dengan cubaan? Sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu dari kamu dan di kala itu Allah mengetahui orang-orang yang benar-benar beriman kepadaNya dan orang-orang yang dusta " (Al Ankabut: 1-3).

Adakalanya hati manusia telah dikuasai oleh bujukkan hawa nafsu yang sentiasa bermain-main di celah-celah perasaan, lalu dia tidak dapat menerima hakikat kebenaran yang terkandung di dalam kalimah LAA ILAHA ILLALLAH. Adakalanya hati itu telah dikuasai oleh pengaruh teman yang jahil tentang hakikat ketuhanan, lalu dia membicarakan persoalan ketuhanan ini di tepi-tepi jalan dan di kedai-kedai kopi dalam keadaan main-main sambil gelak ketawa dan dalam suasana yang tidak bersifat ilmiyyah. Keadaan ini akan mencetuskan suatu conclusion yang buruk dan boleh merosakkan ‘aqidah anggota masyarakat tentang kefahaman mereka terhadap persoalan ketuhanan. Kalaulah dia membicarakan persoalan ketuhanan ini secara main-main, nescaya penerimaannya juga secara main-main, lama-kelamaan dia menganggap persoalan ketuhanan itu sebagai suatu perkara yang tidak penting dan tidak sesuai untuk dibicarakan lagi. Lantas dia tidak dapat lagi membenarkan kalimah LAA ILAHA ILLALLAH ke dalam hatinya.

Sabda Rasulullah s.a.w.

مَا مِنْ أَحَدٍ يَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ الله وَأَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ صِدْقًا مِنْ قَلْبِهِ إِلاَّ حَرَّمَهُ اللهُ عَلَى النَّارِ

Maksudnya: " Sesiapa yang menyaksikan: Tiada Tuhan melainkan Allah, Muhammad sebagai hambaNya dan RasulNya dengan membenarkan di dalam hati, melainkan Allah mengharamkan neraka ke atasnya " (Riwayat Bukhari).

Berkata Ibn Qayyim: Pengakuan LAA ILAHA ILLALLAH ini mestilah diikrar dengan sebuah kepatuhan terhadap hak-hak Allah, kerana di dalam kalimah tersebut merangkumi  seluruh  syari'at  Islam. Bererti,  pengakuan ini sekaligus membenarkan apa yang terkandung di dalam ajaran Islam dan meletakkan ajaran Islam itu mengatasi ajaran-ajaran lain yang ada di atas dunia ini.



Sekian, wassalam

Al Faqir Ila ‘Afwi Rabb
Lutpi Mustafa El-Batnani

No comments:

Post a Comment