PENGUASAAN ISTIQOMAH DALAM KEHIDUPAN

Friday 15 July 2011

CAHAYA LAA ILAHA ILLALLAH DAN MUHAMMADUR RASULULLAH (SIRI PERTAMA)



Ianya merupakan suatu manhaj hidup yang memberi kekuatan kepada umat Islam sejagat. LAA ILAHA ILLALLAH ini dapat mencetuskan perasaan gerun dan takut ke dalam diri yang inginkan kesegaran hidup di dunia dan di akhirat, iaitu suatu perasaan yang tidak dapat digambarkan betapa ni’matnya pengakuan LAA ILAHA ILLALLAH itu apabila ia menjelma di dalam hati, perasaan itu  tidak dapat diukir pada senyuman mulut, perasaan itu juga tidak dapat dilukis sama sekali di atas kertas untuk tatapan mata dan perasaan yang syahdu itu pula tidak sekali-kali dapat dipahat pada kayu atau batu.  Kerana, pengakuan ini akan memberi kekuatan kepada setiap diri yang melapazkannya, kekuatan roh dan jasadnya sekali, spritual atau fizikal, justeru pengakuan ini juga dapat menambahkan keyakinan hidup untuk membina generasi yang akan datang. Kekuatan umat manusia seluruhnya bergantung erat kepada kekuatan tali keimanan terhadap ILAHI, kekuatan yang membezakan di antara manusia yang beriman dengan manusia kufur, manusia Islam dengan manusia jahiliyah. Kekuatan iman mereka itu terletak kepada penghayatan hidup terhadap pengakuan ikrar pada kalimah LAA ILAHA ILLALLAH yang meletakkan keagungan ILAHI itu meliputi segala-galanya, keagungan mencipta alam ini, keagungan mentadbir segala peredaran dan perjalanan cakerawala. Pengakuan ikrar ini bererti mewujudkan keesaan yang mutlak di dalam hati sanubari dan jiwa nurani tanpa ada sedikitpun perasaan ragu-ragu dan syak wasangka terhadapNya dan juga terhadap kekuasaanNya.

Firman Allah Ta'ala:
ومَا خَلَقْتُ الْجِنَّ والإنْسَ الاَّ لِيِعْبُدوْن
Maksudnya: " Tidaklah Aku jadikan manusia dan jin melainkan supaya mengabdikan diri kepada Aku " (Ad Zariyat: 56).

Pengakuan ikrar ini juga merupakan hak seorang hamba terhadap ILAHI, sebagaimana yang diriwayatkan di dalam sepotong hadith:
فَإِنَّ حَقَّ اللَّهِ عَلَى الْعِبَادِ أَنْ يَعْبُدُوْهُ وَلاَ يُشْرِكُوْا بِهِ شَيْئًا وَحَقَّ الْعِبَادِ عَلَى اللَّهِ أَنْ لاَ يُعَذِّبَ مَنْ لاَ يُشْرِكُ بِهِ
Maksudnya: " Sesungguhnya hak hamba terhadap Allah ialah mengabdikan diri kepadaNya dan tidak menyekutukanNya dengan sesuatupun, manakala hak Allah terhadap hambaNya ialah tidak menyiksa orang yang tidak menyekutukanNya dengan sesesuatu "  (Riwayat Bukhari dan Muslim).

MAKNA LAA ILAHA ILLALLAH
Perkataan LAA ILAHA ILLALLAH ini muncul ke dalam jiwa seseorang apabila dia melapazkan melalui lidahnya yang tidak bertulang, perkataan itu akan mengalir sedikit demi sedikit melalui aliran darah manusia dan akhirnya ia akan meresap ke dalam daging dan ke seluruh anggota badan termasuk organnya sekali. Di waktu itu dia akan merasa keni’matan hidup dan merasa kesegarannya untuk memberi kekuatan pada dirinya melangkah membina kehidupan. Perkataan LAA ILAHA ILLALLAH membawa maksud: Tiada Tuhan yang sebenar-benar melainkan Allah. Walaupun perkataan ini ringkas dan simple, hanya satu rangkap dan satu ucapan, tidak sampaipun satu minit untuk melapazkannya, tetapi ianya sudah cukup untuk meletakkan seseorang itu menjadi muslim dan layak untuk mendapat lingkaran rahmatNya. Pengakuan dan ikrar tersebut telah meletakkan hanya Allah Ta'ala sahaja sebagai Tuhan yang layak diabdikan oleh setiap manusia dan Dia berkuasa mengurus dan mentadbir segala putaran alam ini. Pengakuan dan ikrar ini juga sekaligus menafikan tuhan-tuhan yang lain selain dari Allah, sama ada berbentuk penyembahan, penyekutuan, pendewaan, pemujaan dan perkauman. Ianya juga menafikan ketuhanan yang lain, sama ada dari sudut uluhiyyahnya atau rabubiyyahnya. Pengakuan LAA ILAHA ILLALLAH ini mestilah disertai dengan pengakuan yang kedua, iaitu pengakuan MUHAMMADUR RASULULLAH sebagai syarat sahnya Islam dan iman seseorang muslim, tanpa kedua-dua pengakuan ini, Islam dan iman seseorang itu tidak diterima sama sekali oleh Allah Ta'ala.


Sekian, wassalam

Al Faqir Ila ‘Afwi Rabb
Lutpi Mustafa El-Batnani

No comments:

Post a Comment