PENGUASAAN ISTIQOMAH DALAM KEHIDUPAN

Tuesday 19 July 2011

MUHAMMAD SEBAGAI IKUTAN DALAM ZUHUD

 

Kehidupan Muhammad s.a.w. tidak sama jika hendak dibandingkan dengan pemimpin-pemimpin umat manusia lain yang ada di atas dunia ini, mereka hidup dipenuhi dengan harta kekayaan dan kemewahan, yang tinggal di dalam istana dan membina mahligai yang indah-indah dan dikelilingi oleh wanita-wanita yang cantik jelita sebagai seri penghibur. Tetapi, baginda tidak memilih jalan kekayaan itu sebagai supaya dasar dalam kehidupan, sekalipun baginda boleh berbuat demikian. Sebenarnya, kemewahan hidup itu adalah bersifat sementara waktu sahaja sebelum ketibaan maut yang datang menjelma.


 Di sana Allah Ta'ala telah berfirman:


لا تَمُدَّنَّ عَيْنَيْكَ إِلَىٰ مَا مَتَّعْنَا بِهِ أَزْوَاجًا مِنْهُمْ ولا تَحْزَنْ عَلَيْهِمْ

 

Maksudnya: " Dan jangan kamu memanjangkan pandangan mu kepada kesenangan yang Kami berikan kepada beberapa golongan di kalangan mereka dan janganlah kamu merasa sedih terhadap mereka " ( Al Hijr: 88).

 

 

Sikap zuhud baginda s.a.w. telah digambarkan di dalam sepotong hadith, sebagaimana yang telah diriwayatkan oleh Abdullah bin Mas'ud r.a.

 

دَخَلْتُ عَلَى رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَقَدْ قَامَ عَلَى حَصِيْرٍ، وَقَدْ أَثَّرَ فِىْ جَنْبِهِ الشَّرِيْفِ، فَقُلْتُ: يَارَسُوْلَ الله! لَوِ اتَّخَذْنَا لَكَ وِطَاءً نَجْعَلُهُ بَيْنَكَ وَبَيْنَ اْلحَصِيْرِ يَقِيْكَ مِنْهُ! فَقَالَ: مَالِى وَلِـلدُّنْيَا مَا أَنَا وَالدُّنْيَا إِلاَّ كَرَاكِبٍ اسْتَظَلَّ تَحْتَ شَجَرَةٍ ثُمَّ رَاحَ وَتَرَكَهَا

 

Maksudnya: " Saya telah datang berjumpa Rasulullah s.a.w. dan ketika itu baginda sedang berbaring di atas sebidang tikar (yang diperbuat dari daun kurma) yang memberi kesan pada bahagian belakang baginda yang mulia itu, maka akupun berkata: Wahai Rasulullah! Apa kata sekiranya kita buatkan suatu bantal yang diletakkan antara kamu dan tikar itu, supaya tidak lagi memberi kesan belakang mu! Maka baginda bersabda: Apalah aku dan dunia ini! Tidaklah aku dan dunia ini melainkan seperti seorang pengembara yang berhenti berteduh sejenak di bawah pohon, kemudian itu dia meneruskan perjalanan ".


Di dalam sepotong hadith yang lain, Anas bin Malik r.a. telah meriwayatkan:


دَخَلْتُ عَلَى رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُوَ عَلَى سَرِيْرٍ مُضْطَجِعٍ مُزَمِّلٍ بِشَرِيْطٍ وَتَحْتَ رَأْسِهِ وَسَادَةِ مِنْ أَدَمٍ حَشُوْهَا لِـيْف فَدَخَلَ عَلَيْهِ نَفَرٌ مِنَ الصَّحَابَةِ وَدَخَلَ عُمَرَ، فَانَحَرَفَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ انْحِرَافَةً، فَلَمْ يَرَى عُمَرَ بَيْنَ جَنْبِهِ وَبَيْنَ الشَّرِيْطِ ثَوْبًا وَقَدْ أَثَرَ بِجَنْبِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَبَـكَى عُمَرَ، فَقَالَ لَهُ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلّم: مَا يَبْكِيْكَ يَا عُمَرَ؟ قَالَ: وَاللهِ مَا أَبْكِى إِلاَّ لِكَوْنِى أَعْلَمُ أَنَّكَ أَكْرَمُ عَلَى رَبِّكَ مِنْ كَسْرٍ وَقَيْصَر وَيَعِيْشَانِ فِىْ الدُّنْيَّا فِيْمَا يَعِيْشِانِ فِيْهِ وَأَنْتَ يَا رَسُوْلَ اللهِ فِى اْلمَكَانِ الَّذِى أَرَى، فَقَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلّى اللهُ عَلَيْه وَسَلَّمَ: أَمَّا تَرْضى أَنْ تَكُوْنَ لَهُمُ الدُنْيِّا وَلَنَا اْلآخِرَة؟ قَالَ: بَلَى، قَالَ: فَإِنَّهُ كَذَلِكَ

 

Maksudnya: " Aku berjumpa Rasulullah s.a.w. dan ketika itu baginda berada di atas katil sambil berbaring dan di bawah kepalanya terdapat bantal yang diperbuat daripada sabut, beberapa orang sahabat datang berjumpa baginda dan kemudian datang pula Umar r.a. lalu baginda bangun memberi ruang kepada Umar r.a. untuk duduk. Ketika itu Umar r.a. melihat baginda tanpa alas kain menutup belakang tubuhnya dan jelas kelihatan kesan-kesan pada belakang baginda s.a.w. Melihat keadaan itu, Umar r.a. menangis, lalu Rasulullah s.a.w. bertanya: Apakah yang menyebabkan kamu menangis wahai Umar? Dia menjawab: Demi Allah! Tidaklah aku menangis melainkan keadaan ku ini dan aku mengetahui bahawa kamu lebih mulia di sisi Tuhan mu dari Maharaja Kisra dan Kaisar yang hidup dengan penuh kemewahan dunia dan kamu wahai Rasulullah hidup dalam keadaan yang apa aku lihat, maka Rasulullah s.a.w. bersabda: Tidakkah kamu redha wahai Umar? Mereka memiliki dunia dan kita memiliki akhirat, lalu Umar berkata: Bahkan wahai Rasulullah! Kemudian Rasulullah s.a.w. meneruskan sabdanya: Sesungguhnya kamu demikian juga "(Riwayat Imam Ahmad).

 

 

Apabila kemuliaan diri benar-benar berada di puncak yang tinggi, menguasai segala impian dan harapan, membina tamadun keagungan dan kesejahteraan, mencari belaian kasih sayang dan keredhaan Tuhan, menuntut ikatan keimanan dan ketundukkan, menagih secebis kerinduan dan seteguk kecintaan dan apabila keimanan itu mula mendakap erat dan mula mendapat tempat di sudut hati sanubari dan jiwa nurani dan apabila terlerai sudah cengkaman hawa nafsu dan kejahilan diri, maka segala-galanya akan dipersembahkan ke hadapan ILAHI dan diserahkan bulat-bulat kepadaNya. Hati kecil ini akan berkata: Bahawa sebenarnya harta benda dan kemewahan hidup ada pinjaman sementara waktu sahaja dan kehidupan itu pula merupakan perjalanan untuk menunggu hari esok sementara menunggu hari perpisahan di antara roh dan jasad. Mengapa Muhammad s.a.w. memilih jalan sedemikian rupa dalam kehidupannya? Adakah baginda sukakan kemiskinan dan bencikan kekayaan? Kalau demikian, mengapa baginda tidak melarang menantunya Uthman bin Affan r.a. daripada memiliki harta kekayaan? Kenapa baginda tidak melarang sahaja Abdul Rahman bin Auf dan sahabat-sahabat yang lain daripada terus memiliki harta kekayaan? Di sana terdapat beberapa fakta yang dapat diambil untuk dijadikan pengajaran mengapa Rasulullah s.a.w. memilih jalan zuhud sebagai penghayatan hidupnya:


PERTAMA: Baginda mahu mendidik generasi Islam dengan nilai kezuhudan supaya mereka mengerti dan faham makna tolong-menolong dan maksud bantu-membantu terhadap orang-orang yang memerlukan dan melebihkan orang lain dari diri sendiri. Ini bukan bererti baginda s.a.w. menolak terus kekayaan.


 

Firman Allah Ta'ala:

 

وَالَّذِينَ تَبَوَّءُوا الدَّارَ وَالإِيمَانَ مِنْ قَبْلِهِمْ يُحِبُّونَ مَنْ هَاجَرَ إِلَيْهِمْ وَلاَ يَجِدُونَ فِي صُدُورِهِمْ حَاجَةً مِمَّا أُوتُوا وَيُؤْثِرُونَ عَلَىٰ أَنْفُسِهِمْ وَلَوْ كَانَ بِهِمْ خَصَاصَةٌ ۚ


Maksudnya: " Dan bagi orang-orang yang telah menetap di Kota Madinah dan beriman, mereka mencintai orang-orang yang berhijrah kepada mereka dan mereka tidak sedikitpun menaruh keinginan dalam hati mereka terhadap apa-apa yang diberikan kepada mereka (yang berhijrah), sekalipun mereka berada dalam kesusahan " (Al Hasr: 9).

KEDUA:  Baginda mahu mendidik generasi Islam supaya sanggup hidup dalam keadaan serba sederhana, tidak bersifat tamak-haloba mengejar kebendaan dan kemewahan hidup, tidak pula berlumba-lumba mengumpulkan harta kekayaan, kerana itu semua boleh melalaikan manusia daripada menunaikan tanggungjawab dalam urusan agama. Harta yang melimpah-ruah boleh menyebabkan manusia buta segala-galanya terhadap kefardhuan yang dituntut ke atasnya.

Firman Allah Ta'ala:

وَمَا هَٰذِهِ الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلاّ لَهْوٌ وَلَعِبٌ ۚ وَإِنَّ الدَّارَ الآخِرَةَ لَهِيَ الْحَيَوَانُ ۚ لَوْ كَانُوا يَعْلَمُونَ

Maksudnya: "  Dan tidaklah kehidupan dunia itu melainkan sia-sia dan permainan belaka, sesungguhnya negeri akhirat itu ialah kehidupan (yang sebenar) sekiranya mereka mengetahui " (Al 'Ankabut: 64).

KETIGA: Baginda mahu mendidik generasi Islam supaya hidup dalam keadaan sederhana dalam semua aspek kehidupan, tidak melampaui batas-batas yang telah ditetapkan oleh Islam dan tidak pula mengurangi batas-batas tersebut. Baginda mahu supaya generasi Islam merasa cukup dengan rezeki yang ada dan memadai dengan apa yang diperolehinya, justeru kuatkan tawakkal kepada Allah.

 

Firman Allah Ta'ala:


وَكَذَٰلِكَ جَعَلْنَاكُمْ أُمَّةً وَسَطًا لِتَكُونُوا شُهَدَاءَ عَلَى النَّاسِ وَيَكُونَ الرَّسُولُ عَلَيْكُمْ شَهِيدًا ۗ

Maksudnya: " Demikianlah Kami jadikan kamu umat yang pertengahan supaya kamu menjadi saksi kepada manusia, manakala Rasul pula menjadi saksi kepada kamu " (Al Baqarah: 143).


KEEMPAT: Baginda mahu memberi kefahaman kepada musuh-musuh Islam, sama ada orang-orang kafir atau orang-orang munafiq bahawa perjuangannya itu bukanlah bertujuan untuk mengumpulkan harta kekayaan atau mahukan kesenangan hidup yang sementara atau inginkan keni'matan yang hanya seketika. Baginda tidak mahu dunia ini dipancing di atas nama agama. Baginda tidak pernah mencari kedudukan di dalam masyarakat mempergunakan nama Islam atau mengumpulkan harta kekayaan dan kemewahan hidup di atas nama Islam, sebaliknya baginda menjadikan Islam itu sebagai saluran dan sasaran untuk menyeru manusia kepada Allah.


Cuba kita renungkan firman Allah Ta'ala ini:

 


وَيَا قَوْمِ لا أَسْأَلُكُمْ عَلَيْهِ مَالاً ۖ إِنْ أَجْرِيَ إلاّ عَلَى اللَّهِ ۚ

 

 Maksudnya: " Wahai kaum ku! Aku tidak pernah meminta dari kamu harta kekayaan kerana ganjaran ku hanyalah kepada Allah " (Hud: 29).



Sekian, wassalam.



Al Faqir Ila ‘Afwi Rabb
Lutpi Mustafa El-Batnani

No comments:

Post a Comment