Rukun bai’ah yang kelapan ialah tidak bertabarruj, iaitu tidak
berdandan atau berhias atau besolek sepertimana yang dilakukan oleh wanita jahiliyah
dahulu kala.
Firman Allah Ta’ala:
وَقَرْنَ فِي
بُيُوتِكُنَّ ولاَ تَبَرَّجْنَ تَبَرُّجَ الْجَاهِلِيَّةِ الأولَىٰ
Maksudnya: “ Tetaplah kamu di rumah mu dan janganlah kamu
bertabarruj sebagaimana tabarruj jahiliyah yang pertama dulu “(Al Ahzab: 33).
Sesungguhnya tabarruj yang dilakukan oleh
wanita jahiliyah dahulu kala ialah mengenakan dandanan atau solekan pada wajah
mereka dengan bahan-bahan kosmetik dan disertakan pula dengan pelbagai
perhiasan pada anggota tubuh badan mereka, di samping berpakaian yang menjolok
mata dan menghairahkan, kemudian mempamirkan pula kecantikan diri yang
mengiurkan di hadapan kaum lelaki sehingga membangkitkan nafsu syahwat dan
kejantanan mereka. Ini adalah di antara cara-cara tabarruj yang dilakukan oleh
wanita jahiliyah purba kala dan cara tersebut telah mengalir ke dalam
masyarakat kita sekarang. Ini bererti, jahiliyah itu berada di mana-mana
sahaja, bukan sahaja di zaman purba kala, bahkan di zaman moden yang serba
canggih, jahiliyah telah datang menjelma ke dalam masyarakat kita dengan bentuk
dan aksi baru. Golongan wanita hari ini yang terdiri dalam kalangan kaum remaja
tidak segan silu mendedahkan aurat mereka dengan berpakaian yang tidak
melambangkan ciri-ciri sebagai seorang wanita Islam. Mereka juga mengenakan
solekan yang tiada kena-mengena dengan kehidupan, untuk apa dan untuk siapa
solekan pada wajah dan anggota tubuh badan mereka dipamirkan, sambil memakai
pakain yang menjolok mata..!
Tidak lain dan tidak bukan, ianya dipamirkan
untuk diperlihatkan kepada kaum lelaki dan perkara inilah yang diharamkan
kepada kaum wanita bagi mengelakkan diri mereka daripada perkara-perkara yang
tidak diingini. Segala rupa bentuk alat perhiasan yang
terdiri dari emas, perak dan pelbagai batu permata serta ratna mutu manikan
hanya dibenarkan ketika berada di dalam rumah. Kecantikan wajah dan tubuh badan
setiap wanita adalah untuk tatapan mata suaminya sahaja. Segala solekan yang
dikenakan dan pakaian yang mendedahkan hanya untuk ramuan mata si suaminya yang
tercinta, bukan untuk orang lain….!
1. Takrif Tabarruj
Sebagaimana yang telah
dijelaskan di dalam ayat di atas tadi, bahawa ayat tersebut telah memberi garis
panduan kepada setiap wanita untuk menghiaskan diri, lebih-lebih lagi mereka
yang ingin menempatkan diri ke dalam gerakan Islam atau jama’ah Islam.
Benarlah firman Allah
Ta’ala:
وَقَرْنَ
فِي بُيُوتِكُنَّ ولاَ تَبَرَّجْنَ تَبَرُّجَ الْجَاهِلِيَّةِ الأولَىٰ
Maksudnya: “ Tetaplah
kamu di rumah mu dan janganlah kamu bertabarruj sebagaimana tabarruj jahiliyah
yang pertama dulu “(Al Ahzab: 33).
Tabarruj ertinya berdandan atau bersolek menghiaskan diri pada
tubuh badan supaya kelihatan cantik. Di
dalam ayat ini, Allah Ta’ala melarang wanita Islam supaya jangan berdandan
ataupun bersolek sebagaimana yang dilakukan oleh kaum wanita jahiliyah yang
pertama dahulu. Mengapa Allah Ta’ala menyebut: ‘ Jahiliyah pertama dahulu..?’
Seolah-olah adanya jahiliyah kedua atau ketiga atau seterusnya…!
Fahamilah betul-betul maksud firman Allah itu, kerana jahiliyah
akan datang menjelma setiap kali manusia engkar arahan TuhanNya atau
meninggalkan ajaranNya atau manusia membelakangkan ajaran dari Tuhannya atau
manusia tidak lagi beramal dengan ajaran yang diturunkan oleh Tuhannya. Maka jahiliyah
itu sudah pasti akan menjadi pengganti untuk meresap masuk ke dalam degup
jantung hatinya. Jahiliyah itu akan muncul buat kali kedua selepas jahiliyah
yang bertama dahulu, tetapi kemunculannya lebih bersifat moderen dan
tersusun dengan aksi dan lagak serta budaya yang diiktiraf oleh masyarakat,
bahkan ianya menjadi perhatian untuk tarikan masyarakat dunia moden.
Adakalanya, wanita moden hari ini disolek dan dihias bertujuan untuk melariskan
jualan alat kosmetik di samping untuk menarik perhatian kaum lelaki supaya
berada di sampingnya. Akhirnya mereka menjadi wanita murahan yang tidak lagi mempunyai
maruah dan harga diri, kerana dibawa oleh setiap lelaki yang ingin mendampingi
dirinya, walaupun dibayar dengan wang ringgit yang tinggi, tetapi hakikatnya
mereka telah meruntuhkan nilai dan martabat kewanitaan yang ada pada dirinya. Islam
awal-awal lagi menentang sekeras-kerasnya cara yang dilakukan ke atas wanita
sebegini rupa, kerana wanita telah dijadikan alat dan bahan tarikan untuk
sesuatu tujuan. Ini adalah suatu penghinaan yang sungguh kejam dan sungguh
tidak bermoral. Wanita telah digoda maruah hidupnya dan diperdagangkan dengan
sebegitu rupa untuk beberapa kepentingan duniawi yang bersifat sementara.
1.1.
Perbahasan Ulama Tentang Tabarruj
Tabarruj dapatlah
dirumuskan sebagai: Wanita yang memperlihatkan perhiasan dan kecantikan dirinya
kepada lelaki. Para mufassirin telah mentakrifkan makna dan pengertian tabarruj
sebagai berkata:
Pertama: Berkata Mujahid, salah seorang ulama tafsir
yang terkenal tentang makna tabarruj, iaitu: Wanita yang keluar rumah dan
berjalan di hadapan lelaki.
Kedua: Berkata pula Qatadah: Tabarruj ialah wanita
yang berjalan dalam keadaan mendedahkan aurat, sambil memperlihatkan jelingan
manja dan mengenyit mata.
Ketiga: Berkata Maqatil bin Hayyan: Tabarruj ialah
setiap wanita yang membuka kain tudungnya sehingga menampakkan kepala dan
memperlihatkan rantai perhiasannya, anting-antingnya sehingga menampakkan
tengkoknya dan lain-lain anggota.
Keempat: Berkata Abu ‘Ubaidah: Tabarruj ialah wanita
yang keluar dengan aksi kecantikannya dan memikat syahwat lelaki apabila
melihatnya.
Daripada apa yang dinyatakan oleh para ulama itu dapatlah kita
simpulkan bahawa pengertian tabarruj ini amat luas, iaitu wanita yang keluar
dengan memperlihatkan kecantikan dirinya kepada kaum lelaki dan mengenakan
perhiasan pada tubuh badannya serta pakaian yang mendedahkan aurat, di samping
lagak atau gayanya cuba mengoda dan memikat keinginan lelaki terhadap dirinya.
Perkara ini telah dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w. di dalam sepotong hadith
tentang sifat dan tabiat wanita yang suka menghiaskan diri tanpa mengikut
syari’at yang telah ditetapkan.
Sabda Rasulullah s.a.w.
صِنْفَانِ مِنْ أَهْلِ النَّارِ لَمْ أَرَهُمَا: قَوْمٌ مَعَهُمْ
سِيَاطٌ كَأَذْنَابِ اْلبَقَرِ يَضْرِبُوْنَ بِهَا النَّاسَ وَنِسَآءٌ كَاسِيَاتٌ
عَارِيَاتٌ مُمِيْلاَتٌ مَائِلاَتٌ رُئُوْسَهُنَّ كَأَسْنِمَةِ اْلبُحْتِ
اْلمَائِلَةِ لاَ يَدْخُلْنَ اْلجَنَّةَ وَلاَ يَجِدْنَ رِيْحَهَا وَإِنَّ
رِيْحَهَا لَيُوْجَدُ مِنْ مَسِيْرَةِ كَذَا وَكَذَا
Maksudnya: “ Dua
golongan ahli neraka yang aku belum pernah melihatnya iaitu: Kaum yang membawa
cemeti seperti ekor lembu yang dipukul kepada manusia dan wanita yang berpakaian
telanjang berjalan berlenggang-lenggok, sanggulnya seperti bonggol unta yang
gila, mereka tidak akan masuk syurga, bahkan tidak akan mencium baunya, padahal
bau syurga akan tercium dari jarak perjalanan sejauh sekian-sekian. Di dalam
satu riwayat yang lain, bau syurga itu tercium sejauh lima ratus tahun
perjalanan”(Riwayat Muslim).
Firman Allah Ta’ala:
قُلْ
مَنْ حَرَّمَ زِينَةَ الله الَّتِي أَخْرَجَ لِعِبَادِهِ
Maksudnya: “
Katakanlah! Siapakah yang mengharamkan perhiasan Allah untuk keluar menunaikan
ibadat kepadaNya“(Al A’raf: 32).
Apa yang hendak dimaksudnya dengan perhiasan di sini ialah pakaian
dan tiap-tiap apa mencantikkan dengannya. Ianya juga dapat dimaksudkan segala
rupa bentuk alat-alat yang diguna-pakai untuk mengindahkan diri dan semua
perhiasan diharuskan oleh Islam kecuali terdapat dalil yang mengharamkannya.
2.1. Hukum Perhiasan Bagi Wanita
Islam mengharuskan
perhiasan bagi manusia, lebih-lebih lagi bagi seseorang wanita yang menggunakan
pelbagai peralatan untuk berhias yang sesuai dengannya dan syarak tidak pernah
menegah atau mencegah tentang perkara ini melainkan di sana terdapat dalil-dalil yang menunjukkan haram penggunakan
peralatan tersebut.
2.1.1. Perhiasan Sutera, Emas Dan Perak
Islam mengharuskan bagi
seseorang wanita menggunakan perhiasan yang terdiri dari pakaian sutera,
perhiasan yang diperbuat dari emas dan juga perak.
Sabda Rasulullah s.a.w.
حُرِّمَ لِبَاسُ الْحَرِيْرِ وَالذَّهَبِ عَلَى ذُكُوْرِ أُمَّتِىْ
وَأُحِلَّ لإِنَاثِهِمْ
Maksudnya: “
Diharamkan pakaian sutera dan emas bagi lelaki dalam kalangan ummat ku, tetapi dihalalkan
bagi wanita mereka “(Riwayat At Tirmizi).
Begitu juga dengan
perhiasan-perhiasan yang lain seperti batu-batu permata, di antaranya ialah
seperti batu nilam, yaqub, zamrud, akib dan juga mutiara serta lain-lain.
Semua ini adalah perhiasan yang diharuskan oleh Islam kepada wanita.
2.1.2. Celak Mata
Islam mengharuskan
memakai celak bagi kedua-dua bibir mata, kerana ianya boleh menyembuh penyakit
mata dan menerangkan penglihatan, kecuali ketika memakai ihram hukumnya adalah
makruh.
Sabda Rasulullah s.a.w.
خير أكحالكم الإثمد يجلو البصر وينبت الشعر
Maksudnya: “
Sebaik-baik celak kamu ialah dari jenis al ithmad (celak batu) ianya dapat
memulihkan mata dan menyuburkan rambut “(Riwayat At Tirmizi).
Sabda Rasulullah s.a.w.
من اكتحل فليوتر من فعل فقد أحسن ومن لا فلا حرج
Maksudnya: “ Sesiapa
yang mengenakan celak mata hendaklah digunakan secara witir, sesiapa yang
melakukannya, maka itulah sebaik-baiknya dan sesiapa yang tidak melakukannya,
tidak mengapa “(Riwayat Ibn Majah).
2.1.3. Mewarna Rambut
Dan Tangan
Berhubung dengan
mewarnakan rambut dengan warna hitam atau dengan inai, diharuskan bagi wanita
yang telah berkahwin, sama ada mengubah warna rambutnya atau ubannya dengan
pewarna yang sesuai dengan tabiat rambut, kerana perbuatan tersebut sebagai
suatu ‘rukhsah’ untuk mencantikkan pandangan kepada suaminya. Tetapi, mewarnakan rambut ini tidak
diharuskan kepada wanita yang belum kahwin kerana dikhuatiri fitnah. Di samping
itu juga, Islam mengharuskan bagi seseorang wanita menginai tangannya atau
kakinya untuk tujuan kecantikan. Perkara ini di jelaskan di dalam sepotong
hadith, bahawa Aisyah r.a. telah meriwayatkan:
وكان رسول الله صلى الله عليه وسلم يكره أن يرى المرأة ليس فى يدها
أثر حناء أو أثرخضاب
Maksudnya: “ Adalah
Rasulullah s.a.w. melarang wanita yang tiada pada tangannya kesan inai atau
warna “ (Riwayat Baihaqi).
Ini kerana perbuatan
tersebut boleh mencantikkan lagi seseorang wanita, lebih-lebih untuk suaminya
yang dikasihi.
2.1.4. Pemakaian Rambut
Palsu
Islam mengharamkan bagi
seseorang wanita memakai rambut palsu, lebih-lebih lagi mereka yang ingin
menghampirkan diri kepada Allah. Lagipun, penggunaan rambut palsu ini tidak
mendatang apa-apa manfaat kepada kecantikkan diri, melainkan ianya adalah palsu
semata-mata. Di sana terdapat sepotong hadith yang diriwayatkan oleh Abu
Hurairah r.a. menerangkan, bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda:
لَعَنَ اللهُ الْوَاصِلَةَ وَالْمُسْتَوْصِلَةَ وَالْوَاشِمَةَ
وَالْمُسْتَوْشِمَةَ
Maksudnya: “ Allah
melaknat orang yang memakai rambut palsu dan pembuatnya, juga melaknat orang
yang membuat tatu pada badannya dan pembuatnya “.
Islam mengharamkan
pemakaian rambut palsu kerana perbuatan tersebut tidak melambangkan ciri-ciri
wanita yang solehah. Lagipun, pemakaian rambut tersebut boleh mengundang bahaya
kepada kesihatan rambut asal.
2.1.5.
Mencabut Kening
Islam mengharamkan bagi
seseorang wanita yang belum berkahwin mencabut kening, kerana sabit di dalam
sepotong hadith yang diriwayatkan dari Ibn Mas’ud r.a. berkata:
لَعَنَ اللهُ الْوَاشِماتِ وَالْمُسْتَوْشِمَاتِ وَالْنَامِصَاتِ
وَالْمُتَنَمِّصَاتِ
Maksudnya: “ Allah
melaknat orang yang membuat tatu pada badannya dan pembuatnya, juga melaknat
orang yang mencukur kening dan pencukurnya “(Riwayat Muslim).
Akan tetapi, Islam mengharuskan bagi
wanita yang telah berkahwin menghiaskan diri dengan mencabut keningnya atau
mengukir keningnya agar kelihatan cantik semata-mata untuk suaminya tercinta.
2.1.6.
Wangi-Wangian
Diharamkan sama sekali
bagi wanita memakai bau-bauan atau wangi-wangian atau apa sahaja haruman ketika
keluar rumah, kerana perbuatan tersebut boleh merangsangkan setiap lelaki yang
mencium baunya.
Sabda Rasulullah s.a.w.
إِنَّ اْلمَرْأَةَ إِذَا
اسْتَعْطَرَتْ فَمَرَّتْ عَلَى اْلقَوْمِ لَيَجِدُوْا رِيْحَهَا فَهِىَ زَانِيَةٌ
Maksudnya: “
Sesungguhnya seseorang wanita apabila memakai bau-bauan, kemudian melalui di
hadapan kaum lelaki supaya mereka mencium baunya, maka ia adalah zina “(Riwayat
At Tirmizi).
Sabda Rasulullah s.a.w.
لا تقبل الصلاة لإمرأة
تطيب لهذا المسجد حتى ترجع فتغتسل غسلها من الجنابة
Maksudnya: “ Tidak
diterima solat bagi seseorang wanita yang memakai wangi-wangian ke masjid
sehingga dia pulang ke rumah dan mandi seperti mandi janabah “ (Riwayat Abu
Dawud).
Memakai wangi-wangian
itu boleh mendatangkan fitnah bagi kaum
wanita dan juga menimbulkan suatu perasaan inginkan sesuatu yang lebih dari itu
terhadap diri seseorang lelaki yang
menyebabkan berlakunya zina pada mata.
3. Pakaian Dan Fesyen
Setiap pakaian atau
fesyen yang hendak diperagakan oleh seseorang mestilah memenuhi garis panduan
yang telah disyari’atkan oleh Allah, bukan mengikut rentak atau perubahan
semasa. Sebenarnya, pakaian yang diguna-pakai bagi seseorang wanita adalah
untuk menutup auratnya, manakala fesyen pula ialah gaya atau reka bentuk
sesuatu pakaian yang dipakai. Bagi seseorang wanita, fesyen tersebut mestilah
sesuatu dipakai pada susuk tubuhnya yang menampakkan ciri-ciri atau sifat-sifat
sebagai seorang wanita dan fesyen itu pula mestilah sesuai pada tempatnya. Oleh
sebab itu, alangkah bagusnya seandainya seseorang wanita itu mengenakan pakaian
pada susuk tubuhnya yang bercirikan perwatakan wanita solehah dan tidak
mendedahkan aurat, manakala fesyen pakaian tersebut menampakkan ciri-ciri
keimanan sejati. Setiap wanita perlu mengetahui cara berpakaian menurut Islam
dan secara tidak langsung ianya akan menghapuskan pakaian atau fesyen yang
dibawa oleh pihak barat yang sememangnya mahu meruntuhkan akhlak dan moral
wanita Islam. Dengan cara berpakaian atau berfesyen menurut Islam, maka sudah
tentu amalan seperti ini akan menggambarkan ciri-ciri peradaban bagi seseorang
wanita dan menampakkan budaya sihat dalam masyarakat. Islam amat menjaga cara
berpakaian bagi kaum wanita, kerana sifat kewanitaaan bagi seseorang wanita boleh
mendatangkan fitnah dan boleh menjatuhkan maruahnya sendiri sekiranya berlaku
sesuatu perkara yang tidak diingini,
apatah lagi jika berpakaian mendedahkan aurat. Maka, sudah tentu fesyen dan
pakaian ini perlu dipakai mengikut adat
dan budaya masyarakat setempat sekiranya tidak bercanggah dengan
kehendak-kehendak syari’at dan tidak pula melibatkan pakaian dalam upacara
agama lain. Seandainya seseorang wanita memakai pakaian tanpa fesyen yang
sesuai dan tidak mengikut keadaan setempat, nanti akan menimbulkan fitnah dan
dipandang hina oleh orang-orang ramai. Selain daripada kain, sama ada diperbuat
daripada benang atau bulu, di sana terdapat pelbagai jenis pakaian yang
diharuskan bagi kegunaan wanita. Marilah kita perhatikan satu persatu fesyen
dan pakaian yang diharuskan oleh syarak:
3.1. Pakaian Dari Kulit
Diharuskan bagi setiap
wanita memakai pakaian yang diperbuat dari kulit haiwan yang dimakan dagingnya.
Adapun binatang yang tidak dimakan dagingnya hendaklah disamak kulitnya
terlebih dahulu, kerana Rasulullah s.a.w. pernah menyatakan:
أَيُمَا إِهَابٌ دُبِغَ فَقَدْ طَهُرَ
Maksudnya: “
Mana-mana kulit yang telah disamak, maka hukumnya adalah bersih “(Riwayat At
Tirmizi).
Kecuali kulit anjing
dan kulit babi, sekalipun dicuci dan disamak, kedua-duanya tetap najis kerana hukum asalnya adalah najis.
Adapun kulit binatang buas seperti kulit harimau adalah dilarang sama sekali,
kerana sabit di dalam hadith:
أَنَّ النَبى صلى الله عليه وسلَّم نَهَى عَنْ
جُلُوْدِ السِّبَاعِ
Maksudnya: “
Sesungguhnya Nabi s.a.w. melarang ummatnya menggunakan pakaian dari kulit
binatang buas “(Riwayat At Tirmizi dan Abu Dawud).
Sepotong hadith lain, yang
diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
لاَ تَصْحَبُ
الْمَلاَئِكَةُ رُفْقَةً فِيْهَا جِلْدُ نَمِر
Maksudnya: “ Malaikat tidak akan
menjadikan teman sesiapa yang memakai kulit harimau “ (Riwayat Abu Dawud).
3.2. Pakaian Sutera
Islam mengharuskan
kepada seseorang wanita memakai pakaian yang diperbuat dari sutera, tetapi
tidak kepada kaum lelaki. Setiap lelaki haram memakai pakaian dari kain sutera,
kerana pakaian tersebut hanya dikhususkan hanya untuk wanita sahaja.
Sabda Rasulullah s.a.w.
حُرِّمَ لِبَاسُ الْحَرِيْرِ وَالذَّهَبُ عَلَىْ ذُكُوْرِ أُمَّتِى
وَاُحِلَّ لإِنَاثِهِمْ
Maksudnya: “
Diharamkan pemakaian kain sutera dan emas bagi lelaki ummat ku dan dihalalkan
bagi wanita mereka “ (Riwayat At Tirmizi).
3.3. Pakaian Emas
Diharuskan bagi
seseorang wanita memakai pakaian yang diperbuat dari emas atau perak atau
pakaian yang dicampur di antara sutera dan emas. Perkara ini telah dijelaskan
oleh Sayyidina Ali bin Abu Talib, Karramallahu Wajha dengan katanya:
أَهَدَيْتُ لِرَسُوْلِ
الله صلَّى الله علَيه وسلَّم حِلَّةً سَيْرَاءِ فَبَعَثَ بِهَا إِلِىَّ
Maksudnya: “ Aku
telah memberi hadiah kepada baginda Rasulullah s.a.w. perhiasan saira yang
dikirim kepada ku “ (Riwayat Muslim).
Namun demikian, tidak diharuskan sama
sekali menggunakan peralatan emas dan perak selain dari pakaian seperti bekas
celak mata atau pinggan mangkuk,
gelas atau seumpamanya.
3.4. Pakaian Berwarna
Sesungguhnya asal
sesuatu pakaian itu adalah harus bagi setiap manusia, melainkan di sana
terdapat nas-nas yang melarang memakainya. Maka, memakai pakaian yang berwarna
adalah diharuskan oleh syari’at dan termasuk di dalam erti kata pakaian
berwarna ini ialah pakaian yang bercorak atau berbatik dengan pelbagai rupa
bentuk warna. Di sini dinyatakan beberapa potong hadith yang menyatakan tentang
warna-warna pakaian yang telah dipakai oleh Rasulullah s.a.w. Ibn. Abbas r.a.
telah meriwayatkan, bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda:
أَلْبَسُوْا
مِنْ ثِيَابِكُمُ الْبَيَاضَ فَإِنَّهَا مِنْ خَيْرِ ثِيَابِكُمْ وِكَفِّنُوْا
فِيْهَا مَوْتَاكُمْ
Maksudnya: “ Pakailah
pakaian berwarna putih, kerana ianya adalah sebaik-baik pakaian yang digunakan
untuk mengapan ketika kamu mati “. (Riwayat At Tirmizi dan Abu Dawud).
Al Barra bin ’Azib r.a. pernah berkata, bahawa dia pernah melihat
Rasulullah s.a.w. berpakaian dengan warna merah:
وَلَقَدْ رَأَيْتُهُ فِىْ حُلَّةٍ حَمْرَاءِ مَا رَأَيْتُ شَيْئًا
قَطُّ أَحْسَنَ مِنْهُ
Maksudnya: “ Sesungguhnya aku
melihat Nabi berpakaian merah dan aku belum pernah melihat baginda sebagus itu“
(Sepakat riwayat).
Manakala Abu Rimthah Rifaah At Taimiyyi
r.a. pula pernah berkata:
رَأَيْتُ رَسُوْلَ الله صلَّى الله علَيه وسلَّم وَعَلَيْهِ
ثَوْبَانِ أَخْضَرَانِ
Maksudnya: “ Aku
telah melihat Rasulullah s.a.w. memakai dua pakaian hijau “ (Riwayat At Tirmizi
dan Abu Dawud).
Jabir r.a. pernah
menceritakan, ketika bersama Rasulullah s.a.w. dalam peristiwa Fath Makkah,
katanya:
أَنَّ
رَسُوْلَ الله صلَّى الله علَيه وسلَّم دَخَلَ يَوْمَ فَتْحِ مَكَّةَ وَعَلَيْهِ
عِمَامَةٌ سَوْدَاءُ
Maksudnya: “ Ketika
Rasulullah s.a.w. masuk ke Mekah di hari Fath Makkah (pembukaan Kota Mekah) memakai
serban hitam“ (Riwayat Muslim).
Aisyah r.a. salah seorang isteri Rasulullah
s.a.w. yang amat dikasihinya pula telah meriwayatkan:
خَرَجَ رَسُوْلَ الله
صلَّى الله علَيه وسلَّم ذَاتَ غَدَاةٍ وَعَلَيْهِ مِرْطٌ مُرَحَّلٌ مِنْ شَعْرٍ
أَسْوَدَ
Maksudnya: “ Pada
suatu hari Rasulullah s.a.w. telah keluar dengan memakai kemul (iaitu kain yang
diletakkan pada bahunya) yang bergambar kenderaan dari bulu hitam “ (Riwayat
Muslim).
Daripada beberapa
potong hadith di atas, jelaslah kepada kita bahawa diharuskan memakai pakaian
yang berwarna atau bercorak atau berbatik atau seumpamanya yang memperlihatkan
warna-warni, sama ada ke atas lelaki atau wanita kerana ittiba’(iaitu
mengikut perbuatan Rasulullah s.a.w.).
3.5. Memakai Seluar
Islam telah mengharuskan
bagi seseorang wanita memakai seluar, sebagaimana yang dinyatakan di dalam
sepotong hadith yang diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi s.a.w.
telah bersabda:
رَحِمَ اللهُ الْمُتَسَرْوَلاَتِ مِنَ النِّسِاءِ
Maksudnya: “ Allah
memberi rahmat kepada mana-mana wanita yang memakai seluar “(Riwayat Al Hakim
dan Al Baihaqi).
Di dalam sepotong hadith yang lain, Ali
Karramallahu Wajha telah meriwayatkan, pada suatu hari beliau dan para sahabat
lain bersama-sama dengan Rasulullah s.a.w. di perkuburan Baqi’, tiba-tiba lalu
seorang wanita yang menunggang keldai memakai seluar. Para sahabat yang melihat
wanita itu bertanya tentang pakaian yang dipakai oleh wanita tersebut dan
kemudian baginda bersabda:
اللهم اغْفِرْ
لِلْمُتَسَرْوَلاَتِ مِنْ أُمَّتِى يَآ أَيُّهَا النَّاسُ اِتَّخِذُوْا
السَرَاوِيْلاَتِ فَإِنَّهَا مِنْ أَسْتَرِ ثِيِابِكُمْ وَحَصِّنُوْا بِهَا
نِسَائِكُمْ إِذَا خَرَجْنَ
Maksudnya: “ Wahai
Tuhan! Ampunkanlah bagi wanita yang memakai seluar dalam kalangan ummat ku,
wahai sekelian manusia! Ambillah seluar (sebagai pakaian kamu), kerana ianya
adalah sebahagian dari pakaian yang menutup aurat dan ianya juga dapat
memelihara kehormatan wanita kamu apabila mereka keluar dari rumah “ (Riwayat
Al Baihaqi).
Dua potong hadith di atas telah
menjelaskan kepada kita, bahawa memakai seluar itu adalah harus dan dibenarkan
oleh syarak terhadap wanita. Perkara ini menunjukkan bahawa pemakaian seluar
amat digalakkan oleh Islam sehingga Rasulullah s.a.w. mendoakan kepada sesiapa dalam
kalangan ummatnya yang memakai seluar termasuk dalam kalangan wanita. Namun
demikian, cara pemakaian seluar yang dilakukan oleh golongan wanita hari ini
telah jauh menyimpang dari landasan Islam yang sebenar, kerana fesyen seluar
yang dikenakan oleh mereka sekarang telah dipengaruhi budaya dan unsur-unsur
dari barat. Ianya tidak melambangkan ciri-ciri wanita Islam sejagat. Fesyen yang dikenakan dan cara pemakaian
seluar yang dilakukan oleh wanita hari ini terlalu ketat sehingga menampakkan
kedua belah peha mereka yang boleh diistilahkan sebagai ‘menampakkan susuk
badan’. Oleh sebab itu, memakai seluar mestilah dengan disertai dengan pakaian
yang labuh, supaya tidak menampakkan kedua ulas peha yang boleh menarik
perhatian kaum lelaki yang melihatnya atau memakai seluar tidak terlalu ketat
yang tidak menampakkan susuk tubuh badan.
4. Syarat Fesyen Dan Pakaian
Ajaran Islam mewajibkan
setiap penganutnya menutup aurat bagi mengelakkan berlaku fitnah dan
perkara-perkara yang tidak diingini. Ini adalah kerana tabiat semulajadi
manusia dan kehendak-kehendak naluri mereka berbeza di antara satu dengan lain.
Oleh itu, Islam yang diturunkan kepada sekalian ummat manusia amat memahani
tabiat dan perilaku manusia dan dengan sebab itulah ajaran Islam menetapkan
kepada setiap penganutnya supaya mengikut lunas-lunas dan peraturan hidup yang
termaktub di dalam syari’atnya. Islam telah meletakkan kedudukan wanita ke
darjat yang paling mulia setelah berlalunya kisaran roda jahiliyah dan
suku-sakatnya. Islam telah menggariskan panduan hidup untuk wanita secara
khusus dan berbeza dengan kaum lelaki dari beberapa sudut. Islam telah
menetapkan garis sempadan aurat wanita yang jauh berbeza dengan kaum lelaki,
kerana rupa bentuk tubuh badan wanita amat mengiurkan dan mestilah dipelihara
dan dijaga dengan sebaik-baiknya. Maka benarlah, sebutir mutiara tidak
mempunyai apa-apa nilai seandainya dibiarkan di dasar laut tanpa diambil untuk
dijadikan barang perhiasan seperti cincin, rantai dan sebagainya. Begitu juga
dengan wanita, kalaulah wanita dibiarkan begitu sahaja dan bergerak bebas tanpa
ikatan peraturan dan undang-undang, nescaya mereka tidak mempunyai harga dan
nilai di sisi masyarakat. Oleh sebab
itu, Islam mengenakan beberapa syarat
yang mewajibkan ke atas wanita menutup aurat yang bertujuan untuk
memelihara nilai dan kesopanan hidup wanita itu sendiri dan ianya merupakan
lambang keunggulan peribadi dan perwatakan hidup mereka.
Firman Allah Ta’ala:
يَا أَيُّهَا
النَّبِيُّ قُلْ لأزْوَاجِكَ وَبَنَاتِكَ وَنِسَاءِ الْمُؤْمِنِينَ يُدْنِينَ عَلَيْهِنَّ
مِنْ جلاَبِيبِهِنَّ ۚ ذَٰلِكَ
أَدْنَىٰ أَنْ يُعْرَفْنَ فلاَ يُؤْذَيْنَ ۗ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَحِيمًا
Maksudnya: “ Wahai
Nabi! Katakanlah kepada isteri-isteri mu, anak-anak perempuan mu dan
isteri-isteri orang-orang mu’min supaya melabuhkan jilbab ke seluruh tubuh
mereka, yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenali sehingga
mereka tidak diganggu dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang “ (Al Ahzab:
59).
Di sana terdapat beberapa syarat-syarat yang perlu
dipatuhi oleh setiap wanita Islam yang mengenakan fesyen atau pakaian ketika
keluar dari rumah atau ketika berurusan dalam masyarakat, di antaranya ialah:
4.1. Melabuhkan Fesyen
Dan Pakaian
Hendaklah melabuhkan
fesyen yang dikenakan atau pakaian yang diperagakan ke seluruh anggota badan,
sebagaimana yang dijelaskan di dalam Al Quran.
Firman Allah Ta’ala:
يُدْنِينَ
عَلَيْهِنَّ مِنْ جلاَبِيبِهِنَّ
Maksudnya: “ Mereka
hendaklah (wanita-wanita itu) melabuhkan jibab (pakaian) mereka “(Al Ahzab: 59).
Mengapa demikian..! Sebabnya ialah semata-mata untuk
memelihara fitnah dari kaum lelaki, lebih-lebih lagi wanita yang mempunyai
susuk tubuh yang montel dan menarik. Dengan melabuhkan pakaian tersebut, maka
peratus keinginan kaum lelaki untuk ‘melihat-lihat’ adalah kurang, justeru
ianya merupakan suatu ketaatan kepada arahan dan perintah dari Allah, semoga
Allah memelihara wanita yang melabuhkan pakaiannya
4.2. Tidak Terlalu Nipis
Kain yang digunakan
untuk membuat fesyen pakaian itu tidak terlalu nipis, kerana tujuan berpakaian
dalam Islam ialah dengan maksud menutup aurat. Seandainya kain tersebut tidak
berfungsi untuk dimaksudkan atau diistilahkan sebagai menutup kerana terlalu
nipis, maka ianya tidak dikatakan menutup aurat. Aisyah r.a. telah meriwayatkan
sepotong hadith dari Rasulullah s.a.w. yang berbunyi:
إِنَّ اَسْمَاءَ بِنْتَ
أَبِى بَكْرٍ دَخَلَتْ عَلَى رَسُوْلِ الله صلَّى الله علَيه وسَلَّم وَعَلَيْهَا
ثِيَابٌ رِقَاقٌ فَأَعْرَضَ عَنْهَا رَسُوْلُ الله صلَّى الله عَلَيه وسـلَّم وَقَالَ لَهَا يَآ
أَسْمَاءُ إِنَّ اْلمَرْأَةَ إِذَا بَلَغَتِ اْلمَحِيْض لَمْ يَصْلُحْ أَنْ يُرَى
مِنْهَا إِلاَّ هَذَا وَهَذَا وَاَشَارَ اِلَى وَجْهِهِ وَكَفَّيْهِ
Maksudnya: “
Sesungguhnya Asma binti Abu Bakar telah masuk ke rumah Rasulullah s.a.w. dalam
keadaan pakaian yang nipis, lalu baginda s.a.w. berpaling sambil berkata: Wahai
Asma! Sesungguhnya wanita apabila telah baligh tidak boleh sama sekali
diperlihatkan melainkan ini dan ini, sambil diisyaratkan kepada muka dan tangan
tangannya “ (Riwayat Abu Dawud).
4.3. Tidak Terlalu Ketat
Fesyen atau pakaian yang
dipakai oleh seseorang wanita itu tidaklah terlalu ketat sehingga menampakkan
bentuk dan susuk tubuh badannya. Lagipun, fesyen dan pakaian seumpama itu tidak
sesuai dipakai, bahkan boleh memudharatkan tubuh badan
Sabda Rasulullah s.a.w.
صِنْفَانِ مِنْ أَهْلِ النَّارِ لَمْ أَرَهُمَا: قَوْمٌ مَعَهُمْ
سِيَاطٌ كَأَذْنَابِ اْلبَقَرِ يَضْرِبُوْنَ بِهَا النَّاسَ وَنِسَآءٌ كَاسِيَاتٌ
عَارِيَاتٌ مُمِيْلاَتٌ مَائِلاَتٌ رُئُوْسَهُنَّ كَأَسْنِمَةِ اْلبُحْتِ
اْلمَائِلَةِ لاَ يَدْخُلْنَ اْلجَنَّةَ وَلاَ يَجِدْنَ رِيْحَهَا وَإِنَّ
رِيْحَهَا لَيُوْجَدُ مِنْ مَسِيْرَةِ كَذَا وَكَذَا
Maksudnya: “ Dua
golongan ahli neraka yang aku belum pernah melihatnya iaitu: Kaum yang membawa
cemeti seperti ekor lembu yang dipukulkan kepada manusia dan wanita yang berpakaian
telanjang berjalan berlenggang-lenggok, sanggulnya seperti bonggol unta yang
gila, mereka tidak akan masuk syurga, bahkan tidak akan mencium baunya, padahal
bau syurga akan tercium dari jarak perjalanan sejauh sekian-sekian! Di dalam
satu riwayat yang lain, bau syurga itu tercium sejauh lima ratus tahun
perjalanan “ (Riwayat Muslim).
Islam telah menjaga cara berpakaian bagi kaum wanita adalah
untuk memelihara maruah hidup mereka dari perkara yang tidak diingini berlaku.
Sebab itu, Islam tidak mengiktiraf fesyen pakaian yang terlalu ketat, kerana
ianya menampakkan setiap ulas bentuk tubuh badan, sekalipun telah menutup
aurat.
4.4. Tidak Diletakkan
Bauan
Pakaian yang dipakai
oleh seseorang wanita tidak diharuskan
sama sekali diletakkan bau-bauan atau apa
saja bentuk haruman yang boleh merangsangkan perasaan dan keinginan berahi kaum lelaki.
Sabda Rasulullah s.a.w.
إِنَّ اْلمَرْأَةَ إِذَا
اسْتَعْطَرَتْ فَمَرَّتْ عَلَى اْلقَوْمِ لَيَجِدُوْا رِيْحَهَا فَهِىَ زَانِيَةٌ
Maksudnya: “
Sesungguhnya wanita apabila memakai bau-bauan, kemudian melalui di hadapan kaum
lelaki supaya mereka mencium baunya, maka ia adalah zina “ (Riwayat At Tirmizi).
Pemakaian minyak wangi juga boleh mendatangkan fitnah kepada kaum
wanita kerana ianya merupakan daya tarikan kepada kaum lelaki. Dengan mencium
bau yang harum itu, seolah-olah ianya memberi suatu rangsangan dan langkah
permulakan yang bertapak di dalam hati seseorang lelaki untuk melakukan sesuatu
perkara mungkar. Namun, apa yang pastinya dengan mencium bau haruman atau
wangian pada seseorang wanita, sekurang-kurangnya telah meletakkan satu titik
persoalan bagi diri seseorang lelaki.
4.5. Tidak Menyerupai Lelaki
Pakaian yang dipakai
oleh wanita itu tidak menyerupai pakaian lelaki atau pakaian yang biasa dipakai
oleh kaum lelaki. Perkara ini adalah untuk memelihara kaum wanita dan sifat-sifat kewanitaan dari sudut
pakaian. Seandainya wanita memakai pakaian lelaki, nescaya di sana tidak
menunjukkan pada sifat wanita itu ciri-ciri sebagai seorang wanita Islam. Sepotong hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. sebagai
berkata:
لَعَنَ النَّبِىُّ صلَّى
الله علَيه وسلَّم الرَجُلَ يَلْبَسُ لِبْسَةَ اْلمَرْأَةِ وَاْلمَرْأَةَ تَلْبَسُ
لِبْسَةَ الرَّجُلِ
Maksudnya: “ Nabi
s.a.w. telah melaknat lelaki yang berpakaian seperti pakaian wanita dan wanita
berpakaian seperti pakaian lelaki “ (Riwayat Abu Dawud dan An Nasaei).
Di dalam sepotong hadith
yang lain, Rasulullah s.a.w. telah bersabda:
لَعَنَ اللهُ اْلمُتَخَنِّثِيْنَ مِنَ الرِّجَالِ
وَاْلمُتَرَجِّلاَتِ مِنَ النِسَاءِ
Maksudnya: “ Allah
melaknat lelaki menyerupai wanita dan wanita menyerupai lelaki “.
Peraturan dan undang-undang Islam dari sudut pakaian adalah
jelas dan Islam sangat mengambil berat ummatnya dari sudut berpakaian adalah
untuk melambangkan syiar agama, di samping membezakan pakaian lelaki dan
pakaian wanita. Justeru, cara berpakaian itu juga adalah untuk membezakan
pakaian yang biasa dipakai oleh orang-orang Islam dengan pakaian yang biasa
dipakai oleh orang-orang bukan Islam.
4.6. Tidak Menyerupai Kaum Kafir
Fesyen dan pakaian yang
menutup tubuh itu tidak menyerupai fesyen dan pakaian yang biasa digunakan oleh
orang-orang kafir, seperti pakaian dalam sesuatu upacara keagamaan atau
pemujaan atau seumpamanya. Sepotong hadith telah menjelaskan, sebagaimana yang
diriwayatkan oleh Abdullah bin Amr bin Al Ash r.a. telah berkata:
رَأَى رَسُوْلُ اللهِ صلَّى اللهُ عليْه وسلَّم عَلِىَّ ثَوْبَيْنِ
مَعْصفرين فَقَالَ: إِنَّ هَذَهِ مِنْ ثِيَابِ الْكُفَّارِ فَلاَ تَلْبَسْهَا
Maksudnya: “
Rasulullah s.a.w. telah melihat Ali memakai dua helai pakaian ma'sifarain, lalu
baginda menegur: Sesungguhnya ini adalah pakaian orang kafir, jangan kamu
memakainya " (Riwayat Muslim).
Di dalam sepotong hadith yang lain, Sayyidina Ali pernah
meriwayatkan, bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda:
إِيَّاكُمْ وَلُبُوْسَ الرَّهْبَانِ فَإِنَّهُ مَنْ تَزِيَّا بِهِمْ
أَوْ تَشَبَّهَ فَلَيْسَ مِنِّى
Maksudnya: "
Berhati-hatilah kamu daripada memakai pakaian rahib, sesiapa yang memakai atau
menyerupainya, mereka bukan dalam kalangan ummat ku " (Riwayat Ahmad).
Manakala
Ibn. Umar r.a. pernah meriwayatkan sepotong hadith, bahawa Rasulullah s.a.w.
telah bersabda:
مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ
Maksudnya: "
Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia adalah sebahagian dari mereka
" (Riwayat Abu Dawud dan Ahmad).
Daripada hadith-hadith yang dinyatakan di atas tadi jelaslah,
bahawa setiap muslim tidak dibenarkan sama sekali memakai pakaian yang
menyerupai kaum kafir, kerana ianya boleh membawa kepada kemusnahan iman.
4.7. Tidak Mengandungi
Ukiran Agama Lain
Fesyen atau pakaian yang
dipakai untuk menutup tubuh badan itu tidak mengandungi ukiran atau lakaran
atau gambar yang menunjukkan syiar agama lain, seperti lambang salib atau
lambang patung atau seumpamanya, kerana pakaian seperti ini ditegah dalam
agama. Sepotong hadith yang diriwayatkan
dari Diqrah Ummu Abdul Rahman bin Uzainah r.a. telah berkata:
كُنَّا نُطَوِّفُ
بِالْبَيْتِ مَعَ أُمُّ اْلمُؤْمِنِيْنَ فَرَأَتْ عَلَى امْرَأَةٍ بُرْدًا فِيْهِ
تَصْلِيْب فَقَالَتْ أُمُّ اْلمُؤْمِنِيْنَ: اطْرُحِيْهِ اطْرُحِيْهِ فَإِنَّ
رَسُوْلَ اللهِ صلَّى الله علَيه وسلَّم كَانَ إِذَا رَأَى نَحْوَ هَذَا قَضَبَهُ
Maksudnya: "
Kami melakukan tawaf bersama Ummu Mu'minin (Aisyah r.a.) dan dia melihat wanita
yang memakai kain selimut yang mengandungi gambar salib, lalu Aisyah r.a.
menegurnya: Buangkan! Buangkan! Sekiranya Rasulullah s.a.w. melihat, nescaya
dia akan memotongnya " (Riwayat Ahmad).
Sebabnya, pemakaian pakaian yang mengandungi syiar agama lain
secara tidak langsung mengiktiraf ajaran agama tersebut, seolah-olah
mengagung-agungkannya. Oleh itu, Aisyah r.a. pernah berkata:
إِنّأ لاَ نَلْبَسُ الثِّيَابَ الَّتِى فِيْهَا تَصْلِيْبُ
Maksudnya: "
Sesungguhnya kami tidak sekali-kali memakai pakaian yang mengandungi salib
".
4.8.
Bukan Membanggakan Diri
Fesyen
dan pakaian yang dipakai itu bukan bertujuan untuk menunjuk-nunjuk kepada orang
ramai atau kerana perasaan bangga diri, kerana tujuan cara berpakaian
sebagaimana yang dikehendaki oleh Islam adalah untuk menutup aurat, bukan untuk
dibanggakan.
Sabda Rasulullah s.a.w.
مَنْ لَبِسَ ثَوْبَ
شُهْرَةِ فِى الدُّنْيَا أَلْبِسَهُ اللهُ ثَوْبَ مُذِلَّةِ يَوْمَ اْلقِيَامَةِ
ثُمَّ أُلْهَبَ فِيْهِ نَارًا
Maksudnya: "
Sesiapa yang memakai pakaian yang membanggakan diri di dunia ini, nescaya Allah
akan memakai padanya pakaian yang sangat hina di hari akhirat nanti, kemudian
Allah akan membakarnya di dalam api neraka
" (Riwayat Ibn Majah dan An Nasaei).
Walaupun dengan pakaian, tetapi oleh kerana sifat bangga diri di
dalam hati dan perasaan ingin menunjuk-nunjuk menyebabkan seseorang itu akan
mendapat laknat dari Allah, sekalipun dia telah menutup aurat. Sebabnya, kerana
sifat bangga diri itu adalah salah satu sifat dari sifat-sifat syaitan yang
dilaknat oleh Allah.
4.9. Tidak Kelihatan
Ghairah
Fesyen atau pakaian yang
dipakai oleh seseorang wanita itu tidak dihias dengan perhiasan yang boleh
menyemarakkan perasaan dan keinginan syahwat lelaki apabila melihatnya, kerana
Allah melarang perbuatan tersebut.
Fiman Allah Ta'ala:
وَلاَ
يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ
Maksudnya: “ Jangan
kamu memperlihatkan perhiasan mereka “(An Nur: 31).
Ayat ini diturunkan secara umum yang
mengandungi pelbagai jenis perhiasan zahir yang diperlihatkan kepada kaum
lelaki.
Rasulullah s.a.w. pernah
bersabda:
مثل الرافلة فى الزينة فى
غير أهلها كمثل ظلمة يوم القيامة لا نور لها
Maksudnya: “
Perumpamaan wanita yang memakai perhiasan selain dari suaminya, bagaikan
kegelapan di hari kiamat yang tiada cahaya baginya“ (Riwayat At Tirmizi).
Adakalanya fesyen dan pakaian yang dihiasi dengan pelbagai
perhiasan boleh menimbulkan keinginan dan menaikkan nafsu syahwat kepada kaum
lelaki yang melihatnya. Oleh sebab itu, penampilan fesyen atau gaya yang
diperagakan itu tidaklah terlalu gahirah dan menjolak mata, sekalipun telah menutup
aurat. Ini kerana, seluruh bahagian anggota dan tubuh badan wanita boleh
mendatangkan fitnah, termasuk warna kulitnya dan juga bau peluhnya.
4.10. Tanpa Solekan
Memberahikan
Fesyen dan pakaian yang
dipakai oleh seseorang wanita itu tidak sekali-kali disertakan dengan solekan
pada wajah yang boleh menimbulkan keberahian kepada pandangan mata setiap
lelaki.
Firman Allah Ta'ala:
ولاَ
تَبَرَّجْنَ تَبَرُّجَ الْجَاهِلِيَّةِ الأولَى
Maksudnya: “
Janganlah kamu bersolek seperti solekan jahiliyah yang pertama“ (Al Ahzab: 33).
Solekan terlalu menghairahkan sehingga menimbulkan perasaan berahi
kepada kaum lelaki adalah dilarang sama sekali. Perbuatan ini adalah menjadi
amalan golongan jahiliyah purbakala, sebagaimana yang dijelaskan pada bahagian
yang lepas. Namun amalan bersolek bagi kaum wanita telah menjadi satu kelaziman
atau budaya semasa bagi wanita di zaman moden ini tanpa menghiraukan kesan
sampingan, di antaranya:
Pertama: Kesan pada wajah, kerana penggunaan alat
kosmetik yang terlalu tebal akan memberi kesan buruk kepada wajah.
Kedua: Kesan pada diri sendiri, kerana solekan
yang terlalu ghairah dan menarik akan menimbulkan perasaan berahi pada lelaki
sehingga menyebabkan berlaku pencabulan seks dan seumpamanya.
5. Perbahasan Tentang
Aurat
Perbincangan mengenai
tabarruj melibatkan perbahasan mengenai aurat wanita. Sesungguhnya Islam telah
mengenakan batas sempadan tentang cara berpakaian terhadap wanita adalah untuk
menampakkan ciri-ciri wanita Islam bahawa mereka semua terdiri dalam kalangan
hamba Allah yang taat kepada perintahNya. Islam menyuruh wanita menutup aurat
agar tidak kelihatan terdedah, tujuannya ialah memelihara kehormatan diri
sebagai lambang wanita Islam dan juga menjaga kesihatan, kerana menutup aurat
bererti menutup sebahagian besar anggota tubuh badan dari bakteria dan
debu-debu yang kotor. Apa yang hendak
dimaksudkan dengan aurat di sini ialah had sempadan anggota tubuh badan yang
perlu dibuka dan yang perlu ditutup bagi
seseorang yang telah akil baligh, sama ada lelaki dengan lelaki atau lelaki
dengan perempuan atau perempuan dengan perempuan. Mari kita perhatikan apa kata
ulama berhubung dengan pandangan mereka mengenai aurat, di antaranya ialah:
5.1. Aurat Wanita Dengan Wanita
Aurat wanita sesama
wanita ialah di antara lutut sehingga ke pusat, selain dari itu boleh dilihat
kecuali bagi wanita zimmah atau orang-orang kafir.
5.2. Aurat Wanita Dengan Lelaki
Di sana terdapat
beberapa perbahasan dan pandangan ulama mengenai batas sempadan aurat di antara
wanita dengan lelaki:
5.2.1. Mazhab Syafi’ei
dan Hambali
Mereka berpendapat,
seluruh tubuh badan wanita adalah aurat dan Imam Ahmad Ibn hambal menambah:
Seluruh tubuh badan wanita adalah aurat hatta kepada kukunya. Di antara
dalil-dalil atau hujjah-hujjah pendapat golongan ini ialah:
Firman Allah Ta'ala:
وَلاَ
يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلاَ مَا ظَهَرَ مِنْهَا
Maksudnya: “ Dan
janganlah mereka (kaum wanita) memperlihatkan perhiasan mereka, kecuali
apa yang zahir padanya “(An Nur: 31).
Di dalam ayat ini, memperlihatkan
perhiasan adalah dilarang, sedangkan maksud zinah (perhiasan) di sini
ada dua perkara: pertama: Zinah Khalqiyyah (semulajadi) dan kedua: Zinah
Muktasabah (dicipta). Menurut pendapat di dalam mazhab ini, bahawa muka dan
tapak tangan itu adalah perhiasan khalqiyyah (semulajadi). Maka hukumnya adalah
haram mendedahkan kedua-dua anggota tersebut. Mereka juga mentakwilkan ayat (ماظهر منها) iaitu: “apa yang zahir padanya…” bermaksud:
Apa yang terlihat dengan cara yang tidak sengaja kerana terbuka ditiup angin
atau seumpamanya. Mereka juga
berdalilkan dengan sepotong ayat yang lain yang dipetik dari surah Al Ahzab,
ayat: 53.
Firman Allah Ta’ala:
وَإِذَا
سَأَلْتُمُوهُنَّ مَتَاعًا فَاسْأَلُوهُنَّ مِنْ وَرَاءِ حِجَابٍ
Maksudnya: “Dan
apabila kamu meminta sesuatu kepada mereka (isteri-isteri nabi), maka mintalah
melalui belakang hijab “(Al Ahzab: 53).
Ayat ini jelas menunjukkan bahawa, muka
itu adalah aurat bagi setiap wanita ajnabiyyah. Seandainya muka itu bukan
aurat, mengapa Allah Ta’ala menyuruh para sahabat Nabi s.a.w. yang mahukan
sesuatu perkara atau sesuatu hajat kepada isteri-isteri baginda supaya mereka
semua meminta melalui tabir atau hijab.
Jarir bin Abdillah r.a. pernah bertanya kepada Rasulullah s.a.w.
mengenai pandangan terhadap kaum wanita:
سَأَلْتُ رَسُوْلَ اللهِ
صلَّى الله عَلَيه وسلَّم عَنْ نَظَرِ اْلفَجْأَةِ فَقَالَ: اصْرِفْ نَظَرَكَ
Maksudnya: “ Aku
pernah bertanya kepada Rasulullah s.a.w. tentang pandangan yang tiba-tiba, lalu
baginda menjawab: Alihkan pandangan mu “(Riwayat Muslim dan Ahmad).
Di dalam sepotong
hadith yang lain, Rasulullah s.a.w. pernah menasihatkan kepada menantunya Ali
Karramallahu Wajha dengan katanya:
يآ
عَلِىُّ لاَ تُتْبِعِ النَّظَرَةَ النَظْرَةَ فَإِنَّمَا لَكَ اْلأُوْلَى
وَلَيْسَتْ لَكَ اْلثَّانِيَةُ
Maksudnya: “ Wahai
Ali! Janganlah kamu ikuti pandangan pertama dengan pandangan kedua, kerana
pandangan pertama itu hak kamu, tetapi tidak pada pandangan kedua “(Riwayat Abu
Dawud dan Ahmad).
Di dalam satu riwayat, Ibn Abbas r.a.
pernah menceritakan suatu peristiwa mengenai kisah Nabi s.a.w. yang membonceng
Al Fadhl bin Al Abbas:
أَنَّ النبىَ صلَّى الله علَيه وسلَّم أَرْدَفَ اْلفَضْلَ بْنُ
اْلعَبَّاسِ يَوْمَ النَّحْرِ خَلْفَهُ وَكَـانَ رَجُلاً حَسَنَ الشَّعر اَبْيَضَ
وَسِيْمًا فَجَأَتِ امْرَأَّةٌ مِنْ خَثْعَمَ تَسْتَفْتِيْهِ فَجَعَلَ اْلفَضْلُ
يَنْظُرُ اِلَيْهَا وَتَنْظُرُ اِلَيْهِ فَجَعَلَ رَسُوْلُ الله صلَّى الله
عَليَهْ وسلَّم يُصَرِّفُ وَجْهَ اْلفَضْلِ اِلَى الشِّقِِ اْلآخَرِ
Maksudnya: “
Sesungguhnya Nabi s.a.w. telah membonceng Al Fadhl bin Al Abbas pada hari raya
qurban dan beliau adalah lelaki yang berambut bagus, berkulit putih dan
berwajah tampan, lalu datang seorang wanita dari Khats’am meminta fatwa dari
Nabi s.a.w. tetapi Al Fadhl dan wanita itu saling berpandang-pandangan, lalu
Rasulullah s.a.w. memalingkan wajah Al Fadhl ke arah yang lain “(Riwayat
Bukhari dan Muslim).
Daripada hadith-hadith
di atas telah memperkuatkan lagi bahawa muka dan tapak tangan itu adalah aurat,
di mana nas-nas tersebut telah menunjukkan bahawa haram bagi seseorang wanita
ajnabiyyah yang telah akil baligh memperlihatkan auratnya termasuk muka dan
tapak tangan.
5.2.2. Mazhab Maliki dan
Hanafi:
Golongan mereka
berpendapat, bahawa aurat wanita ialah seluruh anggota badan kecuali muka dan
tapak tangan. Bererti, bagi seseorang wanita diharuskan ke atasnya membuka muka
dan kedua tapak tangannya.
Firman Allah Ta'ala:
وَلاَ
يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلاَ مَا ظَهَرَ مِنْهَا
Maksudnya: “ Dan
janganlah mereka (kaum wanita) memperlihatkan perhiasan mereka, kecuali
apa yang zahir padanya “(An Nur: 31).
Mereka pula mentakwilkan maksud ayat:
‘Apa yang zahir padanya’ ialah muka dan tapak tangan, kerana kedua-dua anggota
itu adalah biasa kelihatan dari anggota badan yang didorong oleh keperluan
semasa untuk membukanya. Pendapat ini diambil dari sahabat Nabi s.a.w. dan juga
dari Tabi'en, iaitu Said bin Jubair, Ad Dhahaq dan Al Auza'ei. Namun dalam
kalangan para ulama dalam Mazhab Hanafi ada
yang menyatakan kaki itu juga bukan aurat, mereka juga berhujah dengan dalam
Surah An Nur: ayat 31. Mereka menafsirkan ayat tersebut sebagai berkata: Iaitu
apa yang dimaksudkan dengan perkataan ‘yang zahir padanya’ ialah termasuk
anggota kaki yang biasa terbuka dan terdedah, hatta pada gelang yang dipakai
pada kaki harus tidak menutupnya kerana istithna (pengecualian) itu pada yang
zahir sahaja. Pendapat golongan itu telah diperkuatkan dengan sepotong hadith yang
diriwayatkan oleh Aisyah r.a.
إِنَّ اَسْمَاءَ بِنْتَ أَبِى بَكْرٍ دَخَلَتْ عَلَى رَسُوْلِ الله
صلَّى الله علَيه وسَلَّم وَعَلَيْهَا ثِيَابٌ رِقَاقٌ فَأَعْرَضَ عَنْهَا رَسُوْلُ
الله صلَّى الله عَلَيه وسـلَّم وَقَالَ
لَهَا: يَآ أَسْمَاءُ إِنَّ اْلمَرْأَةَ إِذَا بَلَغَتِ اْلمَحِيْض لَمْ يَصْلُحْ
أَنْ يُرَى مِنْهَا إِلاَّ هَذَا وَهَذَا وَاَشَارَ اِلَى وَجْهِهِ وَكَفَّيْهِ
Maksudnya: “
Sesungguhnya Asma binti Abu Bakar telah masuk ke rumah Nabi s.a.w. dalam
keadaan pakaian yang nipis, lalu baginda s.a.w. berpaling sambil berkata: Wahai
Asma! Sesungguhnya wanita apabila telah baligh tidak boleh diperlihatkan
melainkan ini dan ini, sambil diisyaratkan kepada muka dan tangan tangannya ”(Riwayat
Abu Dawud).
Hadith itu terang dan jelas
menunjukkan bahawa diharuskan bagi wanita ajnabiyah dan yang akil baligh
membuka muka dan tapak tangan dan kedua-dua anggota badan ini bukan dinamakan
aurat. Golongan ini juga berhujah: Sekiranya muka dan tapak tangan itu aurat,
mengapa ketika mendirikan ibadat solat diwajibkan membuka kedua-dua anggota ini
dan begitu juga ketika mengerjakan ibadat haji..? Dan sekiranya kedua-dua
anggota ini ditutup juga, ibadat tersebut tidak sah, maka perkara ini
menunjukkan bahawa muka dan tapak tangan itu bukannya aurat. Namun,
percanggahan pendapat dan pandangan ulama ini bukan menjadi sebab bagi
seseorang wanita untuk tidak menutup aurat, tetapi ianya adalah untuk memberi
ruang pilihan kepada para wanita bagi memilih mana-mana pendapat yang sesuai
untuk dirinya, asalkan tidak menimbulkan fitnah. Seseorang wanita bebas hendak
memilih mana-mana pendapat dan pandangan ulama yang dianggap sesuai untuk
dirinya dan keperluan hidupnya dalam mengendalikan urusan seharian. Dengan
pakaian yang dipakai dan fesyen yang dikenakan itu menampakkan dia adalah
seorang wanita yang bercirikan keimanan, kerana cara penampilan seseorang
wanita itu merupakan lambang kesucian dirinya.
Ketahuilah..! Cuma hanya dua pendapat
ini sahaja yang membicarakan tentang aurat wanita dan batas-batas yang harus
dibuka atau ditutup. Adapun pendapat dan pandangan lain yang membolehkan
membuka aurat wanita seperti menampakkan dada dan rambut dan seumpamanya, pendapat
itu adalah pendapat yang terkeluar dari syari'at Islam.
Sekian, wassalam
Al Faqir Ila ‘Afwi Rabb
Lutpi Mustafa El-Batnani