PENGUASAAN ISTIQOMAH DALAM KEHIDUPAN

Friday 5 August 2011

BICARA KEHIDUPAN


Di sana terdapat suatu hakikat yang dijelmakan ke dalam kehidupan manusia, hakikat yang membawa pengertian kepada kehidupan itu sendiri, yang membentuk suatu persamaan dan nilai-nilai yang dihubungkan terus dengan roh dan jasadnya sekali, iaitu hakikat kewujudan. Penjelmaan manusia dalam kehidupan yang dibentuk melalui roh dan jasad, yang diberi kelebihan dengan akal fikiran merupakan makhluk yang paling majestic di antara makhluk-makhluk yang ada di atas dunia ini. Manusia bukan berasal dari jenis haiwan atau binatang ataupun dari jenis keturunnya, kerana itulah manusia diberi kelebihan mengurus dan mentadbir segala rupa bentuk keadaan yang berkaitan dengan kehidupannya dan sesungguhnya manusia itu merupakan sebaik-baik kejadian yang dicipta oleh Allah.

Firman Allah Ta'ala:

لَقَدْ خَلَقْنَا اْلإنْسَان فىِ أحْسَنِ تَقْوِيْم

Maksudnya: " Sesungguhnya Kami ciptakan manusia ini adalah dengan sebaik-baik kejadian “ (At Thin: 4).

            Kewujudan dan kehidupan merupakan suatu hakikat yang berkaitan di antara satu sama lain yang dijelmakan secara bersama dan tidak boleh dipisahkan sama sekali. Mengapa manusia diwujudkan oleh Allah di atas muka bumi ini? Mengapa manusia dicipta oleh Allah dan apakah pula matlamat dan tujuan sebenar dalam konsep penciptaanNya? Mengapa pula Allah menentukan beberapa kewajipan yang mesti dilaksanakan dan mesti dipatuhi oleh setiap manusia?   Persoalan itu seharusnya menjadi perhatian dan renungan bersama kepada sekalian ummat Islam, lebih-lebih lagi mereka berada di dalam perjuangan menegakkan ‘Kalimah Suci’ dan ingin mendapatkan keredhaan ILAHI. Hakikat sedemikian rupa akan terjawab apabila manusia menghayati betul-betul konsep kehidupan itu; sebab-sebab, kenapa, mengapa, tujuan dan matlamat manusia itu diwujudkan. Sudah tentu di sana ada perkara-perkara yang sebenar berselindung di sebalik konsep kejadian manusia bahawa sebenarnya manusia mempunyai agendanya tersediri untuk terus mara kepusingan kedua selepas babak kematian yang datang menjelma nanti.  Rupa-rupanya kehidupan di atas dunia ini bukanlah suatu kehidupan yang kekal abadi, ianya adalah bersifat impermanent sahaja dan kehidupan di atas dunia ini merupakan suatu perjalanan menuju ke alam akhirat yang kekal abadi. Dunia ini adalah tempat persinggahan untuk berehat seketika sementara menanti perjalanan di hari esok. Dunia ini adalah tempat bercucuk tanam untuk membuahkan hasilnya bagi menampung keperluan hidup. Maka, hakikat kewujudan juga membawa pengertian kepada kehidupan itu sendiri, bahawa manusia yang dicipta oleh Allah adalah untuk mengabdikan diri kepadaNya dan beramal dengan segala tuntutanNya.

Firman Allah Ta’ala:

ومَا خَلَقْتُ الْجِنَّ واْلإنْسَ إلاَّ لِيَعْبُدُونِ

Maksudnya: " Dan tidaklah Aku jadikan jin dan manusi melainkan mengabdikan diri kepada Allah Aku " (Az Zariyaat: 56).

No comments:

Post a Comment