PENGUASAAN ISTIQOMAH DALAM KEHIDUPAN

Friday 5 August 2011

KEHIDUPAN DI ALAM DUNIA



Manusia yang diwujudkan ke dunia ini mempunyai tugas dan tanggungjawab yang perlu ditunaikan dan perlu dilaksanakan mengikut arahan-arahan yang telah diwajibkan kepada mereka. Manusia mempunyai peranan yang  besar untuk dimainkan dalam opera kehidupan ketika mereka keluar melangkah mengharungi liku-liku perjuangan, peranan yang mencetuskan nilai-nilai kemanusiaan untuk melahirkan kelompok generasi yang benar-benar mampu menghadapi ranjau kehidupan, iaitu berperanan terhadap diri sendiri dan juga terhadap agama.

Firman Allah Ta'ala:

اللَّهُ الَّذِي خَلَقَكُمْ مِنْ ضَعْفٍ ثُمَّ جَعَلَ مِنْ بَعْدِ ضَعْفٍ قُوَّةً ثُمَّ جَعَلَ مِنْ بَعْدِ قُوَّةٍ ضَعْفًا وَشَيْبَةً ۚ

Maksudnya: " Allah telah yang menciptakan kamu dalam keadaan lemah, sesudah itu Dia menjadikan pula kekuatan kepada kamu dan selepas kekuatan dijadikan kelemahan kembali dan beruban “ (Ar Rum: 54).

            Manusia yang diwujudkan oleh Allah di atas dunia ini mempunyai peringkat dan proses pembesaran; bermula dari peringkat bayi berkembang menjadi kanak-kanak, kemudian menjadi dewasa berkembang di alam remaja sebagai pemuda atau pemudi. Sesudah itu manusia mengalami hari-hari tuanya dan akan kembali menjadi lemah akibat dimakan usia. Oleh sebab itu, manusia perlu membentuk dirinya untuk berperanan sebagai seorang manusia dengan aksi tugas dan tanggungjawab yang ditetapkan ke atasnya, bukan berperanan seperti haiwan yang tidak mempunyai apa-apa matlamat dalam kehidupan.

Benarlah Sabda Rasulullah s.a.w.

إنَّ لِرَبِّكَ عَلَيْكَ حَقًّا وَلِنَفْسِكَ عَلَيْكَ حَقًّا ولأَهْلِكَ عَلَيْكَ حَقًّا فَأعْطِ كُلَّ ذِى حَقٍّ حَقَّهُ

Maksudnya: " Sesungguhnya ke atas Tuhan kamu ada hak, ke atas diri kamu ada hak dan ke atas keluarga kamu ada hak, maka hendaklah kamu bahagikan hak kepada yang berhak “.

      Manusia perlu bertindak pantas untuk membentuk nilai-nilai kemanusiaannya dan sifat-sifat idealisme melalui pekerti dan akhlak yang mempunyai kaitan rapat dengan persoalan roh di alam spritual. Kemampuan manusia membentuk dirinya sendiri dengan disiplin akhlak yang baik, membentuk idea dan pemikiran yang bersih dan juga membentuk perasaan hati sanubari dan jiwa nuraninya sendiri adalah terletak kepada kefahamannya terhadap nilai-nilai agama yang menggariskan batas sempadan yang jauh di antara halal dan haram, supaya ianya tidak dicampur-aduk menjadi satu adunan. Manusia merupakan makhluk yang bertanggungjawab dan tanggungjawab manusia kepada Tuhannya ialah melaksanakan segala tuntutanNya dan menjauhi segala laranganNya, tanggungjawab manusia terhadap dirinya pula ialah memastikan dirinya agar sentiasa mentaati perintah Tuhan dan tidak sekali-kali terkeluar dari perintahNya, manakala tanggungjawab manusia terhadap keluarganya ialah memelihara atau menjaga mereka daripada bencana kemungkaran yang boleh menyebabkan diri mereka disentuh oleh api neraka. Orang-orang yang beriman mestilah bersedia menerima segala arahan dari Tuhannya, kerana bersedia menerima arahan tersebut merupakan suatu ketaatan yang tidak berbelah bagi dan maksud kehidupan yang suci itu ialah kehidupan yang sentiasa taat kepada perintah ILAHI.  Tetapi, kehidupan orang-orang yang tidak beriman dan orang-orang yang suka melakukan maksiat kepada Allah bagaikan binatang ternak yang merayau-rayau ke sana ke sini tanpa arah dan tujuan. Mereka tidak mengerti dan tidak pula faham maksud kehidupan yang sebenar, kerana mereka tidak memiliki konsep keimanan yang sejati. Perasaan diri mereka telah dikuasai oleh hawa nafsu yang menjadi pedoman di setiap penjuru laluan hidup mereka dan begitu juga di dalam penilain hidup mereka.

Firman Allah Ta'ala:

وَالَّذِينَ كَفَرُوا يَتَمَتَّعُونَ وَيَأْكُلُونَ كَمَا تَأْكُلُ الأَنْعَامُ وَالنَّارُ مَثْوًى لَهُمْ

Maksudnya: " Dan orang-orang kafir bersenang-senang hidup (di atas dunia) dan mereka makan seperti bintang ternak, sesungguhnya neraka adalah tempat tinggal mereka “ (Muhammad: 12).

Firman Allah Ta'ala:
وَلَقَدْ ذَرَأْنَا لِجَهَنَّمَ كَثِيرًا مِنَ الْجِنِّ وَالاِنْسِ لَهُمْ قُلُوبٌ لاَ يَفْقَهُونَ بِهَا وَلَهُمْ أَعْيُنٌ لاَ يُبْصِرُونَ بِهَا وَلَهُمْ آذَانٌ لاَ يَسْمَعُونَ بِهَا أُولَٰئِكَ كَالاَنْعَامِ بَلْ هُمْ أَضَلُّ أُولَٰئِكَ هُمُ الْغَافِلُونَ

Maksudnya: " Mereka mempunyai hati, tetapi mereka tidak mengerti, mereka mempunyai mata tetapi tidak melihat, mereka mempunyai telinga tetapi tidak mendengar, mereka bagaikan binatang ternak bahkan lebih sesat dari itu lagi, sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang lupa “ (Al A'raf: 179).

            Penguasaan hidup mereka didorong oleh kehendak-kehendak hawa nafsu menyebabkan mereka tidak mengerti dan faham hakikat hidup yang sebenar sekalipun mereka mempunyai perasaan hati, mereka tidak dapat melihat sekalipun mereka tidak buta, mereka tidak dapat mendengar sekalipun mereka  tidak tuli. Apa yang sebenarnya berlaku pada diri manusia seperti ini ialah tiadanya nilai-nilai keimanan di dalam hati mereka disebabkan oleh penguasaan hawa nafsu yang sekaligus memusnahkan nilai-nilai dan hakikat keimanan tersebut. Hawa nafsu itu telah merombak dan memusnahkan benteng keimanan yang ada di dalam diri mereka.




Sekian, wassalam.


Al Faqir Ila ‘Afwi Rabb
Lutpi Mustafa El-Batnani

No comments:

Post a Comment