PENGUASAAN ISTIQOMAH DALAM KEHIDUPAN

Tuesday 16 August 2011

TUJUAN KEHIDUPAN ZUHUD: BERINGAT KEPADA KEMATIAN

Kematian merupakan suatu realiti yang pasti, setiap makhluk sudah pasti akan merasai sentuhan maut yang datang menjelma, yang datang meragut sesiapa sahaja yang ia suka tanpa mengira seseorang itu kaya atau miskin.

Firman Allah Ta'ala:

كُلُّ نَفْسٍ ذَائِقَةُ الْمَوْتِ وَإِنَّمَا تُوَفَّوْنَ أُجُورَكُمْ يَوْمَ الْقِيَامَة فَمَنْ زُحْزِحَ عَنِ النَّارِ وَأُدْخِلَ الْجَنَّةَ فَقَدْ فَاز وَمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلاَّ مَتَاعُ الْغُرُورِ

Maksudnya: " Setiap jiwa pasti akan merasa maut dan bahawa pahala mu akan dicukupkan nanti di hari kiamat, orang yang dijauhkan dari neraka akan dimasukkan ke dalam syurga, sesungguhnya mereka mendapat kemenangan dan kehidupan dunia ini hanyalah kesenangan tipu daya belaka “ (Ali 'Imran: 185).

      Kehidupan zuhud telah memberi kemenangan kepada maruah diri dan nilai-nilai kehidupan itu sendiri, kerana ianya dapat membentuk isi perasaan manusia daripada bersikap keras hati kepada kelembutan.

Firman Allah Ta'ala:

وَمَا تَدْرِى نَفْسٌ مَاذَا تَكْسِبُ غَدًا وَمَا تَدْرِى نَفْسُ بِأَىِّ أَرْضٍ تَمُوْتُ

Maksudnya: " Tidak seorang pun yang mengetahui apa yang akan dilakukan besok hari dan tidak seorang pun yang mengetahui di mana ia akan mati “ (Luqman: 34  ).

     Apabila maut datang menjelma dalam kehidupan seseorang manusia, sudah tentu ia akan menerima padahnya dan merasai pukulannya, manusia tidak sekali-kali dapat lari dari pukulan maut itu, memanjat tangga naik ke langit.

Firman Allah Ta'ala:

وَلِكُلِّ أُمَّةٍ أَجَلٌ  فَإِذَا جَاءَ أَجَلُهُمْ لاً يَسْتَأْخِرُونَ سَاعَةً  وَلاً يَسْتَقْدِمُونَ

Maksudnya: " Apabila ajal itu datang, mereka tidak sedikitpun dapat mengundurkan walaupun seketika dan tidak pula dapat mendahulukannya “ (Al A'raf: 34).

    Justeru, kehidupan zuhud mengajar manusia beringat-ingat kepada kematian dan perkara ini bukan bererti menyuruh manusia melupakan terus kepada habuan dunia, tidak bekerja atau tidak berusaha, hanya beribadat menunggu saat-saat kematian. Tetapi, sebenarnya konsep zuhud itu mengajar manusia untuk terus berusaha walaupun kematian akan datang menjelma mencengkam lehernya.  Beringat-ingat kepada kematian akan membawa kepada penyesalan dan keikhlasan di dalam hati sanubari dan jiwa nurani, kerana bimbang dan takut menerima balasan di hari akhirat nanti.

Sabda Rasulullah s.a.w.
أَكْثِرُوْا ذِكْرَهَازِمِ اللَّذَّاتِ يَعْنِى الْمَوْتَ

Maksudnya: " Perbanyakan kamu mengingati kejadian yang akan menghancurkan segala kelazatan iaitu maut “ (Riwayat At Tirmizi).

    Ini adalah arahan dan saranan yang dinyatakan oleh Nabi s.a.w. supaya sentiasa mengingati hari kematian yang pasti datang menjelma, kerana manusia tidak mengetahui bilakah kematian itu datang, adakalanya ia datang dengan tiba-tiba dan adakalanya ia datang secara memberi amaran dengan didahului perasaan sakit atau seumpamanya.




Sekian, wassalam

Al Faqir Ila ‘Afwi Rabb
Lutpi Mustafa El-Batnani


No comments:

Post a Comment