PENGUASAAN ISTIQOMAH DALAM KEHIDUPAN

Friday 5 August 2011

MATLAMAT KEHIDUPAN


Sebuah kehidupan yang suci itu mestilah diasaskan melalui sebuah manhaj hidup yang suci dan bersih dari segala rupa bentuk jahiliyah dan suku-sakatnya. Mereka yang ingin mencari keredhaan ILAHI mestilah berjuang membawa panji-panji keagunganNya, mestilah berjihad untuk meninggikan kalimahNya dan mestilah berada di dalam sebuah jama’ah yang dibina di atas nama Islam. Mereka yang ingin mencari kepuasan rohani mestilah membersihkan diri mereka dan membebaskan ikatan diri mereka dari segala belenggu dan penguasaan jahiliyah dalam kehidupan mereka, pemikiran mereka dan amalan-amalan hidup mereka. Pergantungan hidup seorang muslim mestilah mendakap erat secara terus-menerus terhadap Keesaan ILAHI tanpa wujudnya batas-batas yang menyekat atau wujudnya perantaraan yang digunakan sebagai alat untuk menyampaikan dirinya dengan Tuhannya. Kalaulah wujudnya batas-batas perantaraan tersebut dalam kehidupan seseorang muslim, nescaya pergantungan hidup mereka terhadap ILAHI tidak lengkap dan tidak cukup sempurna, seolah-olah mereka adalah manusia pengecut untuk berhadapan dengan Tuhan kerana menggunakan perantaraan sebagai wasilah untuk menyampaikan kehendak atau hajat mereka. Sepatutnya, mereka boleh meminta terus kepada Tuhan untuk mendapatkan sesuatu hajat atau sesuatu tujuan ataupun apa sahaja yang diperlukan untuk menyelesaikan permasalahan di dalam kehidupan. Oleh sebab itu, setiap manusia mestilah memasang tujuan dan matlamat di dalam kehidupan mereka dan manakala setiap individu muslim pula mestilah membentuk suatu perspektif untuk merealisasikan tujuan dan matlamat hidup mereka dan mereka hendaklah merancang dan membina suatu program kehidupan yang menggariskan nilai-nilai yang baik untuk menyampaikan diri mereka kepada Tuhannya. Di sana terdapat beberapa tujuan dan matlamat kehidupan yang dilangsungkan oleh manusia di atas dunia ini:

MENGABDIKAN DIRI KEPADA ALLAH
Konsep pengabdian diri kepada Allah merupakan konsep yang mencetuskan nilai-nilai perhambaan yang menyatakan hasrat ketundukan diri dengan penuh keyakinan dan keimanan. Konsep ini dapat mengubah perasaan hati manusia yang sombong dan takabbur dan juga dapat membentuk jiwa manusia untuk mengenal hakikat dirinya dan mencerminkan keadaan hidupnya. Di samping itu, konsep ini juga dapat mengikis segala sifat-sifat yang bertentangan dengan naluri kemanusiaan, sebagaimana yang dikehendaki oleh syari’at dan membuangnya jauh-jauh daripada melekat di celah-celah perasaan hati. Apa yang tinggal hanyalah keagungan ILAHI sahaja. Manusia yang dicipta oleh Allah mestilah mempunyai tujuan dan matlamat di dalam kehidupan mereka. Di antara tujuan dan matlamat yang paling utama ialah mengabdikan diri kepada Allah.

Firman Allah Ta'ala:
إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِيْنَ

Maksudnya: " Hanya Engkaulah yang kami abdikan dan hanya Engkaulah tempat kami bergantung “ (Al Fatihah:5).

Firman Allah Taala:
وَمَا خَلَقْت الجنّ والإنسَ إلاَّ ليَعْبدون

Maksudnya: " Tidaklah Aku jadikan jin dan manusi melainkan mengabdikan diri kepada Allah Aku “ (Az Zariyaat: 56).

            Hakikat ketuhanan itu rupa-rupanya muncul di tengah-tengah gelanggang kehidupan manusia apabila konsep pengabdian diri itu dapat diwujudkan sama sekali yang merangkumi semua aspek kehidupan, bahwa pergantungan hidup manusia hanya mutlak kepada Allah semata-mata, bukan kepada yang lain. Di sana, Islam telah mewujudkan konsep pengabdian di antara makhluk dan Khaliq adalah untuk mengubah style dan sistem jahiliyah ataupun kehidupan ala jahiliyah. Ianya merupakan falsafah kehidupan yang suci, bahawa manusia dicipta tidak hanya untuk hidup semata-mata atau untuk makan minum sahaja ataupun untuk berseronok dan berhibur sentiasa.....

Firman Allah Ta’ala:
قُلْ إِنِّي أُمِرْتُ أَنْ أَعْبُدَ اللَّهَ مُخْلِصًا لَهُ الدِّينَ

Maksudnya: “ Katakanlah (wahai Muhammad)! Sesungguhnya Aku diperintahkan mengabdikan diri kepada Allah dengan tulus ikhlas beragama keranaNya semata-mata “ (Az Zumar: 11).

     Terdapat sepotong hadith yang menguatkan lagi kedudukkan ayat-ayat di atas, sebagaimana yang telah dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w.

Sabda Rasulullah s.a.w.

يآ عِبَادِى مَا خَلَقْتُكُمْ ِلأَسْتَكْثَرُبِكُمْ مِنْ قِلَّةٍ، وَلاَ ِلأَسْتَأْنِسُ بِكُمْ مِنْ وَحْشَةٍ، وَلاَ ِلأَسْتَعِيْنَ بِكُمْ عَلَى أَمْرٍ عَجِزْتُ عَنْهُ، وَإِنَّمَا خَلَقْتُكُمْ لِتَذْكُرُوْنِى كَثِيْرًا وَتَعْبُدُوْنِى طَوِيْلاً، وَتُسَبِّحُوْنِى بُكْرَةً وَأَصِيْلاً

Maksudnya: " Wahai hamba Ku! Bukanlah Aku ciptakan kamu di atas dunia ini untuk menambahkan bilangan kamu, bukanlah ingin bermesra dengan kamu dari perasaan dukacita yang datang melanda dan bukan pula untuk membantu kamu di dalam melaksanakan urusan Ku, Aku merasa sungguh hairan! Akan tetapi, Aku ciptakan kamu supaya kamu mengingati Aku dengan sebanyaknya, mengabdikan diri kepada Ku sepanjang hidup dan bertasbih kepada Ku pagi dan petang “ .

     Konsep pengabdian diri yang dibentuk di dalam hati sanubari dan jiwa nurani akan menjelma menjadi suatu kenyataan yang benar-benar clear apabila ianya diterjemahkan melalui proses amali atau praktikal. Ianya juga tidak hanya terbatas di dalam ruangan ibadat sahaja, bahkan meliputi lain-lain lapangan hidup, maka di sana sudah pasti akan terlaksanalah maksud pengabdian itu.

Firman Allah Ta’ala:

وَقَالَ اللَّهُ لاَ تَتَّخِذُوا إِلَٰهَيْنِ اثْنَيْنِ إِنَّمَا هُوَ إِلَٰهٌ وَاحِدٌ فَإِيَّايَ فَارْهَبُونِ

Maksudnya: “ Dan Allah berfirman: Jangan sekali-kali kamu mengambil dua Tuhan, kerana Dialah Tuhan yang Maha Esa dan kepada Ku hendaklah kamu takut “ (An Nahl: 51).
 
     Konsep pengabdian diri akan diterjemahkan menjadi suatu aksi yang dibina menurut aturan dan sukatan yang telah digariskan di dalam syari’at Islam, yang melambangkan bentuk pemikiran yang ada pada diri seseorang muslim dan kefahamannya terhadap tuntutan yang ada.  Konsep pengabdian diri ini juga menghuraikan secara langsung konsep ‘aqidah yang terdapat di dalam lubuk hati manusia. Oleh itu, segala apa jua tindakan yang hendak dilakukan mestilah berpusat kepada ‘aqidah sebagai pegangan hidup untuk ditapis terlebih dahulu dan kemudian barulah diolah menjadi suatu bentuk amalan yang dibenarkan oleh syari’at. Tindakan yang dilakukan tanpa menoleh terlebih dahulu kepada asas-asas ‘aqidah ditolak sama sekali dan tidak diterima oleh Allah. Aturan ini adalah suatu pengakuan dan penegasan, bahawa manusia muslim tidak boleh terkeluar dari benteng yang telah digariskan oleh syari’at ILAHI, kerana setiap pengakuan yang benar-benar hakiki sudah pasti akan membinanya secara mutlak tanpa melanggar sedikitpun aturan yang telah digariskan itu. 

       Manusia muslim tidak mudah terlatah dengan budaya hidup persekitaran, budaya hidup yang dicampur-aduk dengan budaya asing, budaya hidup jahiliyah yang tidak mempunyai apa-pa manfaat kepada manusia dan mereka sentiasa berhati-hati di setiap langkah kehidupan yang mereka harungi, kerana detik kesilapan sudah pasti akan membawa padah dan jeritan yang pedih.

BERAMAL DENGAN TUNTUTAN ILAHI
Islam membentuk program kehidupannya sendiri adalah untuk diamalkan oleh para penganutnya.

Benarlah firman Allah Ta’ala:

وَمَنْ يَعْمَلْ مِنَ الصَّالِحَاتِ مِنْ ذَكَرٍ أَوْ أُنْثَىٰ وَهُوَ مُؤْمِنٌ فَأُولَٰئِكَ يَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ وَلاَ يُظْلَمُونَ نَقِيرًا

Maksudnya: “ Sesiapa yang beramal dengan amalan yang soleh, sama ada lelaki atau wanita sedangkan dia beriman, maka mereka itu akan masuk syurga dan mereka tidak dizalimi sedikitpun “ (An Nisa’: 124).

    Demikianlah berlalunya penegasan dari Allah terhadap kelompok manusia yang mempertahankan aksi kehidupannya untuk beramal dengan tuntutan yang telah disyari’atkan. Ini adalah jaminan dari Allah yang memberi khabar gembira terhadap orang-orang yang sanggup mengorbankan waktu hidupnya untuk berbakti di jalan Allah, nanti mereka akan diberi ganjaran syurga yang pernah dengan kemewahan dan kenikmatan. Ajaran Islam yang diturunkan itu mengandungi beberapa ajaran dan pengajaran yang dapat membentuk pekerti dan akhlak hidup manusia dan dapat menyampaikan manusia kepada Maha Pencipta. Kalaulah ajaran Islam itu tidak dapat diamalkan oleh para penganutnya atau tidak dapat dilaksanakan segala rupa bentuk tuntutan dan arahannya ataupun manusia tidak lagi berminat untuk bersama-sama dengan ajaran Islam, nescaya Islam dan ajarannya itu akan tinggal kenangan sahaja dan hanya disebut di pinggir bibir mulut manusia sebagai bingkisan sejarah atau fakta yang tercatat di dalam buku-buku sejarah. Maka, Islam akan menjadi salah satu bahan koleksi sejarah sama seperti ajaran-ajaran purba kala terdahulu yang dipamirkan di dalam muzium untuk tatapan mata manusia.Kekuatan sesuatu ajaran agama itu adalah terletak kepada kekuatan para penganutnya atau para pengikutnya sejauh mana mereka beramal dengan ajaran agama tersebut.  Ajaran Islam yang diturunkan itu mengandungi pelbagai metodologi pendidikan dan penghayatan, mengandungi prinsip-prinsip yang memperkatakan tentang keteguhan dan kecekalan, mengandungi petunjuk dan pedoman untuk memandukan manusia ke jalan yang benar, mengandungi arahan-arahan yang memperlihatkan aksi perjuangan dan jihad menentang musuh-musuh yang datang menjelma dan mengandungi hukum-hakam yang menetapkan tentang persoalan halal haram sebagai garis pemisah di antara kebenaran dan kepalsuan.

     Justeru itu, amalan hidup manusia mestilah mengikut arahan-arahan yang telah ditetapkan, tidak terkeluar atau tidak melencong sedikitpun daripada landasan hidup yang sebenar.

Sabda Rasulullah s.a.w.

مَنْ عَمِلَ عَمَلاً لَيْسَ عَلَيْهِ أَمْرِنَا فَهُوَ رَدٌّ

Maksudnya: “ Sesiapa yang beramal dengan amalan yang bukan dari urusan kami, maka ianya ditolak “ (Riwayat Muslim).

       Amalan hidup seseorang individu muslim mestilah bersih dan bebas dari ajaran-ajaran jahiliyah, ajaran-ajaran yang bersifat khurafat yang datang dari luar ajaran Islam atau ajaran yang tidak ada kena-mengena dengan ajaran Islam, sekalipun baik mengikut perhitungan akal manusia, tetapi sekiranya bertentangan dengan prinsip Islam yang syumul dan amalan hidup Islam, ianya tetap dianggap salah dan dianggap sama sahaja dengan amalan hidup orang-orang kafir.  Sebaik-baik manusia yang mahu membendung perasaan gundah di lubuk hati sanubari dan ingin mendapat kelebihan di sisi Allah dan ingin pula mencari secebis keredhaanNya ialah meninggalkan perkara-perkara yang dianggap syubhah atau kesamaran.

Sabda Rasulullah s.a.w.

اَلْحَلاَلُ بَيِّنٌ وَالْحَرَامُ بَيِّنٌ وَبَيْنَهُمَا أُمُوْرٌ مُشْتَبِهَاتٌ لاَيَعْلَمُهُنَّ كَثِيْرٌ مِنَ النَّاسِ فَمَنِ اتَّقَى الشُّبُهَاتِ فَقَدِ اسْتَبْرَأَ لِدِيْنِهِ وَعِرْضِهِ وَمَنْ وَقَـعَ فِى الشُّبُهَاتِ وَقَعَ فِى الْحَرَامِ كَالْرَّاعِىْ يَرْعَى حَوْلَ الْحِمَى يُوْشِكُ أَنْ يَرْتَعَ فِيْهِ

Maksudnya: “ Sesungguhnya yang halal itu nyata dan yang haram itu nyata, tetapi di antara kedua-duanya terdapat perkara syubhah  (kesamaran) yang tidak diketahui oleh kebanyakan manusia, sesiapa yang memelihara dari perkara syubhah, sesungguhnya ia telah memelihara agama dan kehormatannya dan sesiapa yang terjatuh ke lembah syubhah, maka ia akan jatuh ke lembah yang haram, bagaikan seorang pengembala yang mengembala di sekeliling kawasan larangan, hampir sangat ternakannya memakan di kawasan tersebut “ (Riwayat Bukhari dan Muslim).

     Kes  amaran di dalam sesuatu perkara boleh menyebabkan manusia hilang pertimbangan dan boleh mencetuskan reaksi yang jauh melencong dari nilai-nilai kebenaran dan menyebabkan mereka terjelumus ke lembah yang haram.

 ISTIQOMAH DI JALAN ALLAH
Istiqomah ertinya berdiri teguh di jalan yang benar terhadap apa yang diturunkan oleh Allah dan apa yang dibawa oleh Jujungan Besar Nabi Muhammad s.a.w.

Firman Allah Ta'ala:

فَاسْتَقِمْ كَمَا أُمِرْتَ وَمَنْ تَابَ مَعَكَ وَلاَ تَطْغَوْا إِنَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ

Maksudnya: " Dan beristiqomahlah kamu sebagaimana kamu diperintahkan dan diperintahkan kepada orang-orang yang bertaubat bersama kamu, janganlah kamu melampaui batas, sesungguhnya Allah melihat apa yang kamu lakukan” (Hud: 112).

    Pegangan hidup seseorang muslim mestilah erat dan teguh terhadap keesaan ILAHI, terhadap keagunganNya dan juga kekuasaanNya dan ia hendaklah benar-benar menghayati konsep ajaran agamanya dan tidak sedikitpun mempunyai perasaan berbelah bagi atau perasaan ragu-ragu terhadap kebenaran ajaran agamanya itu.

     Kerana perkara ini adalah soal pegangan hidup…!

     Pegangan hidup muslim yang benar-benar hakiki tertegap di atas ubun-ubun keteguhan dan mereka yang beristiqomah di jalan Allah tidak sekali-kali takut dan gentar menghadapi apa jua rintangan dan halangan yang datang menjelma. Mereka bukanlah manusia yang kesal kerana memilih jalan kebenaran, jalan Islam dan jalan keimanan sebagai lambang kehidupan mereka, bahkan jalan itulah yang membuka ruang kehidupan untuk keadilan sejagat.

Firman Allah Ta'ala:

إِنَّ الَّذِينَ قَالُوا رَبُّنَا اللَّهُ ثُمَّ اسْتَقَامُوا تَتَنَزَّلُ عَلَيْهِمُ الْمَلاَئِكَةُ أَلاَّ تَخَافُوا وَلاَ تَحْزَنُوا وَأَبْشِرُوا بِالْجَنَّةِ الَّتِي كُنْتُمْ تُوعَدُونَ

Maksudnya: " Sesungguhnya orang-orang yang berkata: Tuhan kami ialah Allah, kemudian mereka beristiqomah, nanti para malaikat akan turun kepada mereka berkata: Jangan kamu takut dan berdukacita, terimalah berita gembira memperolehi syurga yang telah dijanjikan kepada kamu “ (Fusshilat: 30).

Firman Allah Ta'ala:

إِنَّ الَّذِينَ قَالُوا رَبُّنَا اللَّهُ ثُمَّ اسْتَقَامُوا فلاَ خَوْفٌ عَلَيْهِمْ ولاَ هُمْ يَحْزَنُونَ
Maksudnya: " Sesungguhnya orang-orang yang berkata: Sesungguhnya Tuhan kami adalah Allah, kemudian mereka beristiqomah, mereka tidak merasa takut dan tidak pula berdukacita “ (Al Ahqaf: 13

       Suatu ketika, seorang sahabat yang bernama Abu Amr  r.a. telah bertanya kepada Rasulullah s.a.w. tentang Islam dan ajarannya:

يآ رَسُوْلَ اللهِ! قُلْ لِىْ فِى اْلإِسْلاَمِ قَوْلاً لاَأَسْأَلُ عَنْهُ أَحَدًا غَيْرَكَ قَالَ: قُلْ آمَنْتُ بِاللَّهِ ثُمَّ اسْتَمِيْم

Maksudnya: " Wahai Rasulullah! Ajarkanlah kepada ku suatu kalimah tentang Islam, di mana aku tidak akan bertanya kepada sesiapapun selain kamu! Baginda menjawab: Katakanlah! Aku beriman kepada Allah dan kemudian beristiqomah “ (Riwayat Muslim).

     Kekuatan iman itu akan tetap terpelihara dengan sebaik-baiknya apabila wujudnya nilai-nilai istiqomah di dalam hati sanubari yang meneguhkan lagi simpulan ikatan  tapi ‘aqidah dan tali keimanan, wujudnya nilai-nilai tersebut akan mencetuskan suatu ketetapan yang realiti, tiada lagi perasaan ragu-ragu dan syak wasangka.





Sekian, wassalam.


Al Faqir Ila ‘Afwi Rabb
Lutpi Mustafa El-Batnani

No comments:

Post a Comment