PENGUASAAN ISTIQOMAH DALAM KEHIDUPAN

Friday 5 August 2011

SALAH FAHAM TERHADAP ZUHUD


Kehidupan itu perlu diterjemahkan dalam konteks yang menyeluruh untuk menjadi suatu bentuk amalan yang syumul ketika menguruskan kerja-kerja ke arah pembinaan syaksiyyah diri, akhlak dan budi pekerti. Kehidupan yang sempurna dan komprehensif ialah kehidupan yang ditafsirkan dengan nilai-nilai agama yang universal, mencakupi pelbagai aspek kehidupan. Jiwa agama yang tertanam di dalam hati manusia ialah jiwa yang mentatbiq atau mempraktik nilai-nilai agama secara serentak dan menyeluruh terhadap rangka program yang telah digariskan oleh syari’at untuk membina roh keyakinan dalam kehidupan itu sendiri. Maka, kehidupan zuhud itu mestilah digambarkan dalam konteks yang kompleks dengan penekanan yang lebih kepada ‘aqidah keimanan, hubungan yang berbentuk ketuhanan sebagai jalinan kemesraan di antara manusia dengan Tuhannya dalam menguruskan kehidupan. Kalaulah seseorang Islam itu hanya mengambil sebahagian sahaja dari program agama untuk ditatbiq atau dipraktik dalam kehidupan, bererti kehidupannya itu telah pincang dari suatu sudut, walaupun dari sudut yang lain kehidupannya dianggap sempurna, kerana garis panduan kehidupan itu telah dinyatakan oleh Allah.

Firman Allah Ta’ala:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا ادْخُلُوا فِي السِّلْمِ كَافَّةً

Maksudnya: “ Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam agama Islam secara menyeluruh “ (Al Baqarah: 208)

  Kesilapan mentafsirkan kehidupan zuhud telah mencetuskan kemunduran di kalangan ummat Islam. Penafsiran yang dibuat biasanya menurut anggaran yang singkat terhadap kecetekkan ilmu yang ada tanpa menjeguk kepada penghayatan yang menyeluruh terhadap isi kandungan Al Quran dan As Sunnah s.a.w. Penafsiran yang jumud itu telah menyebabkan sebahagian dari ilmu-ilmu Islam seperti ilmu sains, geografi, perubatan, pertukangan dan lain-lain ilmu telah dikuasai dan dimonopoli oleh orang-orang bukan Islam, lalu mereka menjadikan ilmu-ilmu tersebut sebagai hakcipta mereka. Di antara beberapa salah faham terhadap konsep zuhud ini ialah:

1. Meninggalkan Amalan Keduniaan
Kedangkalan ilmu pengetahuan dan kejumudan dalam penguasaannya boleh menimbulkan salah faham dalam menafsirkan konsep kezuhudan. Apatah lagi, ditambah pula dengan perasaan yang mendadak terhadap alam mistik atau alam kerohanian menyebabkan di kalangan ummat Islam terpikat dengan seruan ‘keduniaan’ iaitu seruan mengajak manusia meninggalkan amalan-amalan yang berbentuk keduniaan. Mereka menyangka, amalan keduniaan yang bukan berbentuk ibadat adalah dilarang di sisi agama, ditambah pula kehidupan hari ini telah digaul dan dicampur-aduk dengan unsur-unsur jahiliyah dalam pelbagai sistem kehidupan menambahkan lagi perasaan mereka bahawa amalan keduniaan tidak memberi apa-apa manfaat kepada kehidupan.   Meninggalkan amalan yang berbentuk keduniaan seperti menguruskan hal ehwal ekonomi, menjalankan urusan perniagaan, mentadbir urusan politik negara dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya merupakan suatu kesilapan dan kesalahan yang besar dalam amalan hidup dan perkara seumpama ini sebenarnya boleh merugikan dan mencacatkan nilai-nilai agama. Adakalanya manusia tidak faham tentang hakikat sesuatu, seolah-oleh diri mereka telah dirasuk oleh hawa nafsunya sendiri untuk mencapai sesuatu perkara. Kebaikan dan kemuliaan atau keburukan dan kehinaan sesuatu itu mestilah dinilai oleh syari’at, bukannya mengikut pertualang akal fikiran yang dikuasai oleh perasaan hawa nafsu yang kejam.

Firman Allah Ta'ala:

 فِيمَا آتَاكَ اللَّهُ الدَّارَ الآخِرَةَ وَلاَ تَنْسَ نَصِيبَكَ مِنَ الدُّنْيَا وَأَحْسِنْ كَمَا أَحْسَنَ اللَّهُ إِلَيْكَ وَلاَ تَبْغِ الْفَسَادَ فِي الأرْضِ إِنَّ اللَّهَ لاَ يُحِبُّ الْمُفْسِدِينَ

Maksudnya: " Carilah apa yang diberikan oleh Allah kepada kamu di negeri akhirat dan jangan kamu lupa bahagian kamu di dunia ini, buatlah baik sebagaimana Allah berbuat baik kepada kamu dan janganlah pula kamu berbuat kerosokkan di atas bumi ini, sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berbuat kerosokkan “ (Al Qashash: 77).

        Kalaulah amalan yang berbentuk keduniaan itu tidak bernilai langsung di sisi Allah atau tidak mempunyai apa-apa manfaat di sisiNya atau tidak mempunyai apa-apa pengertian untuk dibawa ke alam akhirat nanti, mengapa pula Allah memberi peringatan kepada kita semua di dalam ayat di atas tadi supaya: Jangan lupa bahagian kamu di atas dunia…..! Mengapa Allah berkata demikian? Sudah tentu di sana terdapat sesuatu perkara yang diharuskan ketika mengejar kehidupan duniawi.....!

 Firman Allah Ta'ala:

فَإِذَا قُضِيَتِ الصَّلاَةُ فَانْتَشِرُوا فِي الأرْضِ وَابْتَغُوا مِنْ فَضْلِ اللَّهِ وَاذْكُرُوا اللَّهَ كَثِيرًا لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya: " Apabila selesai mengerjakan solat “ (Juma'at) maka bertebaranlah kamu di atas bumi dan carilah kurniaan dari Allah dan banyakanlah berzikir kepada Allah, mudah-mudahan kamu mendapat kejayaan “ (Al Jum'ah:10).

         Ayat ini adalah huraian lanjut daripada ayat yang sebelumnya dan ianya telah membatalkan adat kebiasaan di kalangan manusia yang menganggap diri mereka sebagai ahli tasawwuf yang cuba mencari ketenangan hidup di alam mistik atau alam kerohanian. Meninggalkan amalan keduniaan yang dianggap tidak sesuai atau tidak penting adalah suatu kecacatan di dalam sejarah ajaran agama dan sangat merugikan ummat Islam itu sendiri. Penafsiran dalam konsep keduniaan mestilah diukur menurut pandangan syari’at yang telah digariskan dalam Al Quran dan As Sunnah s.a.w. bukan mengikut ukuran akal yang sempit.

Sabda Rasulullah s.a.w.
كُنْ فِىْ الدُّنْيَا كَأَنَّكَ غَرِيْبٌ أوْ عَابِرُ سَبِيْلٍ

Maksudnya: " Jadikanlah kamu di dunia ini bagaikan seorang musafir atau seorang perantau “ (Riwayat Bukhari).

2. Berlebihan Dalam Ibadat
Al Quran yang diturunkan itu adalah untuk memberi petunjuk kepada ummat manusia, manakala As Sunnah pula sebagai penghurai terhadap isi kandungan Al Quran dan menjelaskan lagi fakta-fakta yang berkaitan dan kekaburan dari segi makna atau maksud atau menjelaskan lagi tentang sebab-sebab mengapa sesuatu ayat itu diturunkan serta menjelaskan peristiwa-peristiwa yang berlaku.   

      Semuanya itu dijelaskan oleh Sunnah Nabawi s.a.w. secara lebih lanjut…!

       Kedua-duanya adalah sumber hukum yang utama dalam syari’at Islam. Oleh sebab itu, amalan hidup manusia mestilah memusatkan perhatian terhadap kedua-dua sumber tersebut dan jangan sekali-kali tergelincir, apatah lagi terkeluar dari landasan sempadannya, kerana setiap amalan hidup manusia akan dikira dan dihitung setiap waktu untuk dibawa ke alam akhirat nanti. Kalaulah amalan itu tidak menepati ajaran Al Quran atau As Sunnah, bagaimana ianya harus diberi ganjaran dan pahala…? Bahkan amalan tersebut dikira sama seperti amalan jahiliyah atau amalan bid’ah yang direka-cipta.

Sabda Rasulullah s.a.w.

مَنْ عَمِلَ عَمَلاً لَيْسَ عَلَيْهِ أَمْرُنَا فَهُوَ رَدُّ

Maksudnya: " Sesiapa yang beramal suatu amalan yang bukan dari urusan kami maka amalan tersebut ditolak “ (Sepakat riwayat).

      Keghairahan di kalangan ummat Islam dalam amal ibadat dan kononnya ingin mencapai ke tahap maqam yang tinggi menyebabkan mereka menokah-tambah amalan-amalan tertentu untuk disesuaikan dalam ibadat. Mereka menyangka kehidupan zuhud mestilah berlebih-lebihan dalam amal ibadat.    Perkara ini dapat dibuktikan di dalam sepotong hadith yang telah diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim: Terdapat tiga orang lelaki telah datang ke rumah isteri-isteri Nabi s.a.w. untuk bertanyakan perihal ibadat baginda. Apabila diterangkan kepada mereka, seolah-olah mereka memperkecil-kecilkan ibadat baginda dan salah seorang dari mereka menyatakan: Aku terus-menerus menunaikan sembahyang sepanjang malam, kemudian yang kedua pula berkata: Aku pula sentiasa berpuasa tanpa berbuka dan yang ketiga pula berkata: Aku pula mengasingkan diri ku dari wanita dan aku tidak akan mengahwini wanita buat selama-lamanya. Apabila Nabi s.a.w. datang, baginda bersabda:

وَالَّلهِ إنِّى لأَخْشَاكُمْ لِلَّهِ وَأَتْقَاكُمْ لًهُ، وَلَكِنِّى أَصُوْمُ وَأَفْطُرُ وَأُصَلِّى َوأَرْقُدُ وَأَتَزَوَّجُ الِّنسَاءَ، فَمَنْ رَغَبَ عَنْ سُنَّتِى فَلَيْسَ مِنِّى

Maksudnya: “ Demi Allah! Aku adalah manusia yang paling takut dan paling bertaqwa kepada Allah, tetapi aku berpuasa dan berbuka, aku mendirikan sembahyang malam dan aku tidur, aku juga mengahwini wanita, sesiapa yang membenci sunnah ku, maka dia bukan dari golongan ku “ (Riwayat Bukhari dan Muslim).
 
     Suatu peradaban yang menarik dan penjelasan yang mutlak dengan memberi kata pemutus terhadap amalan-amalan yang terkeluar dari jalan sunnahnya, bahawa mereka yang mengamalkan ajaran tersebut bukan dari kalangan ummatnya.  Menokah-tambah atau mereka-cipta di dalam ruangan ibadat adalah dilarang sama sekali oleh Islam kerana Islam adalah agama ikutan bukan agama ciptaan.  Ajaran Islam adalah untuk diamalkan, bukan untuk ditokoh-tambah. Mewujudkan suatu bentuk ibadat yang lain dalam ajaran Islam adalah suatu perkara yang dilarang dan tidak dapat diterima sama sekali, kerana ianya merupakan bid'ah yang menyesatkan.

Benarlah sabda Rasulullah s.a.w.
 
خَيْرُ الْحَدِيْثِ كِتَابُ الَّلهِ وَخَيْرُ الْهَدْىِ هَدْىُ مُحَمَّدٍ صلَّى الله عَليه وسلَّم وَشَرُّ اْلأُمُوْرِ مُحْدَثَاتُهَا وكُلُّ مُحْدَثَةٍ بِدْعَةٌ وَكُلُّ بِدْعَةٍ ضِلاَلَةٌ  وروى البَيْهَقِى وفيه زِيادة: وَكُلُّ ضِلاَلَةٍ فِى النَّار

Maksudnya: " Sesungguhnya sebaik-baik perkataan ialah Kitabullah, sebaik-baik petunjuk ialah petunjuk yang dibawa oleh Muhammad s.a.w., sejahat-jahat perkara ialah perkara yang diada-adakan, setiap yang diada-adakan itu adalah bid'ah, setiap bid'ah itu adalah sesat dan setiap kesesatan itu berada di dalam neraka “ ( Riwayat Al Baihaqi).

3. Konsep Kesederhanaan Yang Silap
Allah telah menyatakan di dalam firmanNya, bahawa ummat Islam merupakan ummat pertengahan yang menggambarkan konsep kesederhanaan di dalam kehidupan mereka, ummat yang tidak melampaui batas dan sempadan yang digariskan di dalam syari'at.

Firman Allah Ta’ala:


وَكَذَٰلِكَ جَعَلْنَاكُمْ أُمَّةً وَسَطًا لِتَكُونُوا شُهَدَاءَ عَلَى النَّاسِ وَيَكُونَ الرَّسُولُ عَلَيْكُمْ شَهِيدًا


Maksudnya: “ Demikianlah Kami jadikan kamu sebagai ummat yang pertengahan supaya kamu menjadi saksi ke atas manusia dan adalah Rasul menjadi saksi ke atas kamu “ (Al Baqarah: 143).

            Iaitu suatu ummat yang tidak melampaui batas-batas kehidupan dan tidak pula melampaui batas-batas keagamaan. Ummat Islam adalah menjadi contoh kepada ummat-ummat manusia yang lain yang tidak beriman dengan Allah dan Rasulnya. Konsep kesederhanaan yang dianjurkan oleh Islam mempunyai nilai-nilai yang menyeluruh, mencakupi semua sekali manhaj kehidupan manusia. Kesilapan mentafsirkan makna kesederhanaan itu menyebabkan sebahagian di kalangan ummat Islam mundur ke belakang dan apa yang lebih ketara lagi ialah dalam soal pakaian. Apabila dikaitkan dengan konsep kesufian, seolah-olah ianya menggambarkan seorang lelaki yang berjanggut dengan membawa sebatang tongkat yang berpakaian carik dan lusuh, memakan makanan yang tidak menentu dan hidup di bawah rumah yang usang, kononnya dia adalah seorang ahli sufi yang zuhud.

Gambaran ini merupakan gambaran yang silap dan salah sama sekali……!
           
Kalaulah ini gambaran cara hidup Islam, nescaya orang-orang bukan Islam akan berpendapat betapa kunonya kehidupan ummat Islam, tidak mahu kepada pembaharuan atau pemodenan, tidak mahu hidup dalam kesenangan atau kebahagiaan, nanti mereka akan menggelar ummat Islam sebagai ummat yang jumud dan tidak bertamaddun, ummat yang tidak mahu berpegang kepada aksi hidup semasa dan tidak mahu menerima arus perubahan dan pembaharuan. Kalaulah ini gambaran yang ada terhadap realiti kehidupan ummat Islam, orang-orang bukan Islam terpaksa menutup perasaan hati mereka untuk memeluk Islam,  kerana kefahaman dan gambaran terhadap kehidupan ummat Islam begitu rumit dan sukar bagi mereka untuk menerimanya. Gambaran konsep kesederhanaan yang sebegini rupa bukan dari sistem pengajian Islam dan pengajarannya dan ianya tidak ada kena-mengena langsung dengan nilai-nilai kezuhudan. Marilah kita memusatkan perhatian kita kepada sepotong ayat yang diturunkan oleh Allah.

Firman Allah Ta’ala:
يَا بَنِي آدَمَ خُذُوا زِينَتَكُمْ عِنْدَ كُلِّ مَسْجِدٍ

Maksudnya: " Wahai anak Adam! Pakailah pakaian mu yang indah setiap kali pergi ke masjid “ (Al Araf: 31).

    Konsep kesederhanaan yang dinilai dalam manhaj sufi bukanlah gambaran kemiskinan dengan tidak memiliki apa jua harta benda atau gambaran susah-payah menghadapi pahit-getir kehidupan dan berpakaian buruk atau carik-robek, tetapi ianya dinilai terhadap apa yang dikemukakan oleh baginda Rasulullah s.a.w. sebagaimana ayat di atas tadi.

4.Tidak Menghiraukan Masyarakat
Konsep zuhud yang dianjurkan oleh Islam bukanlah konsep tidak bertegur sapa atau tidak mempedulikan masyarakat sekeliling atau tidak pula mengambil tahu perkembangan yang berlaku di dalam masyarakat kerana menumpukan perhatian kepada program ibadat kononnya ingin menghampirkan diri kepada Allah.    Ada pula yang berpendapat, masyarakatlah yang boleh memusnahkan pembentukan nilai murni dan syaksiyyah seseorang manusia yang ingin menghampirkan diri kepada Allah. Oleh sebab itu, mereka menganggap setiap individu mestilah mengasingkan diri jauh terpencil dari masyarakat sekiranya ia ingin menghampiri diri kepada Allah. Ini adalah suatu pendapat yang silap dan pendapat ini amat jauh terpesong jauh ke belakang dari landasan hidup yang sebenar yang dianjurkan oleh Islam. Islam telah menetapkan hidup berjama’ah dan saling bantu-membantu di antara satu sama lain.

Allah berfirman:

وَتَعَاوَنُوْا عَلَى البِرِّ وَالتَّقْوَى وَلاَتَعَاوَنُوا عَلَى اْلإِثْمِ وِالْعُدْوَان

Maksudnya: “ Tolong-menolonglah kamu di dalam mengerjakan kebaikan dan janganlah kamu tolong-menolong di dalam mengerjakan dosa dan perlanggaran “ (Al Maidah: 2).

    Di dalam sepotong hadith yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda:
مَنْ لاَ يَرْحَمُ النَّاسَ لاَ يَرْحَمُهُ الله

Maksudnya: “ Sesiapa yang tidak mengasihi manusia, nescaya Allah tidak mengasihinya “ (Riwayat Bukhari dan Muslim).

   Di dalam sepotong hadith yang lain, Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

لاَ يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يُحِبَّ ِلأَخِيْهِ مَا يُحِبُّ لِنَفْسِهِ

Maksudnya: “ Tidak beriman seseorang kamu sehingga dia kasih kepada saudaranya sebagaimana di kasih kepada dirinya sendiri “ (Riwayat Bukhari dan Muslim).

     Di sana pula terdapat sepotong hadith, di mana Rasulullah s.a.w. telah mengemukakan suatu pandangan dan penjelasan yang lebih tegas terhadap mereka yang tidak mahu mengambil tahu urusan saudara mereka di kalangan orang-orang Islam dan tidak menghiraukan langsung keadaan hidup mereka dan membiarkan mereka berada dalam keadaan terumbang-ambing, bahawa manusia seperti ini bukan dari kalangan ummatnya.

Sabda Rasulullah s.a.w.

مَنْ بَاتَ وَلَمْ يَهْتَمَّ بِأَمْرِ اْلمُسْلِمِيْنَ فَلَيْسَ مِنْهُمْ

Maksudnya: “ Sesiapa yang tidak menghiraukan urusan orang-orang Islam dan tidak mempedulikan mereka, nescaya ia bukan dari kalangan mereka “ (bukan di kalangan ummat Islam) “

     Hadith ini secara tegas menolak sikap di kalangan ahli sufi yang mengasing diri dari masyarakat kononnya ingin menghampirkan diri kepada Allah dan perbuatannya itu bukan sahaja ditolak, bahkan boleh membawa kekufuran dan rosoknya iman, kerana penegasan di dalam hadith tadi menyatakan bahawa mereka bukan terdiri di kalangan ummat Islam yang beriman kepada Allah dan Rasulnya.

5. Meninggalkan Makanan Tertentu
Di kalangan ahli sufi yang mengamalkan kehidupan sederhana telah mengharamkan ke atas dirinya memakan makanan tertentu seperti daging kononnya boleh mendatangkan perasaan nafsu syahwat dan keberahian yang mendadak dan keadaan ini boleh mengurangkan jurang ibadat kepada Allah. Mengharamkan apa yang dihalalkan oleh Allah merupakan suatu kesilapan yang tidak boleh dimaafkan. Islam telah mengemukakan garis panduan dan garis sempadan dalam persoalan halal-haram dalam sistem permakanan, tetapi mengapa pula setengah di kalangan manusia sanggup mengharamkan apa yang dihalalkan oleh Allah, seolah-olah ketetapanNya itu tidak begitu sesuai dengan selera dan kehendak manusia. Islam tidak menghalang mana-mana ummatnya meninggalkan makanan tertentu, tetapi mestilah dengan nas-nas yang qath’ei seperti mengharamkan makan daging babi, daging binatang yang tidak disembelih ataupun disembelih bukan di atas nama Allah, makanan yang mengandungi najis atau racun atau mengandungi unsur-unsur syubhah, makanan yang boleh mengkhayalkan seperti arak, todi dan seumpamanya. Meninggalkan makanan yang dihalalkan oleh Allah adalah haram, sebagaimana yang telah dijelaskan oleh Allah di dalam Al Kitab:


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لاَ تُحَرِّمُوا طَيِّبَاتِ مَا أَحَلَّ اللَّهُ لَكُمْ وَلاَ تَعْتَدُوا إِنَّ اللَّهَ لاَ يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ

Maksudnya: " Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengharamkan makanan yang baik-baik yang dihalalkan kepada kamu dan janganlah kamu melampaui batas, sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas “ (Al Maidah: 87).

            Ibn Abbas r.a. menyatakan, di antara sebab-sebab turunnya ayat ini ialah salah seorang sahabat datang berjumpa Nabi s.a.w. sambil berkata:

إنِّى إذَا أَكَلْتُ مِنْ هَذا الْلَحْمِ انْتَشَرْتُ إِلَى النِّسَاءِ وَإِنِّى حَرَمْتُ عَلَىَّ الْلَحْمَ
Maksudnya: " Apabila aku memakan daging langsung merangsangkan diri ku kepada wanita, kerana itu aku mengharamkan daging ke atas diri ku  

       Rasulullah s.a.w. telah melarang dengan tegas sesiapa sahaja di kalangan ummatnya mengharamkan makanan daging ke atas dirinya sendiri dengan alasan boleh membangkitkan perasaan berahi kepada wanita atau seumpamanya.

Sabda Rasulullah s.a.w.
لَيْسَ فِىْ دِيْنِىْ تَرْكُ اْللَحْم وَالنِّسَاء

Maksudnya: “ Bukan di kalangan ajaran agama ku meninggalkan daging dan wanita “ .

       Meninggalkan makanan yang dihalalkan oleh Allah seperti daging bukan dari syari'at Islam walaupun bertujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah, kerana amalan tersebut bercanggah sama sekali dengan naluri dan kehendak-kehendak manusia. Meninggalkan makanan daging adalah sebahagian daripada ajaran Buddha yang membawa konsep pertapaan.




Sekian, wassalam

Al Faqir Ila ‘Afwi Rabb
Lutpi Mustafa El-Batnani

No comments:

Post a Comment