PENGUASAAN ISTIQOMAH DALAM KEHIDUPAN

Tuesday 16 August 2011

TUJUAN KEHIDUPAN ZUHUD: GALAKAN BERBELANJA DI JALAN ALLAH

Islam mempunyai sistem hidup dan sistem muamalatnya sendiri tanpa berkompromi dan bercampur-aduk dengan mana-mana sistem jahiliyah yang lain. Ianya bertujuan untuk mendidik ummatnya dengan sistemnya sendiri yang bersih dan bebas dari unsur-unsur penindasan dan berat sebelah, unsur-unsur riba dan rasuah yang boleh menjuruskan manusia ke kancah  kehinaan.

Firman Allah Ta'ala:

لِلْفُقَرَاءِ الَّذِينَ أُحْصِرُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ لاَ يَسْتَطِيعُونَ ضَرْبًا فِي الأَرْضِ يَحْسَبُهُمُ الْجَاهِلُ أَغْنِيَاءَ مِنَ التَّعَفُّفِ تَعْرِفُهُمْ بِسِيمَاهُمْ لاَ يَسْأَلُونَ النَّاسَ إِلْحَافًا

Maksudnya: " Sedekah itu hanya kepada orang-orang fakir yang tertahan diri mereka dalam perjuangan  menegakkan agama Allah sehingga tidak mampu berjalan di bumi ini “ (untuk mencari rezeki), orang yang tidak tahu menyangka bahawa mereka masih mampu “ (kerana tidak pernah meminta-minta), kamu dapat mengenali mereka dengan tanda-tandanya dan mereka tidak suka meminta kepada orang sampai merendah-rendah “ (Al Baqarah: 273).

    Tidak semua manusia memperolehi apa yang diimpikan, kadang-kadang mereka memerlukan bantuan atau pertolongan dari orang lain kerana tidak dapat melabuhkan tirai kehidupan dengan baik dan sempurna akibat daripada kesempitan hidup yang dialaminya.  Adakalanya kemiskinan dan kesempitan hidup itu boleh menjejaskan tali pegangan dan simpulan ‘aqidah seseorang muslim, sebagaimana dijelaskan di dalam sepotong hadith.

Sabda Rasulullah s.a.w.
كَادَ الْفَقْرُ أَنْ يَكُوْنَ كُفْرًا

Maksudnya: “Hampir-hampir kefakiran itu boleh menyebabkan seseorang menjadi kufur “ (Riwayat Al Baihaqi).

    Oleh sebab itu, apa yang hendak ditekankan di sini ialah tentang peri pentingnya kehidupan di dalam konsep berjama’ah atau kehidupan secara berkelompok yang saling tolong-menolong dan bantu-membantu di antara satu sama lain untuk berbakti di jalan Allah, justeru memelihara ‘aqidah saudara seperjuangan daripada terluka.

Firman Allah Ta'ala:

وَمَا تُنْفِقُوا مِنْ خَيْرٍ فَلأَنْفُسِكُمْ وَمَا تُنْفِقُونَ إِلاَّ ابْتِغَاءَ وَجْهِ اللَّهِ وَمَا تُنْفِقُوا مِنْ خَيْرٍ يُوَفَّ إِلَيْكُمْ وَأَنْتُمْ لاَ تُظْلَمُونَ

Maksudnya: " Dan tidaklah apa yang kamu belanjakan dari kebaikan melainkan “ (ganjarannya) untuk diri kamu sendiri, tidaklah kamu belanjakan itu melainkan untuk mencari keredhaan Allah dan tidaklah apa yang kamu belanjakan dari kebaikkan, nescaya akan dikembalikan sepenuhnya kepada kamu, sedangkan kamu tidak dizalimi “ (Al Baqarah: 272).

     Ianya memerlukan keikhlasan di lubuk hati supaya apa yang dibelanjakan itu mendapat ganjaran yang besar di sisi Allah di hari akhirat nanti. Sepotong hadith yang diriwayatkan oleh Hakim bin Hizam r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

اليَدُ الْعُلْيَا خَيْرٌ مِنَ الْيَدِ السُّفْلَى وَابْدَأْ بِمَنْ تَعُوْلُ وَخَيْرُ الصَّدَقَةِ مَا كَانَ عَنْ ظَهْرِ غِنًى وَمَنْ يَسْتَعْفِفْ يُعِفُّهُ الَّلهُ وَمَنْ يَسْتَغْنِ يُغْنِهِ اللهُ

Maksudnya: " Tangan yang di atas lebih baik dari tangan di bawah, dahulukanlah “ (sedekah) kepada orang-orang yang di bawah tanggungan mu dan sebaik-baik sedekah ialah yang masih tinggal dari kekayaan, sesiapa yang menyucikan diri nescaya Allah memelihara kesuciannya dan sesiapa yang cukup dengan hasil kekayaannya, nescaya Allah akan mencukupkannya “ (Sepakat riwayat).

        Konsep kezuhudan itu mengajar manusia erti kehidupan sebenar, bahawa tujuan hidup bukan untuk mengumpul  seberapa banyak harta kekayaan, kerana kekayaan itu adalah nikmat dunia yang bersifat sementara dan tidak kekal buat selama-lamanya. Ingatlah! Bahawa Allah akan mencukupkan rezeki seseorang dengan sebab dia merasa cukup terhadap apa yang diperolehinya.

   Dari Abu Hurairah r.a. meriwayatkan, Rasulullah s.a.w. telah bersabda bahawa Allah telah berfirman:
أَنْفِقْ يُنْفَقْ عَلَيْكَ
Maksudnya: " Berbelanjalah kamu di jalan Allah nescaya Allah akan membelanjakan ke atas kamu “ ( Sepakat Riwayat).

       Ini adalah suatu saranan yang amat menarik yang membuka peluang kepada setiap individu muslim, bahawa berbelanja di jalan Allah tidak sekali-kali merugikan atau mengurangkan harta benda, tetapi ianya boleh memberi keuntungan yang berlipat kali ganda dan ditambah pula dengan keberkatan dari ILAHI.


Sekian, wassalam

Al Faqir Ila ‘Afwi Rabb
Lutpi Mustafa El-Batnani

No comments:

Post a Comment