PENGUASAAN ISTIQOMAH DALAM KEHIDUPAN

Tuesday 16 August 2011

TUJUAN KEHIDUPAN ZUHUD: TIDAK TERTIPU DENGAN GODAAN DUNIA

Al Quran telah memberi peringatan kepada manusia supaya berhati-hati dengan godaan dunia, kerana dunia akan menggoda manusia supaya menjadi hamba kepadanya dan tundak kepada kehendak-kehendaknya.

Firman Allah Ta'ala:

إِنَّ وَعْدَ اللَّهِ حَقٌّ فَلاَ تَغُرَّنَّكُمُ الْحَيَاةُ الدُّنْيَا وَلاَ يَغُرَّنَّكُمْ بِاللَّهِ الْغَرُورُ

Maksudnya: " Sesungguhnya janji Allah itu benar, maka janganlah kamu terperdaya dengan kehidupan dunia dan janganlah pula tertipu dengan penipuan sehingga terlupa kepada Allah “ (Luqman: 33).

Dari Abu Said Al Khudri r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

إِنَّ الدُنْيَا حُلْوَةٌ خَضِرَةٌ وَإِنَّ الَّلهَ تَعَالَى مُسْتَخْلِفُكُمْ فِيْهَا فَيَنْظُرُ كَيْفَ تَعْمَلوْنَ فَاتَّقُوا الدُنْيَا وَاتَّقُوا النِّسآءَ

Maksudnya: " Sesungguhnya dunia ini indah dan manis, Allah akan menyerahkannya kepada kamu, maka berhati-hatilah kamu dari godaan dunia dan berhati-hatilah dari godaan wanita “ (Riwayat Muslim).

Dunia boleh menggoda manusia sehingga menyebabkan manusia lupa batas-batas kehidupannya, lupa maruah dan harga diri kerana terikut-ikut dengan rentak iramanya.

Abu Hurairah r.a. telah meriwayatkan sepotong hadith, bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda:
الدُّنْيَا سِجْنُ الْمُؤْمِنِ وَجَنَّةُ الْكَافِرِ

Maksudnya: " Dunia ini bagaikan penjara bagi orang-orang mu'min dan syurga bagi orang-orang kafir “ (Riwayat Muslim).

Ini merupakan suatu hakikat yang tidak boleh dinafikan lagi, bahawa dunia itu sememangnya menjadi penjara kepada orang-orang mu’min kerana tidak mempunyai kebebasan melakukan kehendak-kehendak nalurinya, terikat dengan persoalan halal-haram. Tetapi, orang-orang kafir bebas melakukan apa sahaja yang terlintas di dalam lubuk hatinya, kerana mereka tidak terikat dengan persoalan halal-haram. Oleh sebab itu, orang-orang mu’min tidak harus bermuram durja terhadap ketetapan Allah ini, kerana mereka akan diberi kebebasan dan apa saja kemewahan yang berlipat kali ganda di hari akhirat nanti, mereka bebas melakukan apa sahaja yang mereka mahu kerana tiada lagi persoalan halal haram di hari itu, manakala orang-orang kafir akan dihumbankan ke ceruk neraka jahanam.

Mari kita mendengar sepotong hadith, semoga kita diberi peringatan dan petunjuk, sebagaimana yang telah diriwayatkan oleh Ibn Umar r.a. ketika Rasulullah s.a.w. memegang bahunya sambil bersabda:

كُنْ فِىْ الدُّنْيَا كَأَنَّكَ غَرِيْبٌ أوْ عَابِرُ سَبِيْلٍ وَكَانَ ابْنُ عُمَرَ رَضِىَ الَّلهُ عَنْهُمَا يَقُولُ: إِذَا أَمْسَيْتَ فَلاَ تَنْتَظِرِ الصَّبَاحَ وَإِذَا أَصْبَحْتَ فَلاَ تَنْتَظِرِ الْمَسَاءَ وَخُذْ مِنْ صِحَّتِكَ لِمَرَضِكَ وَمِنْ حَيَاتِكَ لِمَوْتِكَ

Maksudnya: " Jadikanlah kamu di dunia ini bagaikan seorang musafir atau seorang perantau, Ibn Umar kemudian berkata: Jika kamu berada di waktu petang , janganlah kamu menanti akan hidup sampai ke pagi dan jika kamu berada di waktu pagi janganlah menanti hidup sampai ke petang, gunakanlah waktu sihat sebagai bekalan waktu sakit, waktu hidup bekalan ketika mati “ (Riwayat Bukhari).


Sekian, wassalam

Al Faqir Ila ‘Afwi Rabb
Lutpi Mustafa El-Batnani

No comments:

Post a Comment