PENGUASAAN ISTIQOMAH DALAM KEHIDUPAN

Tuesday 16 August 2011

TUJUAN KEHIDUPAN ZUHUD: TIDAK TERLALU GHAIRAH MENGUMPUL KEKAYAAN


Kehidupan zuhud tidak sekali-kali mengajar manusia erti kebendaan dan kemewahan hidup untuk memperbanyakan harta benda, tetapi ianya mengajar cara-cara menggunakan harta benda dan cara-cara menguruskannya supaya tidak terkeluar dari batas-batas yang digariskan oleh Islam.

Firman Allah Ta'ala:

أَلْهَاكُمُ التَّكَاثُرُ حَتَّىٰ زُرْتُمُ الْمَقَابِرَ كَلاَّ سَوْفَ تَعْلَمُونَ

Maksudnya: " Kamu telah dilalaikan oleh perlumbaan membanyakan harta kekayaan, sehingga kamu masuk ke dalam lubang kubur, jangan begitu! Nanti kamu akan mengetahui “ (At Takathur:1-3).

Apabila Rasulullah s.a.w. membaca ayat ini, baginda kemudiannya terus bersabda:

يًقُوْلُ ابْنُ آدَمَ: مَالِى وَهَلْ لَكَ يا ابْنَ آدَمَ مِنْ مَالِكَ إلاَّ مَا أَكَلْتَ فَأَفْنَيْتَ أَوْ لَبِسْتَ فَأَبْلَيْتَ أَوْ تَصَدَّقْتَ فَأَمْضَيْتَ

Maksudnya: " Berkata anak Adam: Harta ku! Apakah bahagian mu dari harta mu, melainkan apa yang kamu makan hingga habis atau apa yang kamu pakai hingga rosak atau apa yang kamu sedekah sehingga habis “ (Riwayat Muslim).

Kehidupan itu adalah suatu pertarungan yang hebat di antara kebenaran dengan kebatilan, di antara keadilan dengan kezaliman, di antara keyakinan dengan kepalsuan, di antara Islam dengan jahiliyah dan di antara iman dengan kufur. Kehidupan itu juga akan bertarung dengan perasaan atau kehendak-kehendak naluri yang berpandukan kepada hawa nafsu yang boleh menjahannamkan kehidupan yang sebenar. Ia akan melalaikan dan memesongkan nilai-nilai hidup dengan pelbagai aksi kehidupan yang menjijikkan. Di antaranya ialah dengan membanyakkan timbunan harta benda dan kemewahan hidup sehingga lupa kepada matlamat hidup yang sebenar.

Abu Hurairah r.a. pernah meriwayatkan sepotong hadith bahawa Rasulullah s.a.w. pernah bersabda:

مَنْ سَأَلَ النَّاسَ تَكَثُّرًا فَإِنَّمَا يَسْأَلُ جَمْرًا فَلْيَسْتَقِلَّ أَوْ لِيَسْتَكْثِرْ
Maksudnya: " Sesiapa yang meminta-minta untuk membanyakan harta kekayaan, maka tidak lain ia hanyalah membanyakan bara api, maka terserahlah sama ada ingin mengurangkannya atau menambahkannya “ (Riwayat Muslim).

Di dalam sepotong hadith yang lain, Amru bin Auf Al Ansari telah mendengar bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

فَوَالَّلهِ مَا الْفَقْرَ أَخْشَى عَلَيْكُمْ وَلَكِنِّى أَخْشَى أَنْ تُبْسَطَ الدُّنْيَا عَلَيْكُمْ كَمَا بُسِطَتْ عَلَى مَنْ كَانَ قَبْلَكُمْ فَتَنَافَسُوهَا كَمَا تَنَافَسُوهَا فَتُهْلِكَكُمْ كَمَا أَهْلَكَتْهُمْ

Maksudnya: " Demi Allah! Bukanlah kefakiran yang aku bimbangkan terhadap kamu, tetapi yang aku bimbang ialah apabila dibentang luas dunia kepada kamu sebagaimana yang telah dibentangkan kepada orang-orang yang terdahulu dari kamu, kemudian kamu berlumba-lumba sebagaimana mereka berlumba-lumba, maka kamu akan menjadi musnah binasa sebagaimana mereka musnah binasa “ (Sepakat Riwayat).

Ini adalah kekhuatiran yang amat ditakuti oleh Rasulullah s.a.w. jika ummatnya dibentang kemewahan dunia, sehingga mereka lupa mengingati Allah dan dibinasakan kerana terlalu sibuk dengan urusan harta benda.




Sekian, wassalam

Al Faqir Ila ‘Afwi Rabb
Lutpi Mustafa El-Batnani

No comments:

Post a Comment