PENGUASAAN ISTIQOMAH DALAM KEHIDUPAN

Tuesday 16 August 2011

TUJUAN KEHIDUPAN ZUHUD: BENCIKAN DUNIA CINTAKAN AKHIRAT

 Apa yang dimaksudkan dengan bencikan dunia bukan bererti membuang terus segala harta benda atau segala kekayaan ataupun segala kemewahan hidup, tetapi apa yang dimaksudkan dengan bencikan dunia ialah tidak terlalu ghairah memperbanyakan timbunan harta kekayaan sehingga lupa kepada tanggungjawab diri dan lupa untuk berjuang di jalan Allah, lupa mengeluarkan zakat, lupa untuk bersedekah dan sebagainya, sebaliknya bersikap kedekut dan bakhil untuk mengeluarkan belanja dari hartanya ke jalan Allah.
  
Ka'ab bin 'Iyadh r.a. telah meriwayatkan, bahawa beliau pernah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:

إنَّ لِكُلِّ أُمَّةٍ فِتْنَةً وَفِتْنَةُ أُمَّتِى الْمَالُ

Maksudnya: " Sesungguhnya bagi tiap-tiap ummat ada fitnah dan fitnah bagi ummat ku ialah harta kekayaan “ (Riwayat At Tirmizi).

   Di dalam sepotong hadith yang lain, Rasulullah s.a.w. pernah bersabda:

لاَ تَتَّخِذُوْا الضَّيْعَةَ فَتَرْغَبُوْا فِى الدُّنْيَا

Maksudnya: " Janganlah kamu berlumba mengumpulkan harta kekayaan nanti kamu cinta pada dunia “ (Riwayat At Tirmizi).

Peringatan yang disampaikan oleh Rasulullah s.a.w. amat berguna untuk disimpan  di dalam hati sanubari dan jiwa nurani setiap pejuang Islam. Orang-orang yang berjuang dan berjihad di jalan Allah dan orang-orang ingin menyampaikan diri mereka kepada Allah serta orang-orang yang mahu membersihkan diri tidak memerlukan timbunan harta yang banyak dan tidak bersifat mengumpukan harta benda atau berlumba-lumba mengejar kemewahan hidup. Demi cintakan agama dan berjuang menegakkannya, mereka tidak menghiraukan telatah-telah hidup dunia dan warna-warnanya yang boleh menggugat kesungguhan untuk terus mara berjuang menegakkan kalimah LAA ILAHA ILLALLAH.  Kekayaan dan kemewahan hidup bukanlah bekalan yang baik untuk dibawa ke alam akhirat, tetapi amalan kebaikan yang berbekalkan ketaqwaan diri kepada Allah itulah yang menjadi sebaik-baik bekalan untuk dibawa ke alam akhirat.

Sabda Rasulullah s.a.w.

ألاَ إِنَّ الدُّنْيَا مَلْعُوْنَةٌ مَلْعُوْنٌ مَا فِيْهَا إلاَّ ذِكْرُ الَّلهِ تعَالى وَمَا وَالاَهُ وَعَالِمًا وَمُتًعَلِّمًا

Maksudnya: " Ingatlah! Bahawa dunia itu terkutuk dan apa yang ada di dalamnya terkutuk, kecuali zikrullah dan segala apa yang serupa dengannya, orang yang alim dan orang yang belajar “ (Riwayat At Tirmizi).

Dari Suhil bin Sa'ad As Sa'iedi r.a. telah meriwayatkan sepotong hadith, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

لَوْ كَانَتِ الدُّنْيَا تَعْدِلُ عِنْدَ الَّلهِ جَنَاحُ بَعُوْضَةٍ مَا سَقَى كَافِرًا مِنْهَا شَرْبَةَ مَاءٍ

Maksudnya: " Seandainya dunia ini bernilai di sisi Allah sebesar sayap nyamuk, maka tidak akan diberikannya kepada orang kafir walaupun seteguk air “ (Riwayat At Tirmizi).

Sebenarnya, dunia itu tidak bernilai sedikitpun di sisi Allah dan tidak mempunyai apa-apa keistimewaan. Maka, orang-orang yang ingin mendekatkan diri mereka kepada Allah seharusnya  menilai dunia ini sebagaimana dinilai oleh Allah, tetapi orang-orang kafir dan orang-orang yang durhaka kepada Allah menilai dunia itu adalah segala-galanya, dunia ini tempat mereka berhibur dan tempat mereka mengumpul harta kekayaan.



Sekian, wassalam

Al Faqir Ila ‘Afwi Rabb
Lutpi Mustafa El-Batnani

No comments:

Post a Comment