PENGUASAAN ISTIQOMAH DALAM KEHIDUPAN

Tuesday 16 August 2011

TUJUAN KEHIDUPAN ZUHUD: TIDAK BERSIFAT TAMAK


Konsep zuhud mengajar ummat Islam mengenal erti sifat-sifat pemurah yang saling tolong-menolong di antara satu sama lain kepada mereka yang memerlukan dan konsep zuhud ini tidak mengajar mereka bersifat dengan sifat tamak haloba.

Firman Allah Ta'ala:

وَأَمَّا مَنْ بَخِلَ وَاسْتَغْنَىٰ وَكَذَّبَ بِالْحُسْنَىٰ فَسَنُيَسِّرُهُ لِلْعُسْرَىٰ وَمَا يُغْنِي عَنْهُ مَالُهُ إِذَا تَرَدَّىٰ

Maksudnya: " Adapun orang yang bakhil dan merasa dirinya kaya raya, mendustakan dengan kebaikan, maka Kami memudahkan kepadanya jalan kesulitan, kekayaannya tidak berguna kepadanya ketika ia telah jatuh “ (Al Lail: 8-11).

Jiwa manusia telah dilanda oleh suatu perasaan yang tidak bernilai dan tidak bermoral, iaitu perasaan kedekut, perasaan takut untuk membelanjakan harta dan bersedekah kerana dikhuatiri jatuh fakir, sekalipun mereka telah memiliki harta kekayaan yang banyak.  Ini adalah tabiat buruk manusia yang sanggup bersusuh payah mencari harta dan mengumpulkannya, tetapi tidak sanggup membelanjakannya di jalan Allah.

Firman Allah Ta'ala:

وَمَنْ يُوقَ شُحَّ نَفْسِهِ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ

Maksudnya: " Dan sesiapa yang terpelihara dari sifat kebakhilan diri maka mereka itulah orang-orang yang beruntung “ (Al Hasyr: 9).

Di sana terdapat beberapa hadith yang melarang manusia daripada bersifat bakhil dan kedekut, di antaranya ialah sebagaimana yang diriwayatkan oleh Jabir r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

إِتَّقُوْا الْظُّلْمَ فَإنَّ الظُّلْمَ ظُلُمَاتٌ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَاتَّقُوْا الشُّحَّ فَإنَّ الشُّحَّ أَهْلَكَ مَنْ كَانَ قَبْلَكُمْ حَمَلَهُمْ عَلَى أَنْ سَفَكُوْا دِمَائَهُمْ وَاسْتَحَلُّوْا مَحَارِمَهُم

Maksudnya: " Takutlah kamu kepada kezaliman, kerana kezaliman itu merupakan kegelapan di hari kiamat nanti, takutlah kamu kepada kebakhilan kerana kebakhilan itu membinasakan ummat-ummat sebelum kamu, mendorong kamu kepada pertumpahan darah dan menghalalkan apa yang diharamkan oleh Allah “ (Riwayat Muslim).

Di dalam sepotong hadith yang lain, Abu Al Abbas Suhil bin As Sa'eidi r.a. telah meriwayatkan: Bahawa seorang lelaki telah datang menemui Rasulullah s.a.w. dan bertanya tentang amalan yang disukai oleh Allah:

يَا رَسُوْلَ الَّلهِ دُلَّنِى عَلَى عَمَلٍ إِذَا عَمِلْتُهُ أَحَبَّنِى الَّلهُ وَأَحَبَّنِى النَّاسُ؟ فَقَالَ: ازْهَدْ فِى الدُّنْيَا يُحِبُّكَ الَّلهُ وَازْهَدْ فِيْمَا عِنْدَ النَّاسِ يُحِبُّكَ النَّاسُ

Maksudnya: " Wahai Rasulullah! Tunjukkanlah kepada ku amalan yang aku kerjakan disukai Allah dan disukai manusia? Sabda Rasulullah s.a.w.: Zuhudlah kamu pada dunia nescaya kamu dikasihi Allah dan zuhudlah kamu sesama manusia nescaya kamu dikasihi mereka “ (Riwayat Ibn Majah).

Sebaliknya, keragusan manusia terhadap kehidupan dunia dan pelbagai aneka harta kekayaan menyebabkan mereka dibenci oleh Allah dan dibenci oleh sesama manusia.




Sekian, wassalam


Al Faqir Ila ‘Afwi Rabb
Lutpi Mustafa El-Batnani

No comments:

Post a Comment