PENGUASAAN ISTIQOMAH DALAM KEHIDUPAN

Friday 5 August 2011

KEHIDUPAN DI HARI AKHIRAT


Kehidupan di alam ini bermula setelah manusia diwafatkan dengan sebuah kematian yang datang menjelma. Sebenarnya, kematian bukanlah bererti berakhirnya riwayat hidup manusia atau tamatnya umur hidup manusia dan kemanusiaannya selesai di situ sahaja....!

            Kenyataan itu tidak benar sama sekali, bahkan wajib ditolak oleh setiap mereka yang beriman kepada Allah. Kematian itu cuma suatu perjalanan untuk muncul kembali di dalam episod kehidupan yang lain pula, kehidupan yang baru yang tidak sama dengan kehidupan di atas dunia, iaitu kehidupan di alam akhirat yang kekal abadi dan di sana manusia tidak akan mati buat selama-lamanya. Di alam ini, manusia terlebih dahulu dihitung atau dihisab timbangan amalannya di atas dunia, sama ada mereka dapat menjadi warga syurga yang penuh dengan pelbagai kemewahan ratna mutu manikan dan keni'matan, penuh dengan pelbagai aneka keseronokan dan kebahagiaan ataupun menjadi warga neraka yang amat dahsyat nyalaan apinya, yang menjadi penghuni di dalamnya ialah puak-puak kafir, para musyrikin, ahli nifaq dan kuncu-kuncunya.  Manusia akan kekal abdi di alam akhirat untuk menjadi salah satu daripada penghuni, sama ada penghuni syurga atau penghuni neraka dan manusia akan dibangkitkan nanti bersama-sama dengan roh dan jasadnya sekali. Di sana terdapat banyak ayat-ayat yang memperkatakan tentang kehidupan manusia sesudah mati, adanya alam lain sesudah kehidupan manusia di atas dunia ini, iaitu alam akhirat, alam yang kekal abadi dan tiada lagi kematian sesudah itu.    

Firman Allah Ta'ala:

ثُمَّ بَعَثْنَاكُمْ مِنْ بَعْدِ مَوْتِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

Maksudnya: " Kemudian Kami bangkitkan kamu selepas mati mudah-mudahan kamu bersyukur “ (Al Baqarah: 56).


Firman Allah Ta'ala:

ثُمَّ إِنَّكُمْ بَعْدَ ذَٰلِكَ لَمَيِّتُونَ ثُمَّ إِنَّكُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ تُبْعَثُونَ

Maksudnya: " Kemudian sesudah “ (kehidupan) itu kamu akan mati dan kemudian dibangkitkan kembali  pada hari kiamat nanti “ (Al Mu'minun: 15-16).


Firman Allah Ta'ala:

يَوْمَ لا يَنْفَعُ مَالٌ وَلا بَنُونَ إِلا مَنْ أَتَى اللَّهَ بِقَلْبٍ سَلِيمٍ

Maksudnya: " Hari yang tidak memberi manfaat kepada harta benda dan anak-pinak, melainkan orang datang kepada Allah dengan hati yang sejahtera “ (Asy Syu'ara: 88-89).

            Hari yang tidak lagi memberi apa-apa nilai kepada harta benda atau harta kekayaan yang dikumpulkan dan juga batas-batas keturunan, melainkan pada hari tersebut mereka yang datang mengadap Allah dalam keadaan hati yang penuh dengan kesejahteraan, iaitu hari kebangkitan semula ummat manusia selepas mati....

Sabda Rasulullah s.a.w.

لاَ يُؤْمِنُ عَبْدٌ حَتَّى يُؤْمِنَ بِأَرْبَعٍ: يَشْهَدُ أنْ لاَإلَهَ إِلاَّ الَّلهُ وَأَنِّى رَسُوْلُ اللَّهِ بَعَثَنِى بِالْحَقِّ وَيُؤْمِنُ بِالْمَوْتِ وَيُؤْمِنُ بِالْبَعْثِ بَعْدَ الْمَوْتِ وَيُؤْمِنُ بِالْقَدَرِ

Maksudnya: " Tidak beriman seseorang hamba sehingga ia beriman kepada empat perkara: iaitu menyaksikan tiada Tuhan yang sebenar-benar melainkan Allah dan aku adalah Rasulullah yang Dia mengutuskan  dengan sebenar, beriman adanya kematian dan kehidupan selepas mati serta beriman kepada qada “ (Riwayat At Tirmizi).


            Rupa-rupanya menjadi kewajiban kepada setiap individu muslim mempercayai adanya kehidupan selepas mati, kehidupan buat kali kedua yang merupakan kehidupan yang kekal abadi buat selama-lamanya, tiada lagi kematian selepas itu. Namun demikian, kebanyakan manusia hari ini tidak lagi menaruh keyakinan tentang adanya kehidupan seumpama ini, kerana mereka sering kali mengejar dan berlumba-lumba untuk memperbanyakan timbunan harta benda, mengejar kemewahan di tengah-tengah gelanggang kehidupan, memperluaskan empayar perniagaan dan perdagangan tanpa memikirkan apa cara sekalipun, sama ada halal atau haram, bahkan apa yang mereka cari ialah soal keuntungan sebanyak mungkin. Mereka tahu bahawa kehidupan di dunia ini hanyalah sementara waktu sahaja dan manusia akan mati, justeru segala harta benda dan segala rupa bentuk kemewahan tidak dapat sekali-kali untuk dibawa bersama kematian itu, tetapi mengapa manusia tidak mahu menerima hakikat demikian. Al Quran telah mengemukakan uslub ta’jub dengan merenung penuh kehairanan terhadap sifat-sifat dan telatah hidup manusia yang tidak mahu berpegang teguh dengan prinsip hidup yang berakar tunjang kepada konsep keimanan secara mutlak atau secara menyeluruh. Demikianlah firman ILAHI yang melahirkan perasaan hairan mengapa manusia boleh berlaku kufur kepada Allah..!

كَيْفَ تَكْفُرُونَ بِالله وَكُنْتُمْ أَمْوَاتًا فَأَحْيَاكُم ثُمَّ يُمِيتُكُمْ ثُمَّ يُحْيِيكُمْ ثُمَّ إِلَيْهِ تُرْجَعُونَ

Maksudnya: " Bagaimana kamu kufur kepada Allah? Sedangkan kamu dahulunya mati (iaitu tiada), kemudian kamu dihidupkan (ke dunia) dan kemudian kamu dimatikan dan kepadaNya kamu dikembalikan “ (Al Baqarah:28).

     Mengapa manusia boleh berlaku kufur terhadap Allah? Mengapa mereka tidak mahu beriman dan tidak mahu beramal soleh dan tidak pula mahu mengerjakan segala tuntutan-tuntutan yang telah diwajibkan oleh Allah? Mengapa manusia sanggup mengabaikan tanggungjawab yang telah ditetapkan oleh Allah kepada mereka dan sanggup pula mencari konsep kehidupan yang lain yang bebas dari ikatan syari’at Allah?  Sebenarnya, kejahilan itulah telah menyebabkan manusia berlaku kufur kepada Allah dan memerangkap ruang kehidupan mereka untuk membentuk suatu penilaian yang bercanggah dan salah dengan nilai-nilai hidup yang sebenar yang jauh menyimpang dari realiti kehidupan. Kejahilan telah menyebabkan manusia buta teraba-raba untuk menilai hakikat hidup yang sebenar, hakikat yang membezakan di antara Islam dan jahiliyah, iman dan kufur, hakikat yang memberi kudrat dan kekuatan kepada pembangunan diri, pembangunan rohani dan jasmani. Kekufuran itu telah merombak dan  merungkai ikatan tali keimanan terhadap ILAHI, nescaya nanti mereka akan menerima hukuman di hari akhirat dengan menjelmanya pukulan maut yang memusnahkan kehidupan mereka….!







Sekian, wassalam.


Al Faqir Ila ‘Afwi Rabb
Lutpi Mustafa El-Batnani

No comments:

Post a Comment